Puasa enam gilap ibadat Ramadan
Saturday, 13 October 2007
Oleh Wan Aminurrashid
UMAT Islam menyambut Syawal sebagai hari kemenangan dengan penuh kesyukuran kepada Allah kerana dapat menyelesaikan puasa selama sebulan dan merayakan Aidilfitri. Dalam bahasa Arab, Syawal bermaksud "peningkatan". Ini bermakna frekuensi ibadat umat Islam yang melaksanakan puasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan kerana Allah akan meningkat dari segi kualiti amal sesudah Ramadan. Ini wajar kerana dengan latihan sebulan pada Ramadan dapat dijadikan pelajaran yang bermanfaat.
Umat Islam yang berjaya dengan baik menghadapi puasa akan lahir sebagai "pemenang" Aidilfitri kerana hari mulia ini adalah milik mereka yang berpuasa. Justeru, dalam usaha meningkatkan amalan yang berterusan selepas Ramadan, kita sangat dianjurkan untuk terus berpuasa pada Syawal tetapi cuma enam hari, yang dikenali dengan puasa enam. Allah SWT sebenarnya ingin menguji hamba-Nya apakah sanggup meneruskan puasa selepas sebulan Ramadan walaupun hanya sekadar enam hari. Rangsangan kepada mereka yang berpuasa enam ialah ganjaran yang besar seperti mana Nabi Muhammad bersabda: "Sesiapa berpuasa pada Ramadan, kemudian diiringi dengan (puasa) enam hari pada Syawal, maka ia seperti berpuasa satu tahun penuh." (Muslim).
Hikmah atau rahsia puasa enam hari Syawal untuk mendidik kesabaran kita, tidak menjadikan hari raya sebagai sebagai medan atau masa membalas dendam iaitu dengan makan makanan lazat sepuas-puasnya selepas sebulan berpuasa. Ia juga memberi kesempatan kepada tubuh untuk menyesuaikan diri sesudah dilatih sebulan penuh menahan lapar dan dahaga. Justeru diutamakan puasa enam bermula pada tanggal 2 Syawal kerana pada saat itu, godaan makanan melimpah ruah menerusi rumah terbuka. Matlamat puasa ialah melahirkan takwa. Jadi selepas Ramadan habis, bukan bermakna berakhir suasana ketakwaan kepada Allah SWT tetapi kita harus membuktikan ibadat Ramadan dengan peningkatan ketakwaan kepada Allah.
Oleh kerana Syawal bererti peningkatan, maka di sinilah letaknya kepentingan memelihara nilai ibadat Ramadan, terutama dalam memelihara ketakwaan kepada Allah SWT.
Selepas selesai menyambut kemenangan pada Aidilfitri, bukan bermakna berakhir perjuangan kita. Menurut pendapat hukama', seseorang yang mahukan buah daripada pokok yang ditanamnya, maka ia perlu merawat (menjaga) dengan cara menyiram sehingga akarnya dapat diserapi air dan menyebabkan daun-daun tidak kering dan layu. Apabila pokok tidak disiram maka daun dan batangnya akan layu dan kering, sementara buah yang diharapkan pasti tidak akan muncul. Demikianlah suasana raya. Selepas umat Islam menyambut lebaran dengan segala kegembiraan dan saling bermaaf-maafan, diharapkan mereka tidak lagi melakukan kesalahan dan kejahatan pada hari berikutnya. Ini kerana seseorang yang benar-benar dilatih menerusi Ramadan akan meninggalkan kesan positif dalam usaha membentuk insan muttaqin.