Berhutang tapi berumrah berkali-kali

Wednesday, 3 September 2008

Soalan

Sahabat saya berhutang dengan saya sebanyak $10,000 tetapi mengerjakan haji dan umrah berkali-kali. Saya merasa kurang senang tetapi sukar untuk menyatakan kepadanya kerana dia adalah kawan karib. Saya memohon pandangan ustaz mengenai tingkah laku kawan saya ini.

Jawaban

Menunaikan haji itu wajib bagi mereka yang telah mampu. Seorang yang berhutang dengan orang lain boleh menunaikan haji dengan syarat dia tidak menyebabkan hak si pemberi hutang itu terjejas seperti menjejas pembayaran hutangnya mengikut waktu yang dijanjikan kecuali jika telah diberi keizinan. Hatta untuk pergi berjihad sekali pun, satu ibadah yang agung, tidak boleh dilakukan kecuali setelah mendapat izin si pemberi hutang. Di dalam sebuah hadits, seorang sahabat bertanya Rasulullah s.a.w “Apakah pendapatmu jika aku dibunuh di jalan Allah, adakah dosaku akan dihapuskan? Rasulullah s.a.w bersabda “Ya. Jika anda sabar dan mengharap ganjaran Allah, maju ke hadapan dan tidak mundur kecuali (jika) berhutang. Sesungguhnya Jibril berkata kepadaku sedemikian.” (Riwayat Ahmad)

Dalam hal ini, menunaikan hak manusia (membayar hutang) harus diutamakan dari menunaikan hak Allah taala (menunaikan haji). Apatah lagi menunai haji hanya wajib bagi yang berkemampuan. Orang yang hartanya terikat kerana membayar hutang boleh dikategorikan sebagai belum berkemampuan. Seorang sahabat bertanya Rasulullah s.a.w mengenai seorang lelaki yang belum berhaji adakah ia berhutang untuk berhaji. Rasulullah s.a.w bersabda “Tidak boleh.” (Riwayat Al-Baihaqi)

Jika seorang itu telah menunaikan haji, maka tidak wajib lagi baginya menunaikan haji untuk kali kedua. Rasulullah s.a.w bersaabda yang bermaksud “Haji itu sekali sahaja. Sesiapa yang menambah, maka itu hanyalah sunat.” (Riwayat Abu Daud dan Al-Hakim). Dalam keadaan sedemikian, kewajiban utamanya ialah untuk menyelesaikan hutang dari menunaikan haji atau umrah yang sunat.

Adalah diingatkan bahawa menunaikan haji dan umrah sehingga menyebabkan hak si pemberi hutang itu terjejas dan menyebabkan ia tidak merasa redha boleh menjatuhkan seseorang ke dalam apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w yang bermaksud “Penangguhan (membayar hutang) bagi orang yang kaya (berkemampuan) adalah satu kezaliman.” (Riwayat Abu Daud). Perbuatan zalim adalah berdosa di sisi Allah taala.

Disebabkan cara hidup hari ini banyak dipengaruhi oleh sistem ekonomi kapitalis dan kemudahan membuat pinjaman wang, ramai dari antara umat Islam menjadi mengambil ringan terhadap pembayaran hutang.

Sedangkah Islam sebenarnya, walau pun mengharuskan berhutang, tetapi tidak menggalakkannya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Adapun hutang itu, demi jiwaku yang berada ditanganNya (Allah), jika ada seorang lelaki dibunuh di jalan Allah kemudian dia hidup semula lalu dia dibunuh lagi di jalan Allah kemudian dia hidup semula lalu dia dibunuh lagi, dia tidak akan amasuk syurga sehingga hutang itu dibayar.” (Riwayat Ahmad).

Dalam sebuh hadits lain pula beliau bersabda yang bermaksud “Sesiapa yang mengambil harta manusia dengan berniat untuk mengembalikannya, maka Allah akan membantu dia untuk mengembalikannya dan sesiapa pula yang mengambil dengan berniat untuk merosakkannya, maka Allah akan merosak diri dia.” (Riwayat Al-Bukhari)

Oleh itu, hendaklah umat Islam sentiasa peka terhadap amanah berhutang dan tidak berhutang kecuali atas keperluan.

Wallahu A`alam

Ustaz Haniff@Multiply

Posted by hAiRiL/spiderman_pink at 23:32  

0 comments:

Post a Comment