Showing posts with label al-qur'an. Show all posts
Showing posts with label al-qur'an. Show all posts

“Holy Water” Versi Orang Melayu

Monday, 10 November 2008

http://an-nawawi.blogspot.com/

Kalau suatu ketika atau mungkin sehingga masa ini, nama Holy Water (Air Keramat) memang cukup terkenal sebagai air sihir yang dikatakan dihasilkan oleh golongan paderi dari kalangan penganut kristian. Sebahagian masyarakat Islam khususnya dari kalangan orang Melayu pernah menggembar-gemburkan isu air tersebut (Holy Water) yang dikatakan memiliki kuasa tertentu yang mampu menjadikan seseorang penganut Islam yang meminumnya murtad dengan serta-merta akibat dari melupai Allah, gagal membaca syahadah, dan lantas membenci agama asalnya. Tetapi sebaliknya akan terus berminat kepada agama kristian dan menganutinya.

Nah! Betapa hebatnya air Holy Water!

Namun sayangnya, fakta-fakta tersebut telah disangkal sendiri oleh para paderi kristian sekaligus menafikan kewujudan air sihir yang bersifat seperti itu. Seandainya ia benar sekalipun, ia tidak akan mampu memudharatkan umat Islam kerana Allah Subhanahu wa Ta’la telah berfirman,

“Dan mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudharat dengan sihirnya kepada sesiapa pun, kecuali dengan izin Allah.” (Surah al-Baqarah, 2: 102)

Secara logiknya, sekiranya Holy Water tersebut benar-benar wujud sebagaimana dikata yang memiliki kuasa sihir untuk mempengaruhi manusia memeluk kristian, sudah tentu tidak akan ada orang kristian yang akan masuk Islam. Tetapi itulah hakikatnya, di mana puluhan ribu manusia penganut kristian boleh memeluk Islam dengan sukarela saban waktu. Sehingga paderi-paderi mereka pun ramai yang mendapat hidayah memeluk Islam dan kini giat menjadi pendakwah yang mengajak orang lain menganut Islam.

Setelah kewujudan air “Holy Water” kristian itu menjadi reda, air “Holy Water” buatan orang melayu masih belum reda malah semakin menyubur sehingga ke masa ini.

Holy Water milik masyarakat melayu ini dikatakan mampu menjadikan seseorang yang asalnya malas menjadi rajin, si bodoh boleh menjadi bijak, orang yang gelap hatinya akan menjadi ulama, orang yang selalu gagal boleh menjadi manusia berjaya, orang bujang boleh segera bertemu jodoh, malah sehingga boleh menjadikan seseorang yang sakit tenat kembali sihat. Sehingga terdapat Holy Water dengan ramuan-ramuan yang tertentu mampu membantu mengubati sehingga penyakit jantung dan buah pinggang yang kronik.

Begitulah keajaiban Holy Water versi melayu. Ia bukanlah suatu yang ditakuti sebagaimana kewujudan Holy Water versi kristian. Tetapi, Air keramat versi melayu ini adalah air yang menjadi buruan masyarakat yang benar-benar belum mengerti yang mengejar keajaiban segera. Mereka sebenarnya menjadi mangsa oleh golongan agamawan yang merosakkan.

Malah, kini ia bukan lagi setakat air, tetapi produk ini kini diperluaskan lagi ke dalam bentuk lainya seperti melalui “Kismis Keramat”, “Madu Keramat”, dan seumpamanya. Produk-produk ini kini memiliki nilai komersil yang begitu hebat sekali.



Akhirnya, cara menghasilkan air-air keramat dan produk-produk keramat itu kian terbongkar! Caranya amat mudah iaitu hanya dengan memanggil mana-mana orang berpangkat tok-tok guru atau ustaz-ustaz tertentu supaya mereka membacakan doa-doa tertentu, atau jampi-jampi tertentu, atau dengan mana-mana ayat-ayat suci al-Qur’an atau kebiasaannya surah Yasin, pada produk-produk tersebut. Setelah dibacakan pada produk tersebut, maka ianya akan dibungkuskan untuk dipasarkan kepada para pengguna atau pembeli yang mengkehendakinya. Malah ada juga produk seperti madu asli yang khas dibacakan dengan 30Juzuk al-Qur’an oleh Ma’had-ma’had tahfiz tertentu bagi menjadikan madu tersebut lebih “power” (memiliki nilai tambah) berbanding madu asli yang lainnya. Malah dengan bacaan tersebut, akan menjadikan madu tersebut memiliki kuasa terapi dan daya penyembuhan yang lebih dasyat. Sehingga mampu memberikan keajaiban segera kepada para peminumnya. Wallahu a’lam.

Namun, tidak pula kita temui daya tambah yang seperti itu melalui kalam Rasulullah... wallahu a’lam. Meminum madu itu sememangnya anjuran sunnah, sayangnya tidak pula Rasulullah Shalallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan atau menunjukkan kaedah nilai tambah sebagaimana yang tersebut.

Sehinggakan saya sendiri pernah melihat ada sebahagian majlis-majlis bacaan yasin (yasinan) dan majlis-majlis tahlil (tahlilan) yang menyediakan air dalam jumlah-jumlah tertentu dengan diletakkan pada bekas-bekas tertentu yang kebiasaannya botol-botol bersaiz bekas mineral water, diletakkan pada kedudukan di tengah-tengah lingkaran majlis tersebut diadakan. Lebih menariknya, apabila bacaan/majlis hendak dimulakan, penutup bekas (atau botol) akan dibuka dan setelah tamat majlis, penutup botol akan ditutupkan semula. Kemudiannya air-air tersebut akan diagih-agihkan dan diminum dengan hasrat akan memberi keberkatan dan penerang hati kepada si peminumnya.

Malah, selain dari majlis itu, air-air seperti itu kini kian menjadi suatu bahan produk yang benar-benar memiliki nilai yang tinggi hasilnya. Serta memiliki nilai permintaan yang begitu tinggi di negara kita. Sekaligus mampu memberikan hasil pendapatan yang lumayan kepada para penjualnya.

Begitulah betapa telah meluasnya produk-produk ganjil dan aneh tersebut di dalam pasaran negara kita hari ini. Semuanya tidak lain, ianya wujud dan menjadi begitu “demand” disebabkan oleh kejahilan sebahagian masyarakat kita terhadap agama.

Jikalah benar para ustaz dan tok-tok guru tersebut ikhlas mahu membantu, apalah salahnya sekiranya dijampikan saja air sebanyak di lautan, air sepanjang sungai, air-air di empangan milik jabatan bekalan air, selebar air di tasik-tasik, air setelaga, beras di gudang-gudang, dan padi yang sedang menguning di sawah-sawah padi. Cara seperti ini lebih membantu, malah hasilnya kelak bakal diterima oleh keseluruhan masyarakat dengan lebih komprehensif dan adil. Kebaikannya bakal dapat dirasai bersama. Sama ada masyarakat yang miskin atau kaya. Yang mengetahui atau yang tidak mengetahui. Lalu, akan cerdik agama, bijak bestari dan sihat-sihat belakalah seluruh masyarakat kita lantaran berkatnya Holy Water versi melayu tersebut. Akhirnya, seluruh negara akan mendapat manfaatnya. Nescaya akan cemerlang, gemilang dan terbilang masyarakat kita di Malaysia dengan berkatnya Holy Water versi melayu tersebut. Kelak akan lahirlah bijak pandai Melayu yang bakal menerima anugerah Nobel di peringkat antarabangsa, dan apabila ditanya tentang rahsia kejayaannya, maka jawablah, “Saya mengamalkan memakan madu keramat atau air penerang hati atau mungkin juga kismis doa!”

Tidak dinafikan memang wujud hadis-hadis yang menunjukkan kepada adanya persoalan ruqyah dan jampi. Namun bukanlah sehingga diperluaskan skopnya kepada semua persoalan dan malah sehingga ianya dikomersilkan (dipasarkan).

Perlu untuk kita fahami sesuatu konsep itu dengan betul. Bahawa orang yang jahil (bodoh), ubatnya adalah dengan menuntut ilmu, orang yang gelap hatinya adalah dengan mempelajari al-Qur’an dan hadis, ubat bagi sebuah kegagalan adalah dengan meningkatkan daya usaha dan perancangan, orang yang malas ubatnya adalah dengan motivasi dan galakkan, orang yang sakit adalah dengan berjumpa doktor. Jangan kita brputus asa, Malah Allah memberi ruang kepada kita agar sentiasa berdoa memohon kepadanya.

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah ar-Ra’d, 13: 11)

Mungkin ada sebahagian penyakit seperti kerasukan jin atau terkena sihir, bolehlah dia diruqyah iaitu diberi rawatan dengan cara terapi jampi berpandukan petunjuk as-Sunnah. Iaitu dengan doa-doa tertentu yang tsabit dari as-Sunnah dan dengan membaca ayat-ayat suci al-Qur’an tertentu. Juga mereka yang terkena sengatan lipan dan gigitan haiwan berbisa tertentu, maka memang ada sunnahnya dalam hal ini. Namun, perlulah merujuk dengan kaedah yang benar-benar sahih dari petunjuk Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Bukannya main hentam kromo mengikut hawa nafsu yang kemudiannya dijadikannya sebagai produk meraih keuntungan. Bukanlah juga dengan sekadar membeli air pelbagai kegunaan cap “tok ustaz” di pasaran lalu diberikan kepada anak-anak yang sedang demam, anak yang mahu mengambil peperiksaan, anak-anak yang mahu menambah daya hafalan, dan seumpamanya.

Cara yang terbaik adalah si pesakit (yang mengalami gangguan) mengubati dirinya sendiri berpandukan zikir-zikir atau doa-doa yang ditunjuk-ajarkan oleh baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melalui hadis-hadisnya yang sahih. Di samping itu, mereka sendirilah yang perlu mengubah cara hidupnya iaitu dengan cara memperbaiki amal-amalnya, menjauhi syirik (sentiasa memelihara aqidah), dan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah. Tidak lupa supaya dia sentiasa membaca, meneliti, serta mengamalkan isi kandungan al-Qur’an di mana pun dia berada. Jangan sehingga menjadikan rumahnya seperti kawasan kuburan yang tidak dibacakan al-Qur’an. Begitulah indah dan mudahnya mengamalkan Islam. Ia dipraktikkan berdasarkan ilmu dan keikhlasan.



Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman, “Sesiapa yang beramal soleh, sama ada dari lelaki atau perempuan, dan ia sentiasa di dalam keadaan yang beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang telah mereka kerjakan.” (Surah an-Nahl, 16: 97)

Berdoalah dan mintalah kepada Allah dengan istiqomah dan menjauhi perbuatan-perbuatan yang menjurus kepada syirik. Mintalah kepada Allah dengan bersungguh-sungguh tanpa putus asa. Allah itu Maha Mendengar, Maha Pemurah, Maha Penyayang, dan Maha memperkenankan doa. Dia sentiasa dekat dan memberikan pertolongan kepada hamba-hambanya yang beriman.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman, “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Surah al-Baqarah, 2: 186)

Maka, dengan ini, tinggalkanlah air-air keramat berupa produk-produk yang boleh menjadikan kita sebahagian dari pengikut hawa nafsu! Berubahlah dengan menjadi manusia yang beragama berpandukan ilmu.

Read More...

Posted by hAiRiL/spiderman_pink at 23:32 0 comments  

Husnuzzan (Berbaik Sangka) Sesama Muslim

Saturday, 8 November 2008

Segala puji Bagi Allah Yang Maha Pengampun segala kesalahan dan Maha Menerima taubat hamba-Nya. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad, keluarga dan sahabat Baginda.

Sama-samalah kita berlumba membuat kebajikan dan amalan soleh serta memperbaiki diri sebagai bekalan untuk hari esok sebagaimana firman Allah Ta’ala (yang bermaksud): “Hari yang tidak berguna harta benda dan anak pinak kecuali mereka yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera”.[Surah Asy-Syu’ara’ 88-89]


Hubungan yang murni dan suci sesama manusia merupakan maqasid (tujuan syariat) Islam, iaitu berlapang dada, mesra, kasihan belas, ukhuwwah, berkasih sayang dan sebagainya. Adalah menjadi kewajipan ke atas kita untuk mengekalkan hubungan dan ikatan sesama insan seteguh cerucuk yang ditanam dan sekukuh bangunan yang dibina, kita hendaklah bertemu manusia dengan dada yang lapang, hati yang bersih dan muka yang manis. Seterusnya kita hendaklah berbaik sangka dalam hubungan sesama manusia, menjauhkan sikap memandang serong kepada amalan orang, pegangan (aqidah) dan perkataan mereka.

Jika diperhatikan hubungan sesama muslim, kita akan dapati satu fenomena yang mendukacitakan, dengan ikatan persaudaraan yang tercarik dan simpulan ukhuwwah yang terungkai, disebabkan oleh sangkaan dan prasangka buruk, syak wasangka dan tuduhan yang tidak berasas.

Banyak kedengaran dalam majlis perbincangan umum ataupun khusus, tuduhan-tuduhan seperti; ‘pulan bermaksud begini’, ‘niat si pulan begini’, ‘maksud perbuatan atau perkataannya begini’… perkara seperti ini, semuanya lahir daripada buruk sangka yang merosakkan, menyalakan perasaan dengki dan kebencian, meruntuhkan hubungan baik masyarakat, menggoncangkan keutuhan ukhuwwah, memutuskan tali kekeluargaan, menanamkan sifat ragu dikalangan individu dan masyarakat. Bahkan berapa banyak yang telah kita dengar peristiwa besar dan bencana yang menimpa berpunca daripada sangkaan jahat (su’ uzzan) yang diletakkan bukan pada tempatnya.

