Haji Dam

Saturday, 22 December 2007

Sewaktu kecil dahulu , aku diajar bermain Dam. Permainan dam amatlah mudah jika dibandingkan permainan catur. Hingga kini aku tidak tahu bagaimana bermain catur tetapi kira agak 'terer' juga dalam bermain dam.

Permainan dam memerlukan papan yang dikotak-kotakkan dengan warna hitam dan putih berselang-seli. Ianya memerlukan buah dam hitam putih ataupun tutup botol yang dibolak-balikkan . Kemenangan diraih apabila pihak lawan dapat 'makan' buah dam pihak lawannya. Pihak yang kurang atau hilang dam hitam atau putihnya dianggap kalah.

Untuk menjadikan permainan dam ini lebih menarik ada istilah yang dipanggil 'Haji'. Seseorang itu naik Haji apabila buah damnya sampai ke kawasan lawan. Apabila terjadi demikian, buah damnya akan 'dihajikan' iaitu akan digandakan dan ianya boleh memakan buah dam lawannya berkali-kali dengan 'melangkah' lebih jauh . Kadang-kala boleh juga terjadi apabila permainan dam ini berakhir dengan keputusan seri ataupun 'draw'. Pada waktu ini tidak ada pihak yang menang .

Sesungguhnya permainan dam ini memerlukan strategi dan sangat mengasyikkan. Maka itu tak peliklah kalau kita lihat ianya gemar dimainkan oleh semua lapisan umur termasuk yang sudah lanjut umur samada di rumah hinggalah di kedai kopi.

Jika dahulu aku cuma tahu bermain kini aku cuba memahami hikmah daripada permainan dam. Rupa-rupanya permainan dam ini adalah 'reflection' dari apa yang berlaku di pentas dunia. Warna hitam putih kotak dam memaparkan keadaan sebenar kehidupan dunia yang dipenuhi dengan elemen kebenaran dan kesesatan. Buah dam yang hitam putih merupakan usaha baik dan buruk yang jalankan usaha para pemainnya iaitu kita.

Usaha baik seumpama buah catur yang putih boleh disimpulkan seperti usaha dakwah dan kebaikan seperti menyampai kebenaran, mengajar ilmu,mempersaudarakan sesama manusia, menasihat,membantu golongan miskin dan memerlukan akan berdepan dengan usaha-usaha batil seperti menganjurkan perbukaan aurat , pembunuhan jiwa yang tidak berdosa, pemerkosaan alam dan sebagainya. Pertarungan antara hak dan batil inilah sebenarnya juga tema yang seringkali didapati di dalam Al Quran dan sejarah manusia. Pertarungan antara para nabi-nabi dan Firaun,antara Jalut dan Thalut, antara Syaitan dan Nabi Ibrahim , antara Nabi Muhammad dan Quraish dan banyak lagi.

Menang atau kalahnya pertarungan antara putih dan hitam ataupun hak dan batil banyak bergantung kepada para pemainnya. Pemain yang bijak berstrategi dan gigih merancang akan menang dalam pertarungan tersebut.

Kadangkala usaha baik atau buruk dapat dipertingkatkan dengan adanya kekuatan 'extra' yang dimiliki. Umpamanya kelonggaran 'menghalalkan' tarian Crazy Horse yang separuh bogel yang dibenarkan oleh para penguasa akan menguatkan lagi usaha kebatilan didalam masyarakat . Dalam istilah permainan dam ianya boleh diumpamakan seperti 'haji'. Sebaliknya jika para pendakwah dapat menghasilkan menteri yang dapat mengetengahkan kebenaran ianya juga merupakan 'haji' bagi mereka kerana jangkauan perubahan yang dapat dilakukan menjangkau lebih jauh lagi.

Sesungguhnya pertarungan hak dan batil ini panjang dan memenatkan bak kekata para pemain dam ,'berkopi-kopi habis'. Ianya perlu sokongan luas dan para pelapis. Kita mungkin tidak lihat kemenangan di hayat kita tapi janganlah kita kalah sewaktu nyawa dikandung badan.

Akhir kata, sempena bulan haji ini jadilah kita bak Haji Dam yang akan menjadi 'booster' kepada usaha kebenaran dan kebaikan dalam melawan kemungkaran dan kebatilan.

wallahua'lam

Abang Janggut a.k.a Mohd Helmi Mohd Som

Posted by hAiRiL/spiderman_pink at 23:32  

1 comments:

Nice posting, thank you.


I wish you a good end of 2007 and a good year of 2008.

david santos said...
24 December 2007 at 8:30 am  

Post a Comment