Burqini: Baju Mandi Untuk Wanita Islam
Monday, 29 September 2008
04 Februari, 2007 11:14 AM
Burqini: Baju Mandi Untuk Wanita Islam
MELBOURNE, 4 Feb (Bernama) -- Burqini, pakaian renang yang menutup aurat, kini membolehkan wanita Islam berenang dan bersantai di pantai dengan selesa.
Agensi Berita Nasional Australia (AAP) dalam laporannya hari ini menyebut burqini yang sudah dijual kepada lebih 9,000 wanita di Sydney, disokong oleh Majlis Islam Australia dan Mufti Australia.
Ketika memperagakan burqini pada "Surf Life Saving Australia" (SLSA) semalam, Laa Laa, 20, dari Mekah berkata pakaian daripada kain polyester itu yang menutup aurat dari kepala hingga kaki, memberikan kebebasan kepada wanita Islam untuk berenang di pantai dan pada masa yang sama mematuhi tuntutan agama.
"Matlamatnya ialah membolehkan wanita aktif dalam air, menggalakkan wanita menyertai aktiviti sukan, aktiviti renang dan dengan burqini, mereka boleh lakukannya, kata Laa Laa kepada AAP.
Turut hadir pada majlis Anugerah Kelab Sukan di Campsie, di barat daya Sydney itu yang merupakan sebahagian daripada program "On tha same wave" SLSA yang diperkenalkan ekoran rusuhan Cronulla, ialah Ketua Menteri New South Wales, Morris Iemma.
Laa Laa berkata orang ramai kini mula berebut-rebut mendapatkan pakaian yang dijual antara A$150 dan A$200 itu.
"Kawasan pantai kini semakin popular. Saya selalu ke pantai ... kini dengan adanya burqini, ia pasti mendapat sambutan," kata Iemma dipetik oleh AAP.
Iemma berkata baju renang itu merupakan program terbaru melatih pengawal penyelamat peluncur ombak dan membantu mengatasi halangan hubungan masyarakat di selatan Sydney.
"Ia merupakan salah satu daripada pelbagai program yang merapatkan masyarakat, dan sebagai perakuan bahawa kami semua adalah warga Australia yang berkongsi tanah air ini, kami mempunyai banyak haluan tapi kami ada satu masa depan, masa depan yang dikongsi bersama," kata ketua menteri itu.
"Persoalan dari mana kami datang, wajah kami, pakaian kami tidak timbul, tapi kami semua cintakan pantai dan itulah yang kami kongsi bersama," katanya.
Jurucakap SLSA, Lee Howell pula memberitahu AAP, Majlis Islam Australia selesa dengan pakaian itu.
"Mufti (Sheik Taj Aldin Alhilali) secara peribadi turut menyokong burqini sebagai pakaian yang sesuai dan dibenarkan atas sebab-sebab agama dan budaya," katanya.
Pakaian renang itu yang seragam dengan pakaian pantai tradisional lain, memenuhi tuntutan agama, katanya.
-- BERNAMA