Apabila penyakit su’ uzzan menular ke dalam diri, ianya akan membawa kepada; terlalu cepat membuat tuduhan, suka mencari kesalahan orang, suka menerima berita keburukan orang, suka mencari dan menyelidik rahsia keburukan orang. Kerana itu kita lihat orang yang bersikap su’ uzzan sering berkata: “Saya akan cuba memastikan kebenaran perkara ini”, maka, dia mula mencari rahsia dan kemungkinan dia akan mengumpat. Mungkin juga, dia akan menyebut saudara muslimnya dengan perkataan jahat maka dengan itu dia telah melakukan dosa yang berganda dan maksiat yang merosakkan. Di sini tersembunyi satu bahaya apabila hubungan sesama muslim dibina di atas sikap prasangka su’ uzzan, maka sangkaan menjadi asas kepada kasih sayang atau kebencian terhadap seseorang. Semua ini adalah pembunuh sikap berkasih sayang dan memusnahkan makna mahabbah.

Menebalnya sikap prasangka su’ uzzan akan menjadikan manusia mudah melemparkan tuduhan terhadap sesama mereka, kemudian tidak akan ada lagi sikap saling percaya-mempercayai, bahkan mereka akan sering berbalah-balahan, tidak bertegur sapa dan memutuskan hubungan, ini merupakan suatu sikap yang akan membawa kepada hilangnya kekuatan dan keutuhan umat.

Zan atau sangkaan terbina di atas asas agakan atau satu perkataan atau amalan yang diragukan. Zan akan menjadikan seseorang menurut perasaan di dalam dirinya yang suka membuat tohmahan terhadap saudaranya, maka dengan itu Zan akan menguasai dirinya juga cara pemikirannya. Sehingga kamu akan dapati orang yang bersikap prasangka akan merasakan seseorang yang disangkakan tidak baik itu telah melakukan kesalahan yang banyak berdasarkan khayalan sangkaannya hasil daripada sikap buruk sangkanya terhadap saudaranya.

Bahkan sehingga salam yang diucap oleh seorang muslim kalau telah dilingkungi oleh prasangka, boleh dianggap sebagai ejekan atau celaan, demikian juga dengan senyuman akan dianggap sebagai perlian atau sinisan, pujian dan pemberian hadiah juga boleh disalah ertikan dengan berbagai anggapan yang akan membawa kepada perbalahan dan perselisihan.

Firman Allah Taala (yang bermaksud): “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari keaiban orang lain dan janganlah kamu mengumpat akan setengahnya yang lain”. [Al-Hujurat: 12].

Ayat ini menunjukkan perintah supaya menjaga kehormatan orang muslim dengan sebaiknya kerana ianya didahului dengan tegahan daripada bercakap tentangnya dengan sangkaan. Kalau orang yang berprasangka mengatakan: ‘Saya akan kaji dan selidik’! Katakanlah kepada mereka: “Janganlah kamu mencari-cari keaiban orang lain”. Jika mereka berkata: ‘Saya telah pastikannya dengan tidak mencari keaiban’. Katakanlah: “Janganlah kamu mengumpat di antara satu sama lain”.

Firman Allah Taala (yang bermaksud): “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan”. Seruan kepada orang-orang mukmin, menyeru agar jangan biarkan diri mereka menjadi mangsa kepada semua yang terlintas dalam hati yang sering menyangka, syak dan ragu-ragu terhadap keadaan orang lain. Dengan ini Al-Quran telah membersihkan hati dari terkena kotoran prasangka yang akan membawa dosa, biarlah hati terus bersih daripada sebarang syak dan keraguan, bersih perasaannya terhadap saudaranya. Alangkah indahnya hidup di dalam masyarakat yang bersih dari prasangka.

Berkata sebahagian ulama’: “Perkara yang membezakan syak atau sangkaan yang mesti dijauhkan daripada yang sebaliknya ialah setiap keraguan yang tidak ada tanda yang sahih serta sebab yang nyata adalah haram, wajib dijauhi. Iaitu jika sekiranya seseorang itu dari kalangan orang yang baik atau yang tersembunyi kejahatannya, seorang yang tampak amanah pada zahirnya, maka meyangka jahat terhadapnya adalah haram. Ini berbeza dengan orang yang telah terkenal dari kalangan manusia yang sering melakukan perkara yang meragukan atau melakukan kejahatan secara terang-terangan”.

Ini kerana kebanyakan ulama’ berpendapat: “Tidak boleh berprasangka buruk kepada orang yang zahirnya tampak baik dan tidak mengapa berprasangka tidak baik terhadap orang yang zahirnya tampak tidak baik”.

Dari Sa’id bin Al-Musayyib rh katanya: ‘Telah menulis kepada saya beberapa orang ikhwah daripada sahabat Rasulullah : Hendaklah engkau meletakkan urusan/perkara saudara engkau di tempat yang sebaiknya selagi kamu tidak didatangi oleh perkara yang menurunkannya dan jangan kamu menyangka satu kalimah yang keluar daripada seorang muslim itu tidak baik sedangkan kamu masih ada peluang untuk menjadikannya baik’.

Manhaj ini sangatlah dituntut apabila berdepan dengan orang yang mempunyai kelebihan dan kebaikan (ulama’, pendakwah dan lain-lain), ini adalah termasuk dalam fiqh Al-Maqasid dan niat, yang mungkin tidak disedari oleh setengah golongan, menyebabkan mereka sering menjatuhkan hukuman salah ke atas orang lain dengan tidak mengambil kira keadaan, niat dan tujuan orang tersebut. Mungkin kesalahan itu merupakan satu perkara yang tidak disengajakan dan beliau tidak bermaksud dengan kejahatan sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Ibnu Al-Qayyim rh dengan katanya: “Satu kalimah yang sama, diucapkan oleh dua orang yang berbeza, seorang bermaksud dengan kebatilan dan seorang lagi bermaksud dengan kebenaran, yang diambil kira (iktibar) ialah cara, pemikiran, mazhab dan ideologi yang didokong oleh orang yang berucap juga pegangan yang dipertahankannya”.

Kerana itu tidak dihukum kafir seorang yang kerana terlalu gembira sehingga tersalah mengatakan: ‘Ya Allah, Engkaulah hambaku dan akulah tuhanMu’, kerana dia tidak bermaksud menjadikan dirinya sebagai tuhan.

Sheikhul-Islam Ibnu Taimiyah rh menukilkan tulisan orang yang bercanggah dengan pendapatnya kemudian beliau mengatakan: “Kalam ini terlalu umum, orang yang inginkan kebenaran akan meletakkannya di tempat yang baik dan sebaliknya orang tidak menginginkan kebenaran akan memasukkan (menambah, menafsir, mentakwil) nya dengan bermacam-macam…”.

Inilah manhaj yang tinggi, sikap terbuka yang telah diterima oleh As-Salafussoleh… adil dan insaf yang telah digariskan oleh ulama’ ummah… mereka telah meletakkan perkataan yang mengandungi berbagai maksud di tempat yang baik… melapangkan dada yang terbuka, bebas dari pengaruh hawa nafsu, baik diri dan menasihati ummah… di mana kita dengan manhaj ini?

Bukan dari manhaj salaf menambah (menafsir, menghurai..) kan lafaz (yang tidak disebut) sehinggakan mengubah maksud, gembira dengan menyebarkan kesilapan orang dan bermuamalah sesama muslim dengan su’ uzzan, sangkaan jahat.

Sebahagian daripada prasangka ialah meletakkan perkataan dan perbuatan orang lain di tempat yang tidak baik iaitu dengan membesarkan kesalahan dan memandang mereka dengan penuh tohmahan, tanpa meneliti sebab atau mencari keuzuran, setiap perkataan yang boleh ditafsir dengan maksud yang baik dan tidak baik, akan diambil yang tidak baik…Subhanallah! Bagaimana mereka menghukum dengan menafsirkan niat dan tujuan dalam diri orang lain?.

Sesungguhnya perkara yang tersembunyi dan rahsia dalam diri untuk memuhasabahnya adalah ciri-ciri yang hanya tertentu bagi Allah swt Yang Maha Mengetahui perkara yang tersembunyi dan rahsia. Adapun manusia tidak ada hak baginya ke atas saudaranya kecuali amalannya yang zahir, inilah amalan Salafussoleh yang terdahulu, yang telah penuh hati mereka dengan didikan Islam yang sempurna lagi bersih.

Sheikh Abdur Razzaq Radhiallahuanhu telah meriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Utbah bin Mas’ud katanya: Aku dengar ‘Umar bin Al-Khattab ra berkata: “Bahawa sesungguhnya manusia pada zaman Rasulullah saw diberi penjelasan dengan wahyu dan wahyu telah terputus, kita sekarang hanya boleh mengambil kira perbuatan yang zahir daripada amalan kamu, sesiapa yang menzahirkan kepada kami kebaikan kami akan percaya dan dekat dengannya, tidak ada hak bagi kami mencampuri perkara yang tersembunyi, Allah akan menghisabnya. Sebaliknya sesiapa yang menzahirkan kejahatan kami tidak akan mempercayai dan membenarkannya, walaupun dia berkata niatnya baik”. Maka setiap muslim hendaklah memuhasabah dirinya dengan setiap kalimah yang diucapkannya atau suatu hukum yang dikeluarkannya, sentiasalah mengingati firman Allah Taala (yang bermaksud): “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang perkara yang dilakukan”. [Al-Isra’ 36].

Su’ uzzan atau sangkaan buruk terjadi daripada beberapa sebab, yang paling banyak terjadi ialah apabila seorang individu dibesarkan dalam suasana yang terkenal dengan akhlak yang buruk, buruk sangka, sama ada di rumah atau bersama kawan-kawan, menjadikannya berniat tidak baik dan mempunyai hati yang busuk.

Sesiapa yang mengikut hawa nafsu akan membawanya kepada perasaan zan dan sangkaan dusta, kerana kasihkan sesuatu akan menjadikannya buta dan tuli dan apabila seseorang cenderung kepada yang lain dengan hawanya, akan menjadikannya lupa kesalahan orang itu dan sentiasa berbaik sangka dengannya, walaupun orang itu melakukan kesalahan, demikianlah juga sebaliknya, dia akan sentiasa berprasangka buruk, mencari kesalahan dan menimbulkan kesilapan, walaupun orang itu benar pada dasarnya.

Sesetengah manusia ada yang bersikap bongkak, mengagumi kebolehan dirinya, sentiasa merasakan dirinya benar dan orang lain bersalah, membanggakan dirinya dan menghina orang lain, semua ini akan menjadikannya bersikap buruk sangka terhadap orang lain.

Sesungguhnya fenomena buruk sangka sesama Islam telah begitu meluas di zaman kita, menjadi barah yang meruntuhkan hubungan dan kesatuan (wehdah) di antara individu dan masyarakat muslim, ini adalah merupakan satu kesan negatif terhadap kekuatan masyarakat untuk menghadapi cabaran dari dalam dan luar.

Buruk sangka, menuduh tanpa asas, cepat menghukum telah menakutkan orang, menzalimi beberapa golongan dan beberapa orang yang soleh telah dijauhkan tanpa sebab yang diizinkan oleh syariat, sebagaimana kata orang dahulu: ‘Aku melihat permusuhan tetapi tidak melihat sebabnya’. Semuanya berpunca daripada percakapan yang tidak ada sandaran…hanya sangkaan yang buruk, umpatan jahat dan tuduhan palsu, firman Allah Taala (yang bermaksud): “Dan orang-orang yang menyakiti orang lelaki dan perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan tanpa kesalahan yang mereka lakukan, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata”. [Al-Ahzab 58].

Setelah jelas kepada kita –wahai saudara- bahawa buruk sangka adalah satu penyakit yang merosakkan, maka kita mesti berusaha untuk membendungnya sebelum ia terus merebak dan menghancurkan.

Di antara ubatnya ialah: berbaik sangka (husnuzzan) dengan manusia, jauhkan sikap buruk sangka, berfikir semasaknya sebelum membuat tuduhan atau hukuman. Sekiranya engkau tersalah kerana berbaik sangka adalah lebih baik daripada tersalah kerana cepat menghukum dengan buruk sangka. Kata Saidina ‘Umar bin Al-Khattab ra: “Jangan kamu membuat sangkaan terhadap satu kalimah yang keluar daripada seorang saudara mukminmu kecuali kebaikan selagi kamu masih ada cara untuk meletakkannya di tempat yang baik”.

Ubat yang seterusnya: sentiasa mencari keuzuran yang boleh memaafkan manusia, tinggalkan sikap suka mencari kesalahan atau mengorek keburukan orang lain, sentiasa berpegang dengan adab dan ajaran Islam dalam menghukum seseorang atau sesuatu perkara yang jelas dan meninggalkan segala yang tersembunyi hanya kepada Allah Yang Maha Mengetahui semua rahsia dan segala yang tersembunyi.

Firman Allah Taala (yang bermaksud): “Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan semata-mata, pada hal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran”. [An-Najmi, 28].


