Hajjaj Bin Yusuf As-Saqafi
Friday, 3 October 2008
Pada zaman Hajjaj Bin Yusuf As-Saqafi di negara Iraq, ada seorang lelaki melakukan perbuatan jenayah kepada sebuah keluarga kemudian dia bersembunyi. Maka utusan Hajjaj mencarinya agar di hukum tapi tidak menjumpainya. Akhirnya dalam kerancakan mencari pesalah tadi mereka menangkap Safari seorang ahli keluarga si pesalah tadi agar dijadikan sebagai pengganti kepada pesalah tersebut. Safari ditahan selama beberapa hari dan kemudian dihadapkan kepada Hajjaj bin Yusuf. Hajaj berkata “Apa yang kau telah lakukan? Cuba ceritakan padaku“. Safari menjawab, "Seorang pesalah telah berbuat jenayah menggangu sebuah keluarga tetapi aku pula ditangkap“. Mendengar jawapan dari Safari, Hajjaj menjawab kembali, “Tidakkah kau pernah mendengar sebuah syair ini:
Engkau akan dipenjara,
Lantaran orang yang berdosa terhadapmu,
Sungguh,
Kadang-kadang penyakit kurap,
Menular dikalangan orang sihat-sihat,
Seseorang ditangkap dan ditahan,
Kerana perbuatan saudaranya,
Sedang,
Si pesalah bebas selamat dari hukuman....
Setelah Hajjaj membaca syair itu, Safari dengan tenang menjawab “Wahai Amir, aku mendegar Allah berbicara berbeza dengan apa yang ditulis oleh penyair itu". Hajjaj yang durjana dan bengis itu lantas bertanya, “Apa kata Allah?"
Safari dengan tenang membaca Surah Yusuf ayat 78-79:
Maksudnya, “[12.78] Merekapun merayu dengan berkata: "Wahai datuk menteri! Sesungguhnya ia (Bunyamin), mempunyai bapa yang sudah tua, lagi berpangkat. Oleh itu, ambilah salah seorang di antara kami sebagai gantinya; sesungguhnya kami memandangmu dari orang-orang yang sentiasa berbudi . Yusuf berkata: "Kami berlindung kepada Allah daripada mengambil sesiapapun kecuali orang yang kami dapati barang kami dalam simpanannya. Sesungguhnya jika kami mengambil orang lain, nescaya menjadilah kami orang-orang yang zalim".
Setelah mendengar ayat tersebut maka Hajjaj bin Yusuf berkata, “Benarlah Allah dan dustalah si penyair". Lalu lelaki itu pun dibebaskan.
Sumber: Kitab Panduan memahami Maqasid Syariat oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi.