Jangan jadikan wang hantaran sebagai beban

Friday, 26 October 2007

BESUT 5 Mei – Masyarakat Islam di negara ini dinasihatkan agar tidak menjadikan wang hantaran sebagai satu beban sehingga menimbulkan masalah kepada bakal pengantin.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin berkata, perkara tersebut sepatutnya difahami dengan sebaik-baiknya bagi mengelakkan timbul masalah seperti lambat berkahwin terutama di kalangan gadis.

Menurutnya, jika masalah itu dibiarkan berlarutan. mungkin ramai gadis akan menjadi anak dara tua, manakala masalah sosial lain seperti bersekedudukan, zina dan membujang di kalangan lelaki akan bercambah.

Menurutnya, dalam Islam, kesudian golongan wanita untuk diterima menjadi isteri merupakan satu penghargaan kerana ia merupakan satu kesanggupan untuk menjaga anak dan suami.

“Bagi lelaki pula, persetujuan wanita menjadi isteri mereka merupakan satu ganjaran yang tidak ternilai harganya,” katanya kepada pemberita pada Majlis Cakna dan Mesra Rakyat di kediamannya di Kampung Baharu, dekat sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan kepada tiga pelajar daerah itu yang mencipta nama setelah muncul sebagai pelajar terbaik dan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Antaranya ialah Nadia Rohani Malek Panter Brick, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Nurul Ittifaq yang memperolehi 14 A1 dan muncul pelajar terbaik Terengganu dalam peperiksaan tersebut.

Abdullah yang juga Ahli Parlimen Besut berkata demikian sebagai mengulas trend segelintir masyarakat Islam negara ini yang meletakkan hantaran perkahwinan yang tinggi sehingga mencecah puluhan ribu ringgit.

Beliau berkata, jika wang hantaran tinggi menjadi amalan, tidak mustahil lelaki negara ini berkahwin dengan wanita negara lain atau pasangan bernikah di negara lain yang tidak memerlukan wang hantaran yang banyak.

“Jika ini berlaku, sudah pasti akan menimbulkan masalah dalam masyarakat kerana ramai gadis di negara ini akan menjadi anak dara tua,'' katanya.

Beliau juga menegurkan segelintir umat Islam yang mencari angka tertentu untuk menetapkan jumlah wang hantaran kononnya mempunyai tuah dan sebagainya.

“Jangan kita percaya angka-angka tertentu boleh mendatangkan tuah kerana tidak ada ketetapan itu dalam Islam, sebaliknya ambillah jalan yang tidak mendatangkan masalah kepada kedua-dua pihak,” ujarnya.

Comment:-

Kita sepatutnya kembali kepada Islam. Tidak perlu terlalu mengikut adat. Tidak salah berbelanja untuk mengadakan majlis seperti kebiasaan jika berkemampuan. Tetapi, dalam keadaan sekarang (khusus untuk graduan) dimana taraf hidup meningkat, begitu juga pengangguran, kerja yang tidak tetap, kerjaya baru bermula, pinjaman belum berbayar; agak sukar untuk mereka mengumpul belanja kahwin untuk mengadakan majlis seperti kebiasaan dalam masa terdekat. Benda yang baik seeloknya dipermudahkan. Mengapa benda-benda yang haram/maksiat lebih mudah diperolehi? Seperti kata MB Selangor, Dato' Seri Dr Khir Toyo, "hari-hari mendatang selepas berkahwin lebih penting daripada satu hari kita menjadi raja sehari". Nabi juga pernah bersabda, "berkendurilah kamu walaupun dengan hanya menyebelih seekor kambing". Sama-sama kita fikirkan.

http://formerigp.blogspot.com/

Posted by hAiRiL/spiderman_pink at 20:02  

0 comments:

Post a Comment