Sumber:

PERUTUSAN HARI RAYA 1422H DARI MIMBAR MASJID RASULULLAH SAW
Oleh: Sheikh Dr. Abdul Bari ‘Awad Ath-Thubaiti (Imam Masjid An-Nabawi)
http://alminbar.net/

Alih Bahasa Oleh: Abu Anas Madani.
Madinah, Syawal 1422.
http://www.abuanasmadani.com/

Read More...

Posted by hAiRiL/spiderman_pink at 23:32 0 comments  

Hindari Sifat Munafik

Thursday, 16 October 2008

Bukanlah satu perkara yang mudah untuk menghadapi manusia yang memiliki sifat munafik. Sejarah pernah memaparkan dakwah Rasulullah saw telah beberapa kali mendapat tentangan yang dilakukan oleh orang-orang munafik. Mereka ini diketuai oleh Abdullah bin Ubai bin Salul. Antara kejahatan Abdullah ini ialah dia pernah menaburkan fitnah terhadap Ummahatul Mukminin Saidatina Aisyah r.anha. Aisyah telah tertinggal daripada rombongan kafilah yang hendak pulang ke Madinah lalu ditemui Safwan bin Mu’attal yang bertugas sebagai peronda untuk memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan. Saidatina Aisyah kemudian dihantar pulang, namun kesempatan ini diambil oleh orang-orang munafik untuk memfitnahnya. Fitnah ini merupakan ujian yang sangat berat kepada Siti Aisyah. Fitnah ini tidak dapat dikawal kerana orang-orang munafik telah menyebarkannya. Walaupun fitnah ini sukar dibuktikan, tetapi ia juga sukar dinafikan. Akhirnya Allah SWT telah menurunkan wahyu dan membersihkan maruah Saidatina Aisyah daripada difitnah. Peristiwa ini menunjukkan betapa sukarnya untuk menghadapi fitnah orang-orang munafik. Hanya dengan berpandukan Al-Quran, hadis dan sejarah perjuangan baginda Rasulullah saw sahaja akan kita dapat mengetahui rahsia tipuan mereka dan bagaimana menghadapinya.

Secara kasarnya syariat telah menggariskan sifat-sifat asas orang-orang munafik ini iaitu “melahirkan suasana Islam dan menyembunyikan kekufuran.” Mereka ini muncul di peringkat Madinah iaitu ketika umat Islam telah membina kekuatan ekonomi, ketenteraan, undang-undang, pertanian dan lain-lain bidang kehidupan. Orang-orang munafik menyembunyikan kekafiran terhadap Allah SWT, Rasul-Nya dan kitabullah. Orang-orang munafik akan ditimpa seksaan sebagaimana firman Allah swt: “Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada darjat yang paling bawah sekali dalam neraka.” (Surah An-Nisa :145)

Sifat-sifat munafik terlalu banyak dan ada di antaranya sangat seni sehingga memungkinkan seseorang Muslim tidak dapat bebas daripadanya. Sering terjadi campur aduk antara kekafiran dan iman yang sentiasa berbolak-balik dalam jiwa seseorang. Apabila ini terjadi, dia disifatkan sebagai orang yang mempunyai “tanda-tanda munafik.” Justeru itulah, para sahabat Rasulullah saw sangat bimbang dengan tanda-tanda munafik yang mungkin terselit dalam hati mereka.

Orang-orang munafik merupakan orang-orang yang sangat berbahaya. Allah SWT sendiri telah mengingatkan kita akan tipu helah mereka hampir setiap surah dalam Al-Quran. Jadi, apakah tanda-tanda munafik yang diberitahu Allah kepada kita? Sifat-sifat orang munafik menurut Al-Quran adalah seperti berikut:

Menuduh orang beriman bersifat bodoh
Allah SWT telah menjelaskan sifat munafik ini dalam firman-Nya: “Apabila dikatakan orang kepada mereka, “ Berimanlah kamu sebagaimana manusia yang telah beriman, mereka berkata: Masakan kami beriman, sebagaimana orang-orang bodoh yang telah beriman. Ketahuilah sesungguhnya mereka itulah yang sebenarnya bodoh tetapi mereka tidak tahu.” (Al-Baqarah: 13)

Setiap kali ada umat Islam yang ingin mengamalkan cara hidup Islam, mereka akan dituduh kolot atau ketinggalan zaman. Sekiranya ada di antara mereka ingin meninggalkan amalan riba dalam pembelian, mereka telah dituduh bodoh dan menjalani perniagaan tidak menguntungkan. Sekiranya mereka menjaga batas-batas syariat dalam pergaulan, mereka giat dituduh sebagai penghalang kepada kemajuan dan sebagainya. Kerja-kerja yang tidak menyenangkan ini dilakukan oleh orang-orang munafik.

Menyuruh kepada yang mungkar dan melarang yang makruf
Firman Allah SWT: “Orang munafik lelaki dan orang munafik yang perempuan sesetengah serupa dengan yang sesetengah. Mereka menyuruh membuat yang mungkar dan melarang daripada membuat kebajikan, mereka menggenggam tangannya (bakhil). Mereka lupa akan Allah SWT, oleh yang demikian Allah melupakan mereka pula. Sesungguhnya orang-orang munafik itulah orang-orang yang fasik.” (Surah At-Taubah: 67)

Keras kepala dan berbangga dengan dosa
Firman Allah SWT: “Apabila dikatakan kepadanya: Takutlah kepada Allah. Kesombongan menjadikan dia berbuat dosa. Maka cukuplah api neraka untuk balasannya dan adalah api neraka itu seburuk-buruk tempat tinggal.” (Surah Al-Baqarah: 206)

Orang-orang munafik sangat sukar untuk diberi keinsafan. Mereka rela mati dalam mempertahankan kebatilan yang mereka sembunyikan itu. Sejarah pernah menceritakan bagaimana Abdulllah bin Ubai telah terperangkap beberapa kali dalam 'lubang' yang digalinya sendiri, tetapi masih terus-terusan tidak insaf. Seluruh umurnya digunakan untuk menentang Islam.

Membantu orang kafir dan mengintip-intip orang beriman
Sifat munafik ini diceritakan Allah SWT dalam firman-Nya: “Khabarkanlah kepada orang-orang munafik bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih iaitu orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu?”

“Iaitu orang yang menunggu-nunggu (peristiwa) yang akan terjadi pada dirimu (hai orang-orang mukmin). Maka jika terjadi bagimu kemenangan daripada Allah, mereka berkata: “Bukankah kami (turut berperang) berserta kamu?” Dan jika orang-orang kafir mendapat keuntungan (kemenangan), mereka berkata; “Bukankah kami turut memenangkanmu, dan membela kamu daripada orang-orang mukmin?” Maka Allah akan memberi keputusan di antara kamu di hari kiamat dan Allah sekali-kali tidak akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk memusnahkan orang-orang yang beriman.” (Surah An-Nisaa': 138 - 141)

Pendirian orang munafik umpama lalang. Arah mana angin bertiup, ke situlah ia condong. Sebenarnya orang-orang munafik cuba mendapatkan keuntungan daripada kedua-dua belah pihak, Islam ataupun kafir. Walaupun begitu, hati mereka lebih kasih kepada orang kafir dan sentiasa berusaha untuk mengekalkan kekuasaan orang-orang kafir terhadap orang Islam.

Penipu, riak dan malas melaksanakan ajaran Islam
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Jika mereka berdiri mengerjakan solat, mereka berdiri dengan malas, serta riak (menunjuk- nunjuk) kepada manusia. Tiadalah mereka itu mengingati Allah kecuali sedikit. Mereka itu di dalam keraguan antara kafir dengan iman.” (Surah An-Nisaa': 142-143)

Orang munafik tidak akan merasa kemanisan bahkan seolah-olah rasa terpaksa setiap kali melakukan ibadah. Semuanya dilakukan demi mengelabui mata manusia. Sifat malas, cuai, suka bertangguh-tangguh dan bermudah-mudah akan dapat dilihat dengan jelas. Oleh kerana itu sudah menjadi tradisi bagi Khalifah Ur Rasyidin yang empat, mereka tidak akan menyerahkan apa-apa jawatan kepada orang yang cuai beribadah (terutamanya solat) kerana khuatir amanah rakyat jatuh ke tangan orang-orang munafik.

Memecah-belahkan orang beriman dengan projek-projek yang tidak ikhlas
Rasulullah saw pernah menyuruh para sahabat meruntuhkan sebuah masjid yang didirikan oleh orang-orang munafik. Peranan masjid yang asalnya suci telah dijadikan tempat untuk memecah-belah perpaduan orang-orang beriman. Orang munafik merasakan tindakan mereka bertopengkan agama itu akan berjaya. Namun Rasulullah saw lebih tahu apa yang tersirat di hati mereka. Allah SWT telah memberitahu hal ini melalui firman-Nya: “Dan (di antara orang-orang munafik itu) ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudaratan (pada orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah-belahkan antara orang-orang mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu.

Mereka sesungguhnya telah bersumpah: “Kami tidak mengehendaki selain kebaikan.” Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya). (Surah At-Taubah : 107)

Begitulah sifat-sifat orang munafik. Mungkin ada manusia bersifat munafik ini sangat hampir dengan kita seperti mana hampirnya Abdullah bin Ubai dengan Rasulullah saw. Mereka sanggup mengorbankan tenaga dan harta seolah-olah untuk membangunkan Islam tetapi hakikatnya adalah untuk menghancurkan perjuangan Islam. Bak kata pepatah, “tangan kanannya membangunkan Islam, namun tangan kiri meruntuhkan.”

Apakah tindakan kita selama ini seperti mana pepatah ini? Bagaimanakah kita dapat meng hadapi golongan munafik ini? Pertama, kita mestilah mempelajari Islam sedalam yang boleh dengan mengikuti kelas-kelas pengajian supaya kita tidak mudah tertipu. Kita tidak mahu disebabkan oleh kejahilan, kita sendiri yang mencemarkan Islam. Kedua, berhati-hatilah dengan siapa kita berkawan. Sekiranya kawan kita itu mengajak kepada yang mungkar dan meninggalkan yang makruf, nasihatilah dengan baik. Tanganilah segala permasalahan berpandukan syariat Islam. Sentiasalah bermuhasabah diri supaya setiap hari kita dijauhi daripada memiliki sifat-sifat munafik.

Allah SWT telah berfirman: “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan memberi jalan keluar dan mengurniakan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka datangnya.” (Surah At-Talak: 2)

*Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata:
Rasulullah saw. bersabda: Ada tiga tanda orang munafik; apabila berbicara ia berbohong, apabila berjanji ia mengingkari dan apabila dipercaya ia berkhianat

Read More...

Posted by hAiRiL/spiderman_pink at 23:32 0 comments  

Penyebab Rusaknya Ilmu

Sunday, 5 October 2008

Oleh: Shohib Khoiri, Mahasiswa tingkat akhir Universitas al-Azhar Kairo

Sudah empat belas abad yang lalu Rasulullah mewanti-wanti kita akan adanya ulama suu’ (buruk), mereka tidak mengajak kita kepada surga, akan tetapi justru mengajak kita kepada neraka. “Gelar” cendekiawan sering kali melenakan kita dan menipu kita, sehingga kita terkagum-kagum dan membenarkan segala perkataannya tanpa memperhatikan maksudnya. Saya teringat dengan nasehat kyai saya dahulu ketika masih di pesantren tentang bahaya penyakit ini, beliau berkata kurang lebih “Sebesar apa pun kecintaan kita pada seorang ulama atau orang-orang yang benar, maka janganlah hal tersebut melebihi cinta kita kepada kebenaran, karena orang benar tidak akan selamanya benar, sedangkan kebenaran selamanya akan benar”. Mungkin ini sesuai dengan pepatah arab “undzur maa qaala wa laa tandzur man qaala”, lihatlah apa yang dikatakan tetapi janganlah engkau melihat siapa yang mengatakannya..

Kalaulah kepada orang-orang yang ‘alim dan pintar kita tidak boleh terkagum-kagum dan taqlid buta, maka apalah jadinya jika seandainya kita terkagum-kagum kepada al-Muta’aalim (bukan al-muta’allim) yaitu orang-orang memperlihatkan diri seakan-akan berilmu, padahal tidak. Ulama-ulama terdahulu sudah mewanti-wanti akan hadirnya golongan al-muta’aalim ini, mereka banyak berkata-kata tentang agama dan ijtihad padahal mereka belum sampai pada derajat mujtahid, merekalah yang merusak ilmu dan agama. Maka tidak heran jika Ibnu Abidil Barr al-Qurthuby berkata dalam Jami’nya dan Al-Ghazali dalam Ihyanya “Lau sakata man lam ya’lam saqatha al-khilaf” (jika orang-orang yang tidak tahu diam niscaya tidak akan terjadi perselisihan).

