Syaitan Kuasai Manusia Melalui 10 Pintu

Sunday, 17 August 2008

ALLAH berfirman bermaksud: "Syaitan memberikan janji yang membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka. Walhal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka kecuali tipu daya belaka. Tempat mereka itu ialah neraka jahanam dan mereka tidak memperoleh tempat untuk lari daripadanya." ( Surah an-Nisa', ayat 120-121).


Keterbukaan manusia mengundang kehadiran syaitan ke dalam diri masing-masing sebenarnya ada kaitannya dengan sifat mazmumah yang diamalkan dalam kehidupan seharian.

Apabila syaitan beraja dalam diri, seseorang itu akan sanggup melakukan apa juga perbuatan keji dan mungkar kerana keinginan nafsu akan menjadi sebati dengan sifat jahat syaitan itu sendiri.

Hati, suatu organ istimewa kurniaan Allah kepada manusia pada saat itu juga akan mula goyah apabila sedikit demi sedikit syaitan durjana mula merayap untuk menguasai tunjang di dalam badan manusia itu.

Beruntunglah golongan manusia yang berupaya menangkis godaan itu. Mengikut ulama, syaitan akan menguasai tubuh badan manusia melalui 10 pintu:

Pertama, melalui sifat sombong dan angkuh. Ia berpunca daripada keegoan manusia yang lazimnya mudah hanyut ketika dilimpahi kemewahan dan kesenangan.

Kedua, melalui sifat bakhil dan kedekut. Setiap harta benda dan kemewahan yang diperoleh adalah kurniaan Allah yang seharusnya dibelanjakan ke jalan yang hak.

Ketiga, melalui sifat takbur dan bongkak. Allah berfirman bermaksud: " Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang yang takbur." (Surah an-Nahl, ayat:23)

Keempat, sifat khianat. Khianat yang dimaksudkan bukan saja melalui perbuatan merosakkan sesuatu yang menjadi milik orang lain, malah mengkhianati hidup orang lain dengan tidak mematuhi apa-apa bentuk perjanjian, perkongsian dan sebagainya.

Kelima, sifat tidak suka menerima ilmu dan nasihat.

Keenam, melalui sifat hasad. Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud: " Hindarilah kamu daripada sifat hasad kerana ia akan memakan amalan kamu sebagaimana api memakan kayu yang kering." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Ketujuh, melalui sifat suka meremehkan orang lain. Abu Umamah pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: " Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang munafik ialah orang tua Muslim, orang yang berilmu dan imam yang adil." (Hadis riwayat Muslim).

Kelapan, melalui sifat ujub atau bangga diri. Menurut Imam Ahmad, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: " Jangan kamu bersenang lenang dalam kemewahan kerana sesungguhnya hamba Allah itu bukan orang yang bersenang-senang saja." ( Hadis riwayat Abu Naim daripada Muaz bin Jabal)

Kesembilan, melalui sifat suka berangan-angan. Islam adalah antikemalasan. Orang yang berat tulang untuk berusaha bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup akan dipandang hina oleh Allah dan manusia.

Kesepuluh, melalui sifat buruk sangka. Seseorang yang suka menuduh orang lain melakukan sesuatu kejahatan tanpa diselidiki terlebih dulu amat dicela oleh Islam. Rasulullah bersabda bermaksud: "Nanti akan ada seseorang berkata kepada orang ramai bahawa mereka sudah rosak. Sesungguhnya orang yang berkata itulah sebenarnya yang telah rosak dirinya." (Hadis riwayat Muslim)

Posted by hAiRiL/spiderman_pink at 23:32  

0 comments:

Post a Comment