Antara Laylatul Qadar dan Keredhaan Allah
Friday, 12 October 2007
"Hmm, selalunya kereta banyak pukul tujuh ni, apasal pagi ni macam lengang aja, semalam Lailatul Qadar ke agaknya?" itulah perbualan singkat antaraku dan isteriku sewaktu memandu ke sekolah.
Bagi mereka yang mengejar 'hadiah' Laylatul Qadar, mereka akan meningkatkan amalan mereka di 10 malam terakhir Ramadhan. Ada yang 'bunk in' di masjid-masjid dan ramai juga yang beribadah di rumah. Pendek kata mereka inginkan 'bonus' tambahan pahala di bulan Ramadhan. Kini tinggal berapa minit lagi umat Islam akan meninggalkan Ramadhan. Bulan yang mana banyak meninggalkan nostalgia. Dan tidak lama lagi ,kita akan berjumpa dengan bulan Syawal. Tetapi ini tidak bermakna , apabila bukan bulan Ramadhan, maka kehidupan kita kembali seperti sediakala.
Saya teringat intipati dari kata-kata khutbah khatib yang lalu, "Bagi sesiapa yang beribadah kerana mengharapkan Lailatul Qadar, percayalah Lailatul Qadar telah meninggalkan kita. Tetapi bagi sesiapa yang mengharapkan Allah maka Allah akan senantiasa berada di bulan manapun...". Mesej dari kata-kata tersebut adalah supaya umat Islam tidak keliru walaupun tidak salah jika kita beribadah kerana mengejar pahala tetapi yang lebih penting dan lebih kekal adalah beribadah kerana mengejar keredhaan Allah. Berbahagialah orang yang mendapat keredhaan Allah tersebut kerana Allah akan menyayangi, menjaganya dan memeliharanya di mana sahaja dia berada.
Maka itulah kita perlu 'upgrade' ibadah kita dari ibadah seorang 'saudagar' yang motivated apabila dijanjikan habuan sahaja kepada ibadah seorang 'mukhlisin' iaitu seseorang yang beribadah dan patuh hanya kerana harapkan keredhaan Allah semata-mata. Kefahaman ini sangatlah penting terutama kepada mereka yang bekerja untuk Islam kerana Iblis telah bersumpah bahawa dia akan menggoda anak Adam dari berbagai penjuru, dan yang selamat adalah hamba-hamba Allah yang ikhlas sahaja. Perkara ini diceritakan juga dalam sebuah riwayat bagaimana sebuah A'bid yang beribadah bertahun-tahun lamanya akhirnya kecundang diperdaya oleh Iblis melalui amalannya sendiri sehingga jatuh ke kancah kehinaan kerana ingin mengejar ganjaran.
Maka itulah hanya amalan yang ikhlas sahaja yang akhirnya akan mampu beristiqamah di bulan-bulan yang lain selepas Ramadhan. Sayugia, marilah kita keluar daripada Ramadhan dengan membersihkan segala amalan kita hanya kepada mengharap keredhaan Allah. Marilah kita bersihkan niat kita menimba ilmu dari perasaan ingin mendapat gelaran 'ustaz' atau 'scholar' serta dipuji masyarakat, bersihkanlah sumbangan tenaga kita untuk dakwah dari inginkan pujian manusia serta dipanggil aktivis, pemimpin ataupun pendakwah, bersihkanlah ibadah kita dari merasa bangga dengan banyaknya juz atau ayat yang kita dapat baca atau hafal bersihkanlah amalan wakaf, zakat dan sedekah kita dari dikatakan dermawan bersihkanlah ego kita dari perasaan kita tidak perlukan jemaah bersihkanlah hati kita dari perasaan sifat hasad dengki kerana Allah berikan orang lain darjat yang lebih tinggi, ilmu yang lebih tinggi ataupun nikmat yang lebih banyak.
Sebaliknya, walaupun kita dianjurkan supaya bergembira untuk BerHari Raya, berasa takutlah juga kita andaikata usaha dan amalan sepanjang Ramadhan kita selama ini sebenarnya sia-sia dan tidak diterima Allah kerana menyelinap perasaan ujub.
Akhir kata, marilah kita memasuki bulan Syawal dengan mengikuti jejak bersihnya hati seorang Ansar yang Rasulullah 'declare' beliau adalah penghuni syurga sebanyak tiga kali dengan 'confession'nya kepada seorang sahabat yang ingin tahu rahsia beliau dengan kata-kata, "...aku tidak pernah merasa iri hati kepada orang lain."
Wallahua'lam
Abang Janggut aka Mohd Helmi MOHD SOM
--- Di sini Abang Janggut ingin memohon maaf Zahir dan Batin atas segala tulisan, percakapan serta fakta yang salah atau tersinggung. Sesungguhnya hanya Allah sahajalah yang 'perfect' dan segala kesalahan adalah datang dari kelemahan saya sendiri.
Selamat berjuang di medan post Ramadhan!!!spiderman_pink: .. ana pun sedemikian. Minal Aidil Wal Faezeen, Wal Maqbulin, Kullu Am' Wa Antum Bikhair :'(