Islam adalah agama yang mengenal istilah otoritas, Islam melarang kita untuk berbicara tentang dien semau mulut kita, islam mengajarkan kepada kita untuk bertanya tentang agama kepada mereka yang tahu atau ahli dalam bidangnya, fas-aluu ahla adz-dzikr in kuntum laa ta’lamun. Lalu siapakan para ulama itu? Allah berfirman: Innama yakhsyaLLaha min ‘ibaadihi al-ulama.. (Sesunggu yang paling takut kepada Allah dari hamba-hamba-Nya adalah Ulama).. Imam Ibnu Katsir dalam Tafsir al-Quran al-A’dzimnya mengutip perkataan Ibnu Abbas mengenai pengertian kata ulama dalam ayat ini, Beliau berkata: al’aalim bi ar-Rahman man lam yusyrik bihi syai-an wa ahalla halaalahu wa harrama haraamahu wa hafidza washiyyatahu wa aiqana annahu mulaaqiihi wa muhaasab bi’ilmihi (orang yang mengenal ar-Rahman dengan tidak mempersekutukannya, menghalalkan apa-apa yang dihalalkannya, mengharamkan apa yang diharamkan oleh-Nya, menjaga segala wasiat-Nya/perintah-Nya dan yakin bahwa ia akan bertemu dengan-Nya serta akan dimintai pertanggung jawaban atas ilmu yang dimilikinya). Dari perkataan beliau sudah sangat jelas bahwa ulama adalah mereka yang mempunyai karakter diatas, yang dapat menyatukan antara ilmu dan amal dan yakin bahwa ilmu mereka akan dipertanggung jawabkan di akhirat kelak, maka dari itu ulama bukanlah mereka yang menghalakan homoseksual/lesbian, menghalalkan pernikahan muslimah dengan non muslim, menginjak lembaran-lembaran al-Quran atau mengatakan tidak ada hukum Allah di muka bumi walaupun mereka bergelar “cendekiawan”. Benarlah apa yang dikatakan oleh Sufyan ats-Tsauriy: Ta’awwadzu billah min fitnatil ‘aabid al-jaahil wa min fitnati al-’aalim al-faajir, fa-inna fitnatahuma fitnatun likulli maftuun (Berlindunglah kepada Allah dari fitnah seorang ahli ibadah yang jahil dan dari fitnah seorang ‘alim yang gemar maksiat, karena fitnah keduanya ibarat sihir bagi orang-orang yang tersihir)

Menurut Syeikh Bakr Abu Zaid Rahimahullah, seorang ulama yang tidak diragukan lagi keilmuan dan kesholehannya, salah satu faktor penyebab rusaknya ilmu sehingga terjadi berbagai macam perselisihan adalah: An ya’taqida al-insan fii nafsihi aw yu’taqada bihi annahu min ahli al-’ilm wa al-ijthaad fii ad-diin – wa lam yablugh tilka ad-darajah – fa ya’mal ‘alaa dzaalika (jika seseorang yakin atau diyakini bahwa ia termasuk ahli ilmu – padahal ia belum sampai pada derajat tersebut – kemudian ia beramal sesuai dengan ilmu yang ia yakini). Mereka berkata-kata tentang agama berdasarkan akal mereka atau mungkin mereka belajar kepada orang-orang men”tuhan”kan akal mereka..

Inilah apa yang disabdakan oleh Nabi Shallallah ‘alaihi wa sallam : Laa yaqbidhuLLah intizaa’an yantazi’uhu min an-naas, wa laakin yaqbidhu al-’ilma biqabdhi al-’ulama, hataa idzaa lam yabqa ‘aalimun ittakhadza an-naas ru’asaa juhaalan fa su-iluu fa aftuu bi ghairi ‘ilm fa dhallu wa adhallu (Tidaklah Allah mencabut ilmu dengan cara melepaskannya dari manusia, akan tetapi Dia mencabutnya dengan cara mencabut ruh para ulama, sehingga jika tidak tersisa seorang ‘alim diambilah oleh manusia orang-orang yang bodoh sebagai panutan, mereka ditanya dengan berbagai macam pertanyaan dan mereka pun berfatwa tanpa ilmu, maka mereka sesat dan menyesatkan).

Inilah salah satu penyakit yang sering kali menyerang para “ulama”, yaitu malu untuk berkata tidak tahu atau ada keinginan untuk mengshowkan diri agar dapat disebut sebagai ‘alim atau cendekiawan. Mereka senang untuk ditanya padahal tidak tahu, tidak memperhatikan atau bahkan tidak segan-segan melanggar apa-apa yang sudah jelas dalam agama.. Mereka seperti apa yang dikatakan oleh Bisyr al-Hafy: Man ahabba an yus-al fa laisa bi ahlin an yus-al (Barang siapa yang senang untuk ditanya maka dia bukalah orang yang tepat untuk ditanya).

Perhatikanlah contoh mulia ketawadhuan dan kehati-hatian terhadap ilmu dari seorang ulama yang telah lama mendahului kita, yaitu al-Imam asy-Sya’biy, suatu ketika dikatakan kepada beliau :Kami malu atas sikapmu ketika engkau ditanya engkau mengatakan aku tidak tahu. Beliau berkata: Mengapa kita mesti malu, sedangkan malaikat saja tidak malu ketika ditanyakan kepada mereka perkara yang mereka tidak ketahui seraya berkata “Maha Suci Engkau tidaklah kami mengetahui kecuali apa-apa yang Engkau ajarkan kepada Kami”. (al-Baqarah: 32)

Selain itu perhatikanlah contoh-contoh ketawadhuan dan kehati-hatian para ulama kita terdahulu:

Imam Malik: Ketika ditanya puluhan pertanyaan kepadanya beliau tidak menjawabnya kecuali hanya sedikit, akan tetapai hal tersebut tidak membuat harga diri beliau turun atau jatuh.

Imam Ibnu Hibban: Ketika beliau mengarang bukunya (ats-Tsiqat) beliau sering terganjal ketika menulis biografi para rijal hadits dan berkata: Aku tidak tahu siapa dia dan aku pun tidak mengetahui siapakah ayahnya.

Imam Adz-Dzahabiy: Berhenti ketika membandingkan keutamaan antara Ummul Mu’minin Khadijah dan Ummul Mu’minin ‘Aisya Radhiyallah ‘anhuma.

Kalaulah para ulama diatas begitu tawadhu dan hati-hati terhadap ilmu, maka siapalah kita yang baru belajar agama kemarin sore. Mungkinkah kita berkata-kata tentang agama semau akal kita dengan keilmuan kita yang serba pas-pasan. Apakah melalui mulut kita umat ini mendapat hidayah ataukah sebaliknya justru karena mulut kitalah umat ini menjadi sesat.. Na’udzubillah.

Jika sekiranya seekor keledai memakai sehelai sutra
Maka tetaplah orang-orang akan memanggilnya: wahai keledai#

Read More...

Posted by hAiRiL/spiderman_pink at 23:32 0 comments  

Hajjaj Bin Yusuf As-Saqafi

Friday, 3 October 2008

Pada zaman Hajjaj Bin Yusuf As-Saqafi di negara Iraq, ada seorang lelaki melakukan perbuatan jenayah kepada sebuah keluarga kemudian dia bersembunyi. Maka utusan Hajjaj mencarinya agar di hukum tapi tidak menjumpainya. Akhirnya dalam kerancakan mencari pesalah tadi mereka menangkap Safari seorang ahli keluarga si pesalah tadi agar dijadikan sebagai pengganti kepada pesalah tersebut. Safari ditahan selama beberapa hari dan kemudian dihadapkan kepada Hajjaj bin Yusuf. Hajaj berkata “Apa yang kau telah lakukan? Cuba ceritakan padaku“. Safari menjawab, "Seorang pesalah telah berbuat jenayah menggangu sebuah keluarga tetapi aku pula ditangkap“. Mendengar jawapan dari Safari, Hajjaj menjawab kembali, “Tidakkah kau pernah mendengar sebuah syair ini:

Engkau akan dipenjara,
Lantaran orang yang berdosa terhadapmu,
Sungguh,
Kadang-kadang penyakit kurap,
Menular dikalangan orang sihat-sihat,
Seseorang ditangkap dan ditahan,
Kerana perbuatan saudaranya,
Sedang,
Si pesalah bebas selamat dari hukuman....

Setelah Hajjaj membaca syair itu, Safari dengan tenang menjawab “Wahai Amir, aku mendegar Allah berbicara berbeza dengan apa yang ditulis oleh penyair itu". Hajjaj yang durjana dan bengis itu lantas bertanya, “Apa kata Allah?"

Safari dengan tenang membaca Surah Yusuf ayat 78-79:

Maksudnya, “[12.78] Merekapun merayu dengan berkata: "Wahai datuk menteri! Sesungguhnya ia (Bunyamin), mempunyai bapa yang sudah tua, lagi berpangkat. Oleh itu, ambilah salah seorang di antara kami sebagai gantinya; sesungguhnya kami memandangmu dari orang-orang yang sentiasa berbudi . Yusuf berkata: "Kami berlindung kepada Allah daripada mengambil sesiapapun kecuali orang yang kami dapati barang kami dalam simpanannya. Sesungguhnya jika kami mengambil orang lain, nescaya menjadilah kami orang-orang yang zalim".

Setelah mendengar ayat tersebut maka Hajjaj bin Yusuf berkata, “Benarlah Allah dan dustalah si penyair". Lalu lelaki itu pun dibebaskan.

Sumber: Kitab Panduan memahami Maqasid Syariat oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi.

Read More...

Posted by hAiRiL/spiderman_pink at 23:32 0 comments  

Tajdid Iman: Aidilfitri impian tempa iman makin hebat

Thursday, 2 October 2008

Tajdid Iman bersama Dr Juanda Jaya

Semangat Syawal peringat tali Ilahi disimpul sepanjang masa bersama amalan

DR Yusuf al-Qaradhawi dalam khutbah hari rayanya pernah berkata: "Barang siapa yang menyembah Ramadan, sesungguhnya Ramadan sudah pergi dan barang siapa yang menyembah Allah, maka Dia sentiasa hidup, tidak pernah mati."

Selepas menganalisis kecenderungan umat Islam saat ini, iaitu mereka yang tidak memahami matlamat sebenar puasa, maka kita melihat tidak sedikit orang Islam sudah pun membuka ikatan yang tersimpul antara dirinya dengan Allah pada Ramadan kemudian mengikat kembali diri mereka dengan tali kelalaian dan hawa nafsu semula.

Masjid kembali sunyi selepas Aidilfitri, bacaan al-Quran tidak lagi kedengaran di rumah mereka, malam dilalui dengan berjaga sambil berhibur memanjakan nafsu. Di manakah orang yang memanggil Allah, merintih dan memohon cahaya terang dalam kegelapan?

Seolah-olah mereka hanya mengenal Allah pada Ramadan, selepas puasanya tamat maka tamatlah juga hubungan dengan Allah. Pada hal yang menjadi tanda diterima puasanya seseorang ialah dia masih mengekalkan hubungan mesra dengan Allah pada setiap masa tanpa syarat.

Seperti firman Allah yang bermaksud: "Dan orang yang mahu menerima petunjuk, Allah menambah petunjuk kepada mereka dan memberikan balasan ketakwaannya." (Surah Muhammad, ayat 17)

Pada pagi Syawal yang mulia, umat Islam disyariatkan supaya bertakbir tanda gembira kerana sudah memenangi perlawanan yang sungguh mencabar. Kalimah itu amat bermakna dalam diri setiap mukmin.

Allahu Akbar! Allah Maha Besar! Satu pengiktirafan mengenai siapakah yang paling hebat, antara kehebatan yang bertakhta di atas dunia ini? Kalimah itu meluluhkan hati para raja dan pemimpin yang beriman, bahawa akan berakhirlah kekuasaan mereka atau mungkin Allah akan memelihara mereka jika Dia Yang Maha Akbar menghendaki. Maka, hati-hati itu menjadi lembut kerana ingatkan kekuatan Allah, kebesaran dan keagungan-Nya.

Kalimah itu juga memberi ingatan kepada rakyat supaya teguh di bawah bayang-bayang penguasa yang diredai Allah dan sama sekali menolak kesetiaan kepada sesiapapun yang membelakangi Allah.

Mereka berkumpul bersama semangat kasih sayang dan persaudaraan semata-mata kerana kalimah yang menggoncangkan hati, membangkitkan semangat iman yang baru, seterusnya merangka strategi saling bahu membahu dalam menegakkan amar makruf nahi mungkar.

Sesuai dengan ajakan al-Quran kepada umat Islam yang bermaksud: "Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran, dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya." (Surah al-Maidah, ayat 2)

Begitulah impian masyarakat baru dengan jiwa baru dan iman yang semakin hebat ditempa pada Ramadan yang mulia. Allahu Akbar!

Menjadi sunnah Rasulullah SAW semua berkumpul di tanah lapang untuk melakukan sembahyang sunat Aidilfitri sebagai tanda kemenangan dan kesyukuran kepada Allah. Sesuai dengan firman-Nya yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur." (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Bentuk kesyukuran kepada Allah tidak semestinya ditandai dengan menjemput makan seperti amalan dilakukan sesetengah masyarakat kita, bahkan mungkin amalan itu boleh mendekati pembaziran jika tidak diurus dengan betul, hajat hati nak bersyukur apa daya jadi kawan syaitan.

Pembaziran masih menjadi isu yang sentiasa diperdengarkan, berlebih-lebihan menjamu selera juga akan mematikan hati dan akhirnya tiada tenaga untuk beribadat.

Bersyukurlah seperti diajarkan Rasulullah SAW yang bermaksud: "Makanan dua orang cukup untuk tiga orang dan makanan tiga orang cukup untuk empat orang." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Walaupun tidak dinafikan bahawa memakan hidangan bersama boleh mengikat kemesraan tetapi perlu diamalkan disiplin yang baik supaya tidak terjadi pembaziran. Kemesraan dan kasih sayang yang harum mewangi ketika mereka meraikan hari raya, pernah disentuh Dr Hamka dalam teks khutbah hari raya beliau: "Sembahyang raya inilah suatu demonstrasi untuk menunjukkan rasa cinta bukan demonstrasi menabur rasa benci."

Saat dilaungkan takbir hendaklah lahir benih-benih cinta dan kasih sayang di jiwa orang beriman. Takbirlah yang menyatukan mereka di bawah panji Allah dan Rasul-Nya. Seolah-olah mereka berperang dalam satu barisan yang kukuh tanpa virus dengki, tamak haloba dan dendam yang boleh merosakkan kekuatan umat Islam.

Doa orang beriman seperti dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: "Ya Rabb kami, beri ampunlah kami dan saudara kami yang telah beriman lebih dulu daripada kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang yang beriman; Ya Rabb kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hasyr, ayat 10)

Dalam menyambut kedatangan Syawal, alangkah eloknya kita melihat kehebatan seorang nabi yang mengatasi kedudukan seorang negarawan paling ulung yang berhasil menyatukan seluruh kaum dengan keadilannya. Dia bersumpah atas nama Allah akan memotong tangan anak perempuannya sendiri jika dia mencuri dan meletakkan keadilan seadil-adilnya kepada golongan bukan Muslim.

Dialah Rasulullah SAW, pemimpin pertama dalam pemerintahan Islam yang diasuh oleh bimbingan wahyu dalam pendekatan politiknya yang terbukti cemerlang pada pandangan kawan mahupun lawan. Sesungguhnya Baginda menjadikan dua hari raya sebagai momentum terbaik untuk membangkitkan semangat ukhuwah dan menyegarkan iman umat Islam.

Diwajibkan padanya zakat fitrah untuk memastikan kasih sayang itu mekar antara yang kaya dengan miskin, supaya dilabuhkan keadilan dalam pembahagian antara mereka. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Elakkan mereka yang miskin daripada berpusing-pusing meminta sedekah pada hari ini." (Hadis riwayat Ibnu 'Adi dan al-Dar al-Qutni daripada Ibnu Umar)

Rasulullah SAW memberi pengajaran bahawa kestabilan dan kesejahteraan suatu bangsa hanya dapat ditegakkan dengan menghapuskan jurang antara yang kaya dengan miskin, kuat dengan lemah dan bergantung kepada kasih pemimpin ke atas rakyatnya.

Rasulullah SAW mengharapkan kebaikan ke atas pemimpin yang amanah melalui doa Baginda yang pernah didengar Ummul Mukminin Aisyah yang bermaksud: "Ya Allah sesiapa saja yang diberi kekuasaan mengurus umatku kemudian mempersulit mereka maka susahkanlah ia, dan sesiapa yang diberi kuasa kemudian mempermudahkan mereka maka mudahkanlah ia." (Hadis riwayat Muslim)

Beruntunglah pemimpin yang mengasihi rakyat kerana mereka mendapat doa yang dikhaskan, bahkan Baginda SAW pernah menjanjikan lebih baik daripada itu melalui sabdanya yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang berlaku adil di sisi Allah laksana berada di atas mimbar yang diperbuat dari cahaya. Mereka itu adalah orang yang adil dalam memberi hukuman kepada keluarga sendiri dan rakyat jelata." (Hadis riwayat Muslim)

Imam al-Bukhari dan Muslim juga melaporkan hadis yang bermaksud: "Tujuh golongan dinaungi Allah pada hari kiamat yang tiada naungan selain naungan-Nya, (salah satu dari mereka) pemimpin yang adil."

Namun demikian rakyat juga harus menunjukkan ketaatan supaya tidaklah kasih sayang pemimpin itu bertepuk sebelah tangan. Apabila hubungan kedua-duanya terjalin dengan mesra maka usaha merealisasikan kestabilan umat akan lebih mudah dan telus.

Bahkan Rasulullah SAW menegaskan kepada umatnya mengenai kedudukan rakyat yang salih dalam hadis yang bermaksud: "Seorang Muslim wajib mendengarkan dan mentaati pemerintah, yang disukainya mahupun yang tidak disukai. Kecuali bila ia diperintah mengerjakan maksiat maka ia tidak boleh mendengar dan mentaati." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Begitulah semangat Syawal yang semestinya ditiupkan ke dalam jiwa umat Islam. Yang pertama memperingatkan kita perlunya tali Allah disimpulkan pada setiap masa bukan pada Ramadan saja kemudian bentuk kesyukuran yang mesti ditonjolkan dan dibuktikan melalui amalan dan akhirnya rahsia laungan takbir yang boleh menyatukan umat dan menumbuhkan benih kasih sayang. Selamat menyambut hari raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin.

Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui Juanda@msu.edu.my

Berita Harian Malaysia
30 september 2008

Read More...

Posted by hAiRiL/spiderman_pink at 23:32 0 comments  

Tanda-Tanda Disayangi Kekasih

Tuesday, 16 September 2008

"Apabila Allah mahukan kebaikan kepada mana-mana hamba-Nya Ia jadikannya merasa dirinya kaya dan ia mengisi taqwa di dalam hatinya, dan apabila Allah mahukan keburukan kepada mana-mana hamba-Nya Ia jadikan kemiskinan itu terbayang di matanya." Diriwayatkan oleh al-Hakim dari Abi Hurairah.

Kaya dan miskin sentiasa menjadi persoalan pokok dalam hidup manusia di dunia ini. Yang miskin ingin jadi kaya dan yang kaya ingin jadi lebih kaya lagi. Namun begitu keinginan untuk jadi kaya bukanlah merupakan satu dosa di sisi Allah, demikian juga keinginan menjadi lebih kaya. Tetapi yang sering menghilangkan pertimbangan manusia yang wajar dan yang sering menjadikan manusia lupakan daratan ialah perasaan tamak yang tidak mengenal batasnya, perasaan merasa tidak cukup yang tidak tahu sempadan.

Dalam hadis ini Allah mendedahkan dua sifat pokok yang membezakan di antara orang yang disayangi Allah dengan orang yang dibenci Allah. Sifat yang disayangi Allah ialah sifat memada dan sederhana. Setiap orang yang dapat menikmati sifat itu akan merasa dirinya benar-benar kaya dan merdeka. Ia tidak diburu oleh merasa kebimbangan yang bukan-bukan, tidak dirasuk oleh ketamakan-ketamakan yang boleh memesongkan jalan hidupnya yang baik, sementara sifat orang yang dibenci Allah ialah orang yang sentiasa merasa dirinya diancam kemiskinan, ia begitu takut jatuh papa dan miskin, begitu panik dengan kemerosotan kekayaannya walaupun kekayaan yang wujud dalam miliknya masih kukuh dan masih tidak seburuk orang lain.

Penyakit takut miskin atau 'miskin fobia' merupakan penyakit zaman moden yang amat ditakuti sekali, kerana itu sebilangan besar orang ramai melindungi dirinya dan anak buahnya dengan berbagai-bagai insuran dan menyapu dari jiwa mereka sebarang perasaan menyerah dan bertawakal kepada Allah yang menjadi sifat utama para Mukminin dan tidak kurang pula menjadi petualang-petualang yang bersedia untuk merompak apa sahaja peluang yang dapat membebaskan mereka dari ketakutan menjadi miskin. Dan penyakit inilah juga yang menjadikan mereka manusia-manusia bakhil yang hanya sibuk menghitung punca-punca masuk dan keluarnya duit-duit mereka, tanpa mengira kewajipan-kewajipan terhadap Allah dan masyarakat. Dalam surat Al-Isra' ayat (100) Allah memberi satu sindiran tajam kepada manusia yang dikongkongi penyakit 'miskin fobia'

"Katakanlah wahai Muhammad kalau kiranya kamu (wahai manusia) menguasai perbendaharaan-perbendaharaan nikmat Tuhanku tentulah kamu tahankan perbendaharaan itu kerana takut membelanjakannya, sesungguhnya manusia itu amat bakhil." - (Al-Isra': 100)

Read More...

Posted by hAiRiL/spiderman_pink at 23:32 0 comments  

Kalimah Cinta: Mudah Dilafaz Tapi Sukar Dibuktikan

Sunday, 14 September 2008

oleh: Ust Saudi Arof

CINTA adalah urusan hati. Tahap ketinggian cinta seseorang, tidak dapat dinilai oleh panca indera yang ada. Cinta yang dilafazkan oleh jutaan umat Islam dewasa ini semakin hambar. Kata-kata cinta kepada Allah, Rasul-Nya dan Islam, hanya tinggal slogan kosong tanpa ruh lagi. Cinta umat Islam kepada Allah dan rasul-Nya, telah terhakis oleh faham kebendaan semakin mendapat tempat dalam hati manusia.

Keyakinan kepada yang ghaib dianggap sebagai tahyul dan khurafat. Akhirnya, cinta yang didakwa segar dan mekar, sebenarnya palsu. Mereka mengaku beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, tetapi tidak cintakan Allah dan Rasul-Nya.

"Dan di antara manusia ada orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang yang beriman sangat cinta kepada Allah." - (Al-Baqarah: 165)

Cinta mempunyai beberapa tanda. Orang yang sedang bercinta akan memaparkan alamat-alamatnya yang amat jelas. Begitu juga dakwaan cinta kepada Allah dan RasulNya. Sewajarnya dibuktikan dengan tanda-tandanya yang dapat disaksikan. Kecintaan seseorang kepada Allah, akan menjadikannya selalu ingat kepada Allah. Dalam apa juga keadaannya, Allah sentiasa dalam ingatan.

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal (iaitu) orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi." - (Ali Imran: 190-191)

Selalu ingat kepada kekasih adalah lumrah orang bercinta. Ucapan cinta yang tidak disertai dengan "ingatan rindu" pada si dia, adalah ucapan cinta palsu.

Bahkan, sebenarnya, menyebut nama Allah adalah satu perintah dari-Nya, dan bukan semata-mata tanda rindu kepada-Nya.

"Wahai orang yang beriman, sebutlah Allah dengan sebutan yang banyak" - (al-Ahzab: 41)

Lazimnya, ingatan orang yang bercinta, selalu tertumpu kepada kekasihnya. Setiap peristiwa yang dilaluinya, akan mengingatkan dia kepada nostalgia ketika bersama-sama dengan kekasihnya. Bicara hatinya akan selalu ditujukan kepada buah hatinya. Puisi-puisi indah akan diukir sebagai tanda ingatan pada kekasihnya. Bagi orang yang beriman, salah satu wasilah untuk mengingati Allah ialah melalui solat. Dengan solatlah pertemuan dengan kekasihnya dilakukan. Dalam solatlah dilafazkan pengagungnya dan harapannya. Solat itu menjadi indah dan mengasyikkan.

"Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan (yang hak) selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku" - (Thaaha: 14)

Dakwaan cinta yang tidak selalu mengingati Allah, khususnya meninggalkan solat adalah dakwaan palsu. Allah menyebut golongan ini sebagai golongan munafik, kerana ucapan lidah mereka tidak menepati apa yang ada di dalam hati mereka. "Sesungguhnya orang munafik itu menipu Allah, dan apabila mereka berdiri untuk solat. Mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya' (dengan solat) di harapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali" - (an-Nisaa:142). Apa yang jelas daripada ayat tersebut, orang munafik mengingati Allah, tetapi ingatan mereka kepada Allah sedikit sahaja. Dalam membicarakan hal ini, marilah kita mencerminkan diri kita.

Adakah kita telah dan sedang mengingati Allah selayaknya orang yang mengaku cintakan Allah? Alangkah tidak patutnya kita hanya ingat kepada Allah dalam solat lima waktu sehari semalam. Lebih tidak patut apabila dalam solat, kita ingat "si dia" yang selain daripada Allah. Bukanlah ungkapan ini untuk menyatakan kemunafikan seseorang, tetapi untuk berhati-hati agar cinta dakwaan kita itu cinta yang sebenarnya. Saidina Umar, pernah bertanya kepada Huzaifah al-Yaman, tentang sama ada dia termasuk orang munafik. Inilah antara contoh orang yang khuatir tentang yang khuatir tentang kedudukan dirinya, walhal kita semua maklum keunggulan Umar. Cinta kita kepada Allah, seharusnya sentiasa panas dan segar, sesuai dengan nikmat yang banyak daripada-Nya.

"Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)Ku" - (al-Baqarah: 152)

Read More...

Posted by hAiRiL/spiderman_pink at 23:32 0 comments  

Manusia akan sentiasa diuji dalam kehidupan

Saturday, 13 September 2008

KEKAYAAN dan kemewahan atau pangkat dan kekuasaan yang dimiliki seseorang itu bukanlah menjadi bukti Allah swt memuliakannya kerana semua itu sesungguhnya tiada sebarang nilai di sisi Allah.

Sebaliknya kefakiran dan kesempitan hidup itu tidaklah bermakna kemurkaan Allah di atas hamba-Nya. Ini juga suatu kekeliruan dan kesilapan besar dalam pandangan dan pegangan seseorang Muslim dan Mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah.

Allah menjelaskan dengan firman-Nya yang bermaksud:"Adakah mereka menyangka bahawa apa yang Kami berikan kepada mereka daripada harta dan anak pinak itu, (bermakna dengan yang demikian). Kami menyegerakan untuk mereka pemberian kebaikan? (Tidak!) Bahkan mereka tidak menyedari (hakikatnya yang sebenar)." – (Al-Mukminun: 55-56)

Sedangkan kemuliaan sebenar di sisi Allah adalah bagi orang yang taat yang mendapat taufik untuk beramal bagi kepentingan akhirat manakala kehinaan sebenar di sisi Allah adalah bagi orang yang derhaka yang tidak mendapat taufik untuk melakukan ketaatan serta beramal dengan amalan ahli syurga.

