Ke Arah Ummah Yang Perkasa

Thursday, 3 July 2008

Oleh: Ustaz Ahmad bin Yusof, Master Tafsir, Usuluddin, Universiti Al-Azhar Mesir.

كنتم خير أمة أخرجت للناس تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر وتؤمنون بالله


Maksudnya: “Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan kepada manusia. Kamu menyuruh kepada kebaikan dan menegah kemungkaran, juga beriman kepada Allah..”

Ayat ini merupakan satu pengiktirafan daripada Allah s.w.t. kepada umat Muhammad bahawa mereka adalah sebaik-baik ummah. Kalau sebahagian daripada Bani Israel disifatkan oleh Allah sebagai “ummah muqtasidah”, namun umat Muhammad lebih baik daripada itu atau lebih tinggi makamnya seperti mana yang ditafsirkan oleh Imam Ibn Kathir.

Namun, adakah wajar kita sekadar berbangga dengan pengiktirafan ini? Adakah kita telah benar-benar mencapai tahap sebaik-baik ummah itu? Memang kita tidak wajar sekadar berbangga-bangga kerana secara umumnya umat Islam kini masih tidak mampu mencapai tahap tersebut.

Sebenarnya, untuk mencapai gelaran hebat seumpama itu, pengorbanan juga perlu sehebat gelarannya. Ini memang hukum dunia. Bahkan, ini juga sunnah Allah. Sukar untuk mencari satu kesenangan tanpa didahului dengan kesukaran. Sesungguhnya bersama-sama kesukaran itu ada kemudahan.

Justeru, ummah yang ingin diberikan pengiktirafan sebaik-baik ummah perlu terlebih dulu melangsaikan beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh Allah. Tanpa syarat-syarat ini, mereka tidak akan mampu sampai ke makam tersebut.

Pertamanya, mereka perlu menyuruh manusia melakukan kebaikan. Ia mudah disebut tetapi sukar dilaksanakan. Perlu diingat, perbuatan menyuruh tidak sama dengan hanya sekadar mengajak.

Keduanya, mereka perlu menegah manusia daripada melakukan kemungkaran. Syarat ini lebih sukar daripada yang pertama. Ramai di kalangan umat Islam mungkin boleh menyeru atau mungkin menyuruh orang lain melakukan kebaikan, namun hanya segelintir saja yang mampu menegah mereka daripada melakukan kemungkaran. Mungkin kesukaran ini disebabkan mereka sendiri tidak meninggalkan kemungkaran yang ingin ditegah!

Ketiganya, mereka perlu beriman kepada Allah dengan sebenar-benar iman. Ini juga mudah disebut, tetapi tahukah kita beriman kepada Allah itu menuntut kita melakukan banyak perkara lain, seumpama tidak mengiktiraf undang-undang yang bercanggah dengan undang-undang Allah?

Secara mudahnya, kita melihat hanya ada sedikit sahaja syarat yang perlu dipenuhi untuk mendapat pengiktirafan sebagai sebaik-baik ummah. Tetapi, ketiga-tiga syarat tadi rupanya menuntut pelbagai perkara yang lain. Sebagai contoh, kerja amar makruf nahi mungkar, menuntut golongan yang ingin melaksanakannya mempelajari adab dan etika yang telah ditetapkan oleh Islam kepada kerja tersebut.

Banyak ulama dan cendikiawan Islam telah membincangkan adab dan etika ini dalam karangan-karangan mereka. Begitu jugalah iman, ia bukan sahaja sekadar percaya dengan kesemua rukun ini, lantas melafazkannya dengan lidah semata-mata, bahkan jasmani dan rohani perlu benar-benar tunduk dan patuh kepada Allah s.w.t. serta melaksanakan segala arahan Allah dan Rasul-Nya.

Rasanya, untuk melihat ketiga-tiga syarat tersebut secara realiti, kita perlu melihat kehidupan umat Islam pada zaman Rasulullah s.a.w. Kesemua syarat tadi wujud pada mereka. Mereka mempunyai iman yang kukuh, kesatuan yang mantap, juga moral yang cukup tinggi.

Oleh itu, sekiranya umat Islam zaman ini ingin mencapai tahap sebaik-baik ummah, mereka perlu mencontohi umat Islam pada zaman Rasulullah s.a.w. Sekiranya ini mampu dilakukan, mereka akan menjadi ummah yang perkasa!

Posted by hAiRiL/spiderman_pink at 23:32  

0 comments:

Post a Comment