Manusia akan sentiasa diuji dalam kehidupan
Saturday, 13 September 2008
KEKAYAAN dan kemewahan atau pangkat dan kekuasaan yang dimiliki seseorang itu bukanlah menjadi bukti Allah swt memuliakannya kerana semua itu sesungguhnya tiada sebarang nilai di sisi Allah.
Sebaliknya kefakiran dan kesempitan hidup itu tidaklah bermakna kemurkaan Allah di atas hamba-Nya. Ini juga suatu kekeliruan dan kesilapan besar dalam pandangan dan pegangan seseorang Muslim dan Mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah.
Allah menjelaskan dengan firman-Nya yang bermaksud:"Adakah mereka menyangka bahawa apa yang Kami berikan kepada mereka daripada harta dan anak pinak itu, (bermakna dengan yang demikian). Kami menyegerakan untuk mereka pemberian kebaikan? (Tidak!) Bahkan mereka tidak menyedari (hakikatnya yang sebenar)." – (Al-Mukminun: 55-56)
Sedangkan kemuliaan sebenar di sisi Allah adalah bagi orang yang taat yang mendapat taufik untuk beramal bagi kepentingan akhirat manakala kehinaan sebenar di sisi Allah adalah bagi orang yang derhaka yang tidak mendapat taufik untuk melakukan ketaatan serta beramal dengan amalan ahli syurga.
Bukanlah seperti mana sangkaan mereka itu yang mendapat kemewahan dunia suatu kemuliaan dan ketinggian dan yang menghadapi kesempitannya suatu kehinaan. Sesungguhnya kekayaan itu ujian bagi orang yang kaya adakah dia bersyukur dan kefakiran itu ujian bagi orang yang fakir adakah ia bersabar.
Di atas kekeliruan dan kesalahan tanggapan itu, maka Allah lalu menegur mereka dengan firman-Nya dalam ayat berikut: "Jangan demikian, (sebenarnya kata-katamu itu salah) bahkan kamu tidak memuliakan anak yatim. – (Al-Fajr:17)
Imam Ibn Kathir dalam mentafsirkan ayat ini menulis bahawa: Sebenarnya Allah boleh memberikan harta kekayaan kepada mereka yang disukainya dan tidak disukainya.
Begitu juga Dia boleh menyempitkan hidup akan orang yang disukainya dan tidak disukainya. Ada pun ukuran sebenarnya dalam kedua-dua hal itu adalah ketaatannya kepada Allah. Apabila ia kaya hendaklah bersyukur kepada Allah di atas kekayaannya dan apabila dia fakir miskin hendaklah bersabar.
Jadi, apabila manusia dipengaruhi oleh emosi dan perasaannya kerap kali mengukur dan menilai sesuatu berdasarkan pandangan lahirnya. Sedangkan sesungguhnya pemberian rezeki yang melimpah ruah itu bukanlah tanda kecintaan Allah kepadanya.
Buktinya dapat kita saksikan betapa ramainya orang yang kufur kepada Allah, orang yang fasik dan derhaka kepada-Nya menjadi hartawan, malah jutawan di persada dunia ini.
Demikianlah sebaliknya kesempitan hidup dan fakir miskin bukanlah bererti ia dimurkai dan dibenci Allah. Buktinya berapa ramai kalangan nabi, pemimpin Islam zaman lampau, orang soleh dan ulama tidak berharta.
Ada ketikanya manusia lupa mengenai rahsia dan hikmat kewujudannya di dunia adalah semata-mata untuk ujian dan dugaan. Hal ini sebenarnya berlaku kepada semua orang, sama ada Islam dan bukan Islam pada sepanjang zaman.
Dunia ini sesungguhnya tidak lain hanya sekadar sebuah medan yang dibuka Allah kepada setiap hamba-Nya untuk memperlihatkan sejauh mana keterikatan hidup mereka dengan ajaran Allah selama hidup ini.
Sikap dan tindakan mereka tentunya dinilai dan dibalas nanti sesuai dengan amalannya. Justeru, peluang hidup ini dibatasi ajal, agar keterbatasan itu dapat dimanfaatkan semaksimum mungkin oleh manusia demi kejayaannya pada hari akhirat nanti.
Yang demikian ditegaskan oleh Allah dalam firman-Nya bermaksud: "Dialah (Allah) yang mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan melahirkan keadaan kamu; siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Amat Pengampun (kepada orang yang bertaubat)." – (al-Mulk:2)
Allah menjelaskan kekeliruan manusia dalam pemikirannya bahawa apabila mereka diuji Allah dengan pelbagai nikmat secara terus menerus, seumpama badan yang sihat, fikiran yang waras, harta yang banyak dan anak-pinak yang ramai.
Mereka lalu menganggap itulah tanda Allah sudah memulia dan mengangkat martabatnya. Mereka melihat semua itu sebagai suatu penghormatan dan penghargaan Allah. Lantas, mereka gembira ria dengan apa yang diberi tanpa mensyukurinya kepada Allah, malah tidak sama sekali menganggap semuanya adalah ujian daripada Allah.
Apa lagi lebih mendukacitakan sekiranya ada yang beranggapan bahawa segala kejayaan yang dicapainya itu memang patut dan haknya yang pasti diterima kerana mereka mendakwa bahawa dengan kepandaian dan kebijaksanaan merekalah semua itu diperoleh.
Mereka meletakkan sepenuhnya hasil kejayaan yang dicapainya atas hasil usahanya semata-mata. Secara tidak sedar mereka melupai bahawa di sebalik ikhtiar usaha manusia itu ada ketentuan Allah.
Dengan sikap yang demikian lahirlah kesombongan dan ketakburan. Dua sifat mazmumah (tercela) yang dimurkai Allah. Kedua-dua sifat itu menjadi asas yang kuat bagi mereka dalam mengingkari nikmat Allah. Memang, apabila hidup seseorang terlepas daripada menghitung-hitung nikmat Allah, Akibatnya akan jauhlah ia daripada mensyukuri dan mengingati-Nya.
Kalaulah demikian terjadi, dengarlah peringatan Allah ini: "Dengan sesiapa yang berpaling ingkar daripada peringatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit. Kami akan himpun dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. Dia berkata: "Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, pada hal dahulu aku celik? Allah berfirman: "Engkau melupakan serta meninggalkannya. Dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan dan ditinggalkan." – (Taha: 124-126)
Lebih baik berjalan di atas muka bumi ini dalam keadaan suci bersih daripada terbang di angkasa sebagai pencuri. Lebih baik bumi ini dipenuhi tempat-tempat ibadat yang disuluhi cahaya lilin daripada dipenuhi disko-disko yang diterangi cahaya lampu-lampu neon...