Bukanlah seperti mana sangkaan mereka itu yang mendapat kemewahan dunia suatu kemuliaan dan ketinggian dan yang menghadapi kesempitannya suatu kehinaan. Sesungguhnya kekayaan itu ujian bagi orang yang kaya adakah dia bersyukur dan kefakiran itu ujian bagi orang yang fakir adakah ia bersabar.

Di atas kekeliruan dan kesalahan tanggapan itu, maka Allah lalu menegur mereka dengan firman-Nya dalam ayat berikut: "Jangan demikian, (sebenarnya kata-katamu itu salah) bahkan kamu tidak memuliakan anak yatim. – (Al-Fajr:17)

Imam Ibn Kathir dalam mentafsirkan ayat ini menulis bahawa: Sebenarnya Allah boleh memberikan harta kekayaan kepada mereka yang disukainya dan tidak disukainya.

Begitu juga Dia boleh menyempitkan hidup akan orang yang disukainya dan tidak disukainya. Ada pun ukuran sebenarnya dalam kedua-dua hal itu adalah ketaatannya kepada Allah. Apabila ia kaya hendaklah bersyukur kepada Allah di atas kekayaannya dan apabila dia fakir miskin hendaklah bersabar.

Jadi, apabila manusia dipengaruhi oleh emosi dan perasaannya kerap kali mengukur dan menilai sesuatu berdasarkan pandangan lahirnya. Sedangkan sesungguhnya pemberian rezeki yang melimpah ruah itu bukanlah tanda kecintaan Allah kepadanya.

Buktinya dapat kita saksikan betapa ramainya orang yang kufur kepada Allah, orang yang fasik dan derhaka kepada-Nya menjadi hartawan, malah jutawan di persada dunia ini.

Demikianlah sebaliknya kesempitan hidup dan fakir miskin bukanlah bererti ia dimurkai dan dibenci Allah. Buktinya berapa ramai kalangan nabi, pemimpin Islam zaman lampau, orang soleh dan ulama tidak berharta.

Ada ketikanya manusia lupa mengenai rahsia dan hikmat kewujudannya di dunia adalah semata-mata untuk ujian dan dugaan. Hal ini sebenarnya berlaku kepada semua orang, sama ada Islam dan bukan Islam pada sepanjang zaman.

Dunia ini sesungguhnya tidak lain hanya sekadar sebuah medan yang dibuka Allah kepada setiap hamba-Nya untuk memperlihatkan sejauh mana keterikatan hidup mereka dengan ajaran Allah selama hidup ini.

Sikap dan tindakan mereka tentunya dinilai dan dibalas nanti sesuai dengan amalannya. Justeru, peluang hidup ini dibatasi ajal, agar keterbatasan itu dapat dimanfaatkan semaksimum mungkin oleh manusia demi kejayaannya pada hari akhirat nanti.

Yang demikian ditegaskan oleh Allah dalam firman-Nya bermaksud: "Dialah (Allah) yang mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan melahirkan keadaan kamu; siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Amat Pengampun (kepada orang yang bertaubat)." – (al-Mulk:2)

Allah menjelaskan kekeliruan manusia dalam pemikirannya bahawa apabila mereka diuji Allah dengan pelbagai nikmat secara terus menerus, seumpama badan yang sihat, fikiran yang waras, harta yang banyak dan anak-pinak yang ramai.

Mereka lalu menganggap itulah tanda Allah sudah memulia dan mengangkat martabatnya. Mereka melihat semua itu sebagai suatu penghormatan dan penghargaan Allah. Lantas, mereka gembira ria dengan apa yang diberi tanpa mensyukurinya kepada Allah, malah tidak sama sekali menganggap semuanya adalah ujian daripada Allah.

Apa lagi lebih mendukacitakan sekiranya ada yang beranggapan bahawa segala kejayaan yang dicapainya itu memang patut dan haknya yang pasti diterima kerana mereka mendakwa bahawa dengan kepandaian dan kebijaksanaan merekalah semua itu diperoleh.

Mereka meletakkan sepenuhnya hasil kejayaan yang dicapainya atas hasil usahanya semata-mata. Secara tidak sedar mereka melupai bahawa di sebalik ikhtiar usaha manusia itu ada ketentuan Allah.

Dengan sikap yang demikian lahirlah kesombongan dan ketakburan. Dua sifat mazmumah (tercela) yang dimurkai Allah. Kedua-dua sifat itu menjadi asas yang kuat bagi mereka dalam mengingkari nikmat Allah. Memang, apabila hidup seseorang terlepas daripada menghitung-hitung nikmat Allah, Akibatnya akan jauhlah ia daripada mensyukuri dan mengingati-Nya.

Kalaulah demikian terjadi, dengarlah peringatan Allah ini: "Dengan sesiapa yang berpaling ingkar daripada peringatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit. Kami akan himpun dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. Dia berkata: "Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, pada hal dahulu aku celik? Allah berfirman: "Engkau melupakan serta meninggalkannya. Dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan dan ditinggalkan." – (Taha: 124-126)

Lebih baik berjalan di atas muka bumi ini dalam keadaan suci bersih daripada terbang di angkasa sebagai pencuri. Lebih baik bumi ini dipenuhi tempat-tempat ibadat yang disuluhi cahaya lilin daripada dipenuhi disko-disko yang diterangi cahaya lampu-lampu neon...

Read More...

Posted by hAiRiL/spiderman_pink at 23:32 0 comments  

Bacalah

Sunday, 7 September 2008

Read More...

Posted by hAiRiL/spiderman_pink at 23:32 0 comments  

Teman Yang Sebaik-Baiknya

Monday, 1 September 2008

Manusia yang cenderung melakukan kejahatan
Bagi mereka, mereka tak jahat mana
Sebab mereka tak bunuh orang, tak rompak orang...
Mereka cuma merosakkan iman mereka sahaja
Mereka inginkan syurga juga
Tapi mereka nak enjoy lagi...

Bagi yang sukakan kebaikan
Mereka cenderung melakukan amal-amal soleh
Bagi mereka, dunia ini sementara
Mereka takut terpesona dengan keindahan dunia
Lalu mereka sering menangis kerana takutkan Allah...

Mereka yang cenderung berbuat maksiat,
Mereka pernah jua buat amal soleh
Tapi mereka acapkali gagal untuk istiqamah
Mereka digagalkan oleh nafsu,
Oleh kawan-kawan yang sedunia dengan mereka...

Mereka sukakan santai-santai
Suka berhibur dan berpesta
Mereka menjadikan nafsu tuhan mereka
Mereka menjadikan artis idola dan kesayangan mereka
Mungkin mereka belum terfikir
Idola mereka itu belum tentu menjadi penolong buat mereka kelak

Bagi yang cenderung kepada kebaikan
Mereka sukakan jalan yang susah
Mereka tidak kisah dianggap pelik
Mereka memang lain dari yang lain
Kerana mereka golongan minoriti
Mereka hanya suka diperdengarkan ayat-ayat Allah
Mereka menjadikan Allah dan Rasul tujuan hidup mereka
Mereka menyayangi ulama' dan orang-orang beriman
Tidak mengapa mereka berkorban di dunia
Mereka yakin akan janji ALlah buat mereka

Di dunia ini...
Mereka sekadar musafir yang singgah di sepohon pokok
Lalu akan meneruskan perjalanan lagi...
Satu perjalanan yang panjang, yang sukar
Penuh ujian, penuh rintangan
Mereka tak harapkan redha manusia
Hanyalah redha Allah mereka dambakan...

Mereka kadangkala terlalai jua
Terjatuh lalu bangun kembali meneruskan langkah
Dalam perjalanan mereka
Ada saja diantara mereka yang tidak dapat meneruskan perjalanan itu
Lantaran sudah luntur nikmat iman
Lantaran tidak berdaya dan berputus asa

Tinggallah mereka yang masih lagi tegar
Mereka tetap teruskan perjalanan
Walaupun mereka juga mahukan kerehatan
Tapi mereka yakini rehat yang abadi hanya di sana....

"Dan barang siapa mentaati Allah dan Rasul (Muhammad), maka mereka itu akan bersama-sama dengan orang yang diberikan nikmat oleh Allah, (yaitu) para nabi, para pencinta kebenaran, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang yang soleh. Mereka itulah teman yang sebaik-baiknya." (An-Nisa : 69)

Read More...

Posted by hAiRiL/spiderman_pink at 23:32 0 comments  

Akulah Itu Yang Tidak Tahu Malu!

Saturday, 30 August 2008


"Katakanlah (Muhammad), "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan yakin. Mahasuci Allah, dan aku tidak termasuk orang-orang musyrik" (Yusuf: 108)

Andainya aku seorang pejuang
Menghunus pedang di tanah yang tandus dan gersang
Di bumi anbiya kala matahari tegak memancar di atas kepala
Menghayun langkah mujahid laksana serikandi Islam nan agung

Andainya aku seorang pemberi air minuman
Buat sang pahlawan di medan perang
Pasti segera aku beri sebelum diminta
Pasti hilang dahaga mujahid yang mengejar syahid di jalanNya

Andainya aku pembela Rasulullah
Saat baginda di tohmah dan dilempar bahan nista
Biarkan tubuh dan wajahku dipenuhi darah
Lantaran balingan batu dan sampah-sampah
Biarkan, biarkan aku hancur demi insan yang ku cinta

Walaupun aku hanya seekor kuda tunggangan,
Walaupun hanya seekor unta yang membawa kelengkapan perang
Itu lebih bermakna
Kerana memberi khidmat pada sang mujahid
Kerana bersama-sama dengan rombongan jihad fi sabilillah

Tapi aku hanya seorang pengemis
Penagih cinta daripada penagih-penagih tegar yang lain
Tah si Dia sudi memandangku ataupun tidak

Akulah si perindu cinta itu
Yang tidak tahu malu
Hanya mahukan cinta tetapi tidak rela ikut berbakti
Tidak mampu memikul beban ini
Hanya mampu mengeluh dan beralasan
Walaupun untuk berjaga sepertiga malampun aku tidak upaya
Hanya bisa nyenyak lena didakap mimpi mainan dunia

Akulah si penaubat itu
Yang menangis minta diampunkan
Yang menyesal minta dikasihani
Tapi kemudian aku gembira dan tertawa semula
Setelah aku lupa, lupa dan lupa
Siapa yang memberi aku nafas di dunia ini
Sungguh aku tidak tahu malu...

Akulah itu yang tidak tahu malu
Andai terus-terusan berangan mahukan syurga
Tapi tidak mahu ikut serta bersama-sama mereka yang berkorban
Yang menggalas beban-beban amanah
Merekalah hamba Allah kuli dakwah...

Mampukah aku seperti mereka
Yang menghabiskan sebahagian usia dengan berbakti pada sang Pencipta
Yang taat dan patuh pada perintah Allah dan RasulNya
Yang tidak banyak bersoal jawab saat di beri arahan, "Sami'na wa ata'na"
Tidak beralasan malah rela hati dan berlapang dada
Malu dibandingkan dengan mereka...

Apa tujuan hidupku? Samakah tujuan hidup kita?
Samakah apa yang kita cari? Sehaluankah kita?
Tanya sama diri, apa ertinya hidup kita ini
Kenapa kita masih di sini,
Untuk apa kita dihidupkan?
Apakah kita tidak ada rasa malu?
Andai mengaku Islam tapi tidak melambangkan Islam

Apakah kita malu beridentitikan Islam?
Lalu apakah kita ini sebenarnya?
Sungguh malunya kita andai Nabi tidak sudi mensyafaatkan kita...!

"Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku" (Adz-Dzaariyat: 56)

Read More...

Posted by hAiRiL/spiderman_pink at 23:32 1 comments  

Akibat Cinta Dunia

Friday, 29 August 2008

“Rasulullah pernah bersabda kepada para sahabat, “Akan datang suatu masa, umat lain akan memperebutkan kamu, ibarat orang-orang yang lapar memperebut makanan dalam hidangan”. Lalu sahabat bertanya, “Apakah kerana pada waktu itu jumlah kami hanya sedikit, ya Rasulullah?” Kemudian beliau menjawab: “Bukan, bahkan sesungguhnya jumlah kamu pada waktu itu banyak, tetapi kamu ibarat ghatsa (buih) yang terapung-apung di atas air bah. Dan di dalam jiwamu tertanam AL-WAHN.” Lalu sahabat bertanya lagi, “Apakah yang dimaksud dengan al-Wahn, ya Rasulullah?” Beliau menjawab: “Iaitu CINTA DUNIA & TAKUT MATI.” (Riwayat Abu Dawud)

Suatu keadaan yang nyata di hadapan kita sekarang, bahawa jumalah umat Islam sangat banyak. Di dunia ini, satu million dari lima million penduduk bumi adalah Muslim. Tetapi kita saksikan bahawa jumlah yang banyak belum membawa umat ini keluar dari kesulitan-kesulitannya. Inilah rupanya yang diungkapkan Rasulullah dalam hadis di atas. Patutlah kiranya kita semua, umat Islam meneliti ke dalam, seberapa jauh kiranya kita sudah terjangkiti penyakit al-Wahn tersebut, penyakit cinta dunia dan takut akan kematian. Tentunya ini tak lepas dari kesalahan pandangan umumnya masyarakat Muslim terhadap kehidupan dunia. Mengapa sampai cinta pada dunia dan takut mati? Tentu ini kerana memandang bahwa dunia ini adalah tempatnya segala kesenangan, dan kematian adalah pemutus kesenangan tersebut. Sungguh suatu cara pandang yang sesat dan keliru.

Dunia Dalam Pandangan Allah

Pada suatu kesempatan lain, Rasulullah SAW memasuki sebuah pasar yang kanan dan kirinya ramai dipadati manusia. Ketika itu beliau melewati seekor anak kambing cacat yang telah menjadi bangkai. Tidak seorangpun mengacuhkan atau tertarik melihatnya. Lantas Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabat, “Siapa yang mahu membeli kambing ini dengan harga satu dirham?” Sahabat menjawab, “Sedikitpun, kami tidak menginginkannya.” Beliau bertanya sekali lagi, “Apakah kalian mahu jika anak kambing ini keberikan kepada kalian?” Sahabat menjawab, “Demi ALLAH, kalaupun anak kambing itu hidup, kami tidak akan menerimanya kerana cacatnya, maka bagaimana kami mahu menerimanya setelah menjadi bangkai?”

Mendengar itu Rasulullah SAW berkata, “Demi ALLAH, pandangan dunia itu lebih hina dalam pandangan ALLAH daripada bangkai kambing cacat ini dalam pandangan kalian.”

Bagaimana Mestinya Kita Memandang Dunia

Tirmidzi meriwayatkan, dari Abdullah bin Mas’ud ra berkata: “Rasulullah SAW tidur di atas tikar dan ketika bangun berbekaslah tikar itu pada belakangnya, lalu kami bertanya, “Ya Rasulullah, bagaimana seandainya kami buatkan untukmu tilam yang lunak?” Beliau bersabda, “Untuk apa dunia ini bagiku? Aku di dunia ini bagaikan seorang musafir, berhenti sebentar di bawah pohon, kemudian pergi meninggalkannya.”

Jadi, begitulah kiranya kita harus memandang dunia ini. Tak lebih dari pondok kecil dalam perjalanan yang panjang. Sungguh bodoh kalau kita samapai terpaku di pondok itu sehingga melupakan perjalanan panjang yang jadi tujuan kita. Jelaslah bahawa segenap aktiviti kita di muka bumi ini harusnya diarahkan untuk akhirat kita, yang kekal abadi. Seperti pernah dinyatakan oleh ulam besar kita, Bapa HAMKA semasa hidupnya, “Hidup yang sesungguhnya itu baru dimulai pada saat kita mati.”

Disabdakan lagi oleh Rasulullah SAW dalam analogi lain: “Dunia ini bagaikan penjara bagi orang mukmin dan bagaikan syurga bagi orang-orang kafir.”

Dalam Surah al-Hadid 57: 20, ALLAH berfirman: “Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.”

Agar Tidak Tertipu Oleh Kehidupan Dunia

Memang manusia diciptakan denagan fitrah cenderung terhadap kesenangan dunia, dan ini boleh meningkat menjadi kecintaan. Itu merupakan ketentuan ALLAH SWT, “Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga).” (Surah Ali Imran 3: 14)

Tetapi, jika kecenderungan ini tidak dikendalikan, maka tumbuhlah ,ifat tamak pada manusia, sehingga seperti dikatakan Rasul, apabila diberi dua lembah penuh berisi emas, pasti ia akan mengkehendaki lagi lemabha ketiga yang penuh berisi emas. Inilah yang harus diatur dan diarahkan. ALLAH tidak melarang manusia untuk menikmati dunia ini, tetapi ada batas-batas yang harus dipatuhi, sebagaimana firmannya:
“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerusakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerusakan.” (Surah al-Qashash 28: 77)

Apakah kira batasan-batasan tersebut? Mari kita lihat…
Pertama, tidak menjadikan dunia sebagai tujuan hidup.
“Dan sesungguhnya Kami menempatkan kamu di atas bumi ini dan Kami jadikan untuk kamu di atas bumi itu penghidupan buat kamu, tetapi sedikit sekali di antara kamu yang bersyukur.”
Untuk apa kita dihidupkan di bumi ini? Dalam banyak ayat, dinyatakan ALLAH bahawa manusia diberikan kehidupan, “ …untuk Kami uji siapa paling baik amalnya”.

Bagi seorang Muslim, dunia bukanlah suatu tujuan hidup, melainkan hanyalah sekadar alat atau jambatan untuk menuju tujuan hidup yang kekal abadi, iaitu kehidupan akhirat kelak. Bahkan dalam hadith, Rasulullah menyatakan bahawa keikhlasan pun dapat ternoda, dijelaskannya: “Yang mencampuri keikhlasan itu adalah kerakusan terhadap dunia dan mengumpul-ngumpulkannya.”

Kedua, tidak berlebihan-lebihan dengan dunia.
ALLAH telah menyatakan dengan jelas tentang kecenderungan manusia ini, “dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan.” (Surah al-Fajr 89: 20)

Maka Islam mengatur sikap seorang Muslim terhadap kehidupan dunia, iaitu mempergunakan secara secukupnya untuk keperluan diri dan keluarga, asal tidak berlebihan dan bermewah-mewahan kerana perkara itu akan melalaikan kita. Firman-Nya: “Al hakumut takaatsur.” (bermegah-megah telah melalaikan kamu).

Sementara dalam ayat yang lain dinyatakan: “Makanlah di antara rezeki yang baik yang telah Kami berkan kepadamu, dan jangalah melampaui batas padanya, yang menyebabkan kemurkaan menimpamu. Dan barangsiapa ditimpa oleh kemurkaan-Ku, maka sesungguhnya binasalah dia.” (Surah Thaha 20: 21).

Rasulullah SAW pun pernah bersabda: “Kami adalah kaum yang tidak makan sebelum merasa lapar dan bila kami makan tak pernah kekenyangan.” (Riwayat Bukhari & Muslim).

Ketiga, tidak bersifat kikir dan bakhil.
Sebaliknya, ALLAH memuji hamba-Nya yang mejauhi kikir dalam firman-Nya, “Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.” (Surah al-Furqan 25: 67)

Keempat, mengutamakan kesederhanaan dan berikap qanaah.
Dari Abu Hurairah, diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Lihatlah orang yang di bawahmu, dan jangan melihat orang yang di atasmu, kerana yang demikian itu lebih baik, supaya kamu tidak meremehkan nikmat yang dikurniakan ALLAH kepadamu” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Mari kita mengambil teladan pada Nabi Yusuf as., dia mendapat kepercayaan dari Raja Mesir untuk mengatur seluruh kekayaan negara, tetapi dia sendiri hampir tiap hari berpuasa. Ketika orang bertanya, dia menjawab, “Aku takut kenyang dan melupakan orang yang lapar.”

Zuhud, Pola Hidup Rasulullah s.a.w Dan Para Sahabatnya

Zuhud, bererti menjauhi hal-hal yang bersifat materi, atau senangnya, pola hidup sederhana. Dengan pola hidup zuhud inilah, para sahabat menjalani kehidupannya. Bila kita merasakan kehidupan akhirat dan tidak terpukau oleh kehidupan dunia, seperti para sahabat, maka kita akan terbebas dari hidup yang menyesakkan. Kita akan memiliki cara pandang baru terhadap dunia. Jika kita merasa sesak, sedih, murung, gelisah, pedih, dirisaukan oleh orang banyak masalah nyata ataupun khayal, maka dengan zuhud kita dapat melaluinya.

Secara ringkas, zuhud bererti meletakkan kebahagiaan bukan pada dunia dan keduniaan, Zuhud memiliki ciri-ciri:
tidak menggantungkan kebahagiaan hidup pada apa yang dimiliki.
kebahagiaan seorang yang zuhud tidak terletak pada hal-hal material, melainkan pada hal-hal spiritual.

Zuhud bukanlah bererti meninggalkan dunia dan kenikmatan duniawi, melainkan tidak meletakkannya pada darjat yang tertinggi, seperti dinyatakan Rasulullah, “Bukanlah zuhud itu mengharamkan yang halal, bukan pula menyia-nyiakan harta, tetapi zuhud dalam dunia itu ialah engkau tidak memandang apa yang ada di tanganmu itu lebih diperlukan dari apa yang ada di sisi ALLAH SWT.”

Buah lain dari zuhud adalah mendekatkan hati kita kepada ALLAH dan manusia, begitupun sebaliknya, ALLAH pun mencintai kita, dan hati manusia pun akan dekat kepada kita. Diriwayatkan oleh Ibnu Majah, bahawa seorang lelaki pernah mendatangi Rasulullah dan bertanya, “Wahai Rasulullah, tunjukilah aku pada suatu amal yang bila aku kerjakan, aku dicintai ALLAH dan dicintai manusia.” Lalu Rasulullah bersabda, “Zuhudlah kamu akan dunia, pasti ALLAH mencintaimu. Zuhudlah engkau akan apa yang ada pada manusia, pasti manusia mencintaimu.”

Read More...

Posted by hAiRiL/spiderman_pink at 23:32 0 comments  

Menjadi Da'i, Susah Sangatkah?

Thursday, 28 August 2008

Oleh Hamba Allah

Beberapa waktu yang lalu, ketika saya mengambil masa untuk membaca surat khabar, saya terbaca sebuah kata-kata sindiran yang cukup unik, sebagaimana yang dapat kita baca pada judul diatas. Kata-kata diatas dimaksudkan untuk menyindir birokrasi kerajaan yang dianggap terlalu rumit. Tetapi dalam hal ini, saya tidak akan membahas mengenai permasalahan birokrasi kerajaan dengan segala kerumitannya, akan tetapi saya hanya akan cuba melihat fenomena dakwah yang kelihatannya agak terkait dengan kata-kata diatas.

Jika dikatakan bahawa dakwah itu hal yang wajib bagi tiap-tiap muslim, mungkin semuanya sepakat. Kita pun seringkali juga mendengar sabda Nabi, yang isinya perintah untuk menyampaikan risalah Islam ini, walaupun hanya satu ayat saja. Sedangkan di dalam Al Qur'an sendiri , perintah untuk berdakwah itu bukan main banyaknya. Misalnya dalam Ali Imran 110, Allah telah memberikan motivasi dan menyatakan bahawa kita itu (kaum muslimin) adalah ummat yang terbaik yang selalu menyeru kepada kebajikan dan mencegah kepada kemungkaran. Oleh sebab itulah, sebenarnya setiap kita adalah para da'i (penyeru),tidak terlepas dari kapasiti seruan yang mampu kita sampaikan.

Tetapi kenyataannya, nampaknya perintah dakwah ini tidak banyak difahami oleh kita; terbukti jika ada seruan untuk menjadi naqib naqibah misalnya, kita banyak yang melakukannya dengan mahu tidak mahu, padahal saya yakin seyakin–yakinnya, bahawa di kampus ini banyak orang yang kalau hanya menjadi naqib naqibah saja mampu. Alasan yang paling sering kita jumpai adalah alasan takut, ilmu kita belum seberapa kenapa sudah mahu berdakwah. Kalau urusan berdakwah kan seharusnya diserahkan kepada ahlinya, ya seperti ustaz atau tok guru, padahal sebenarnya kita sudah tahu, apakah ada ustaz atau tok guru yang sanggup menjadi naqib di kampus kita. Lalu akhirnya diri kita lepas tangan dan tidak mahu tahu, apakah kampus kita akan jadi Sosial, Liberal dan yang sewaktu dengannya.

Fikiran kita biasanya memang begitu. Kita seringkali menimpakan tanggung jawab kita kepada orang lain, padahal dalam kenyataannya, orang yang kita harapkan itu belum tentu mampu memenuhi harapan kita. Kita tidak pernah berfikir bahawa diri kita itu sebenarnya merupakan SDD (Sumber Daya Da'i) yang amat berpotensi. Ya kalau merasa belum cukup persediaan, bukannya alasan untuk kita lepas tangan dari tanggung jawab, tetapi seharusnya kita berfikir bagaimana agar kita mempunyai persiapan untuk itu.


Menjadi da'i, susah sangatkah?

Jika kita ditanya tentang hal diatas, saya yakin (semoga ini hasil kekeliruan kita) bahawa jawapannya adalah "sangat susah". Kenapa? Kerana menurut anggapan kita, da'i itu harus, pertama mempunyai ilmu-ilmu yang hebat, seperti kemampuan berbahasa arab, ilmu hadist, ilmu tafsir, ilmu mantiq, ilmu fiqih. Sedangkan Fiqih sendiri masih terdiri dari fiqih daulah, fiqih sholat, fiqih munakahat dan sebagainya. Ini tentu menjadi beban tersendiri bagi kita, kerana mustahil kita menguasai semua ilmu itu sekarang, padahal kita dalam kuliah juga masih dituntut dengan ilmu-ilmu akademik dan sebagainya. Kedua, mengenai tangung jawab kita terhadap apa yang kita sampaikan; ertinya sebagai da'i tentu akhirnya hidup kita akan terbatas, kerana da'i itu adalah contoh bagi yang di dakwahi. Betapa membebankan jika kita bertemu dengan rakan sepatutnya ber "Assalamu'alaikum", padahal kita telah terbiasa dengan hai hello. Sementara itu kita juga tidak lagi mampu bebas bercinta dengan bergandingan tangan berdua, kerana jika demikian orang akan berkata, "Wah, da'i pun berpegangan tangan dengan teman wanita".

Intinya kehidupan kita menjadi sempit dan terbatas. Mahu berpakaian yang terbuka jadi tidak kena, mahu beli majalah yang berunsur lucah jadi malu, mahu komen pasal orang di belakang rasa tak patut dan lain-lain. Padahal kalau kita tidak menjadi da'i, kan kita mampu menyatakan "Ya... no problem".

Kalau kita terus memikirkan anggapan-anggapan yang ada di kepala kita, dan anggapan-anggapan orang lain, tentu kita tidak akan pernah menjadi da'i, tidak akan pernah menjadi naqib naqibah, tidak akan pernah menjadi penggerak muslim. Kita akhirnya hanya santai-santai dan kehidupan kita akan datar dan tidak berwawasan. Akhirnya orientasi kita terlalu duniawi, padahal visi dunia itu kan tidak seberapa, kerana kata Allah, akhirat itu lebih baik dan lebih kekal, wal akhiiraatu khairu wa abqa.

Tentang anggapan bahawa untuk menjadi da'i mesti seorang ustaz yang memang mendalami Islam secara khusus, saya rasa tidak patut; kerana sebenarnya berdakwah itu sesuai dengan kemampuannya. Kalau kita baru mampu membaca Alqur'an misalnya, ya itu yang kita sampaikan. Bukankah kata Rasul, sampaikan dariku walau satu ayat.

Jika membahas masalah ini, saya jadi teringat dengan peristiwa Pengajian Iktikaf Ramadhan beberapa waktu yang lalu. Saat itu rakan saya berbincang dengan ustaz Ibnu Jhuraimi, yang dasar perbincangannya itu tentang ketakutan berdakwah, kerana menganggap dirinya kurang ilmu. Tetapi jawapan singkat dari Ustad Jhuraimi menjawab semua ketakutan itu. Beliau hanya menyatakan "Tidak usah menjadi Nabi dahulu baru berdakwah". Ertinya apa yang kita punyai, ya itulah yang akan kita sampaikan. Atau jika kita ingin menyampaikan sesuatu yang belum kita ketahui, ya kita mesti belajar dahulu. Tidak perlu menunggu kita menjadi "Nabi" baru kita berdakwah. Kerana itu merupakan suatu hal yang mustahil.

Oleh sebab itulah kita tidak usah menyusahkan diri dengan syarat yang terlalu tinggi sehingga susah untuk mencapainya untuk menjadi seorang da'i, cukuplah dengan apa yang kita punyai dan tekad membaja yang ada dalam dada kita. Atau jika kita merasa bahawa menjadi da'i akan membuat kita terbelenggu, sebenarnya hal itu menunjukkan bahawa diri kita belum mempunyai iktikad yang benar untuk berbuat baik. Kita masih ingin bernikmat-nikmat dengan nafsu duniawi.

Oleh sebab itulah menjadi da'i itu sebenarnya bukanlah pekerjaan yang sulit, pekerjaan yang tidak mungkin dilakukan, kerana jika demikian, Allah tentu tidak akan memerintahkan semua muslim untuk berdakwah ?

Menjadi dai sebenarnya ya menjadi manusia biasa, ya mempunyai keterbatasan ilmu, ya mempunyai keterbatasan yang lain; tetapi mungkin satu hal yang perlu di catat adalah, para da'i mempunyai semangat untuk berbuat baik dan memperbaiki diri, semangat untuk melaksanakan aktiviti positif. Sebagaimana di zaman Rasulullah para sahabat juga beraktiviti secara manusawi, sambil terus memperbaiki diri.

Jadi kalau begitu kenapa kita tidak mengubah paradigma yang ada di kepala kita, bahawa menjadi da'i itu sulit menjadi mudah ? Memudahkan bukan bererti memudah-mudahkan, atau bererti menganggap enteng, tetapi memudahkan ertinya tidak membuat sesuatu yang pada dasarnya biasa saja menjadi sesuatu yang terasa sangat sulit, dengan berbagai aturan yang membuat orang menjadi jauh atau bahkan lari dari "dakwah".

Dalam bukunya yang berjudul Fiqul Aulawiat, Dr Yusuf Qardhawy mengatakan bahawa diantara prioriti yang ditekankan, terutama dibidang fatwa dan dakwah adalah mendahulukan untuk meringankan dan memudahkan, daripada memberatkan dan mempersulitkan.

Rasulullah jika ditawarkan untuk memilih antara dua perkara, maka beliau mengambil yang paling mudah diantara keduanya selama tidak berdosa, tetapi jika itu berdosa maka beliau orang yang paling menjauhi daripadanya, begitulah sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Bukhari Muslim dari Aisyah ra.

Jika begitu kenapa kita harus takut dengan bayangan sendiri, atau takut dengan orang yang menakut-nakuti. Mulailah azzam itu dalam dirimu dan berkatalah dalam hatimu..

"Jadi da'i..... hmmm.... Siapa takut?"

Read More...

Posted by hAiRiL/spiderman_pink at 23:32 0 comments  

Sa'ad Ghamidi - Hud (103-117)

Wednesday, 20 August 2008



103. Sesungguhnya pada kejadian yang demikian, ada tanda (yang mendatangkan iktibar) bagi orang yang takut kepada azab akhirat, iaitu hari yang dihimpunkan manusia padanya dan hari yang demikian ialah hari yang dihadiri oleh sekalian makhluk.
104. Dan tiadalah Kami lambatkan hari kiamat itu melainkan untuk suatu tempoh yang tertentu.
105. (Pada) masa datangnya (hari kiamat itu), tiadalah seorangpun dapat berkata-kata (untuk membela dirinya atau memohon pertolongan) melainkan dengan izin Allah. Maka di antara mereka ada yang celaka dan ada pula yang berbahagia.
106. Adapun orang-orang yang celaka (disebabkan keingkaran dan maksiatnya), maka di dalam Nerakalah tempatnya. Bagi mereka di situ, hanyalah suara memekik-mekik dan mendayu-dayu (seperti suara keldai).
107. Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu. Sesungguhnya Tuhanmu, Maha Kuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.
108. Adapun orang-orang yang berbahagia (disebabkan imannya dan taatnya), maka di dalam Syurgalah tempatnya. Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu sebagai pemberian nikmat yang tidak putus-putus.
109. Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) menaruh perasaan ragu-ragu tentang sia-sianya apa yang disembah oleh mereka yang musyrik itu. Mereka tidak menyembah melainkan sama seperti yang disembah oleh datuk nenek mereka yang musyrik dahulu dan sesungguhnya Kami akan menyempurnakan bagi mereka bahagian mereka (dari azab yang telah ditentukan) dengan tidak dikurangi.
110. (Janganlah engkau merasa bimbang wahai Muhammad tentang keingkaran kaummu) kerana sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, lalu berlaku pertentangan mengenainya dan kalau tidaklah kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta kepada mereka dan sesungguhnya mereka masih menaruh perasaan ragu-ragu tentang (kebenaran Al-Quran) itu.
111. Dan sesungguhnya tiap-tiap seorang akan disempurnakan oleh Tuhanmu balasan amal mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam pengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.
112. Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.
113. Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api Neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.
114. Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.

115. Dan sabarlah (wahai Muhammad, engkau dan umatmu, dalam mengerjakan suruhan Allah), kerana sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.
116. Maka sepatutnya ada di antara umat yang telah dibinasakan dahulu daripada kamu itu, orang-orang yang berkelebihan akal fikiran yang melarang kaumnya dari perbuatan-perbuatan jahat di muka bumi tetapi sayang! Tidak ada yang melarang melainkan sedikit sahaja, iaitu orang-orang yang Kami telah selamatkan di antara mereka dan orang-orang yang tidak melarang itu telah menitik beratkan segala kemewahan yang diberikan kepada mereka dan menjadilah mereka orang-orang yang berdosa.
117. Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri.
********************

103. In that is a Sign for those who fear the Penalty of the Hereafter: that is a Day for which mankind will be gathered together: that will be a Day of Testimony.
104. Nor shall We delay it but for a term appointed.
105. The day it arrives, no soul shall speak except by His leave: of those (gathered) some will be wretched and some will be blessed.
106. Those who are wretched shall be in the Fire: there will be for them therein (nothing but) the heaving of sighs and sobs:
107. They will dwell therein for all the time that the heavens and the earth endure, except as thy Lord willeth: for thy Lord is the (sure) Accomplisher of what He planneth.
108. And those who are blessed shall be in the Garden: they will dwell therein for all the time that the heavens and the earth endure, except as thy Lord willeth: a gift without break.
109. Be not then in doubt as to what these men worship. They worship nothing but what their fathers worshipped before (them): but verily We shall pay them back (in full) their portion without (the least) abatement.
110. We certainly gave the Book to Moses, but differences arose therein: had it not been that a Word had gone forth before from thy Lord, the matter would have been decided between them: but they are in suspicious doubt concerning it.
111. And, of a surety, to all will your Lord pay back (in full the recompense) of their deeds: for He knoweth well all that they do.
112. Therefore stand firm (in the straight path) as thou art commanded― thou and those who with thee turn (unto Allah); and transgress not (from the Path): for He seeth well all that ye do.
113. And incline not to those who do wrong, or the Fire will seize you; and ye have no protectors other than Allah, nor shall ye be helped.
114. And establish regular prayers at the two ends of the day and at the approaches of the night: for those things that are good remove those that are evil: be that the word of remembrance to those who remember (their Lord):

115. And be steadfast in patience; for verily Allah will not suffer the reward of the righteous to perish.
116. Why were there not among, the generations before you, persons possessed of balanced good sense prohibiting (men) from mischief in the earth― except a few among them whom We saved (from harm)? But the wrongdoers pursued the enjoyment of the good things of life which were given them, and persisted in sin.
117. Nor would thy Lord be the One to destroy communities for a single wrongdoing if its members were likely to mend.

Read More...

Posted by hAiRiL/spiderman_pink at 23:32 0 comments  

Syaitan Kuasai Manusia Melalui 10 Pintu

Sunday, 17 August 2008

ALLAH berfirman bermaksud: "Syaitan memberikan janji yang membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka. Walhal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka kecuali tipu daya belaka. Tempat mereka itu ialah neraka jahanam dan mereka tidak memperoleh tempat untuk lari daripadanya." ( Surah an-Nisa', ayat 120-121).


Keterbukaan manusia mengundang kehadiran syaitan ke dalam diri masing-masing sebenarnya ada kaitannya dengan sifat mazmumah yang diamalkan dalam kehidupan seharian.

Apabila syaitan beraja dalam diri, seseorang itu akan sanggup melakukan apa juga perbuatan keji dan mungkar kerana keinginan nafsu akan menjadi sebati dengan sifat jahat syaitan itu sendiri.

Hati, suatu organ istimewa kurniaan Allah kepada manusia pada saat itu juga akan mula goyah apabila sedikit demi sedikit syaitan durjana mula merayap untuk menguasai tunjang di dalam badan manusia itu.

Beruntunglah golongan manusia yang berupaya menangkis godaan itu. Mengikut ulama, syaitan akan menguasai tubuh badan manusia melalui 10 pintu:

Pertama, melalui sifat sombong dan angkuh. Ia berpunca daripada keegoan manusia yang lazimnya mudah hanyut ketika dilimpahi kemewahan dan kesenangan.

Kedua, melalui sifat bakhil dan kedekut. Setiap harta benda dan kemewahan yang diperoleh adalah kurniaan Allah yang seharusnya dibelanjakan ke jalan yang hak.

Ketiga, melalui sifat takbur dan bongkak. Allah berfirman bermaksud: " Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang yang takbur." (Surah an-Nahl, ayat:23)

Keempat, sifat khianat. Khianat yang dimaksudkan bukan saja melalui perbuatan merosakkan sesuatu yang menjadi milik orang lain, malah mengkhianati hidup orang lain dengan tidak mematuhi apa-apa bentuk perjanjian, perkongsian dan sebagainya.

Kelima, sifat tidak suka menerima ilmu dan nasihat.

Keenam, melalui sifat hasad. Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud: " Hindarilah kamu daripada sifat hasad kerana ia akan memakan amalan kamu sebagaimana api memakan kayu yang kering." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Ketujuh, melalui sifat suka meremehkan orang lain. Abu Umamah pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: " Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang munafik ialah orang tua Muslim, orang yang berilmu dan imam yang adil." (Hadis riwayat Muslim).

Kelapan, melalui sifat ujub atau bangga diri. Menurut Imam Ahmad, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: " Jangan kamu bersenang lenang dalam kemewahan kerana sesungguhnya hamba Allah itu bukan orang yang bersenang-senang saja." ( Hadis riwayat Abu Naim daripada Muaz bin Jabal)

Kesembilan, melalui sifat suka berangan-angan. Islam adalah antikemalasan. Orang yang berat tulang untuk berusaha bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup akan dipandang hina oleh Allah dan manusia.

Kesepuluh, melalui sifat buruk sangka. Seseorang yang suka menuduh orang lain melakukan sesuatu kejahatan tanpa diselidiki terlebih dulu amat dicela oleh Islam. Rasulullah bersabda bermaksud: "Nanti akan ada seseorang berkata kepada orang ramai bahawa mereka sudah rosak. Sesungguhnya orang yang berkata itulah sebenarnya yang telah rosak dirinya." (Hadis riwayat Muslim)

Read More...

Posted by hAiRiL/spiderman_pink at 23:32 0 comments