Cinta Rais Raisah
Wednesday, 9 July 2008
SATU
“ Fiq, jom sarapan “
Hening pagi dipecahkan dengan laungan umi. Taufiq tergagau betah. Lamunannya diterjah dan diganggu. Laungan itu tidak dijawabnya. Dia diam melayan gelodak hatinya. Lukanya perlu diubati.
Fikirannya melayang jauh mengingatkan nasib yang menimpa bayi comelnya Aisyah. Aisyah tidak bersalah. Aisyah tidak tahu apa-apa. Aisyah kehilangan Aliya, ibunya gara-gara sikap dinginnya.
Taufiq agak sesal dengan apa yang berlaku. Semua silap dia. Dialah punca segala-galanya. Dia suami dan ayah yang tidak bertanggungjawab.
Taufiq bungkam. Tidak tahu di mana hendak dimulakan rentaknya semula. Dia malu pada umi. Malu juga pada ayah. Dia lebih malu pada mak dan abah, mertuanya. Dia tidak layak untuk berdepan dengan semua orang lantaran semua salahnya.
Aliya terseksa gara-gara sikapnya yang acuh tidak acuh. Semua sudah terlambat. Aliya pergi jua walau dia merintih pada Tuhan.
Ajalnya telah tiba. Dia tahu itu semua tapi kehilangan Aliya amat dikesalinya lantaran dialah puncanya.
“ Liya! Maafkan abang, bantulah abang untuk tebus kembali salah dan silap abang pada Liya “
“ Memang abang mengaku yang abang kahwini Liya sebab terpaksa. Abang abaikan Liya. Abang seksa hidup Liya. Maafkan abang Liya.
“ Tapi Liya. Abang jatuh cinta dengan sifat sabar yang ada pada Liya. Liya sungguh-sungguh kental. Liya istimewa pada abang lepas 2 bulan kita hidup bersama ” Hati taufiq berbisik.
Biarlah Liya tidak mendengarnya. Yang penting dia mahu melepaskan rasa bersalahnya pada Liya.
Dua bulan dia tidak mempedulikan Liya selapas akad. Dia tidak boleh menerima Liya sebagai isterinya. Bisikan hati sering menghasut batinnya.
Dia nekad untuk bersama Aliya bila hatinya ikhlas menyintai perempuan itu. Dia harus jujur. Dia tidak mahu menipu Aliya.
Dua bulan dia mencuba. Dua bulan dia paksa hatinya untuk menghargai kecantikan dan keluhuran perempuan yang dikahwini atas desakan uminya.
“Liya memang istimewa. Abang amat rindukan lembut suara Liya. Benar-benar rindu ”
Rupanya gadis itu punya kuasa istimmewa. Sifat sabar berjaya menawan hatinya. Dia jatuh cinta pada isterinya setelah dua bulan usia perkahwinannya. Saat itu dia benar-benar bahagia.
Dia makin rasional dan dengan sepenuh hati menyintai sepupunya, juga rakan sepermainannya. Yang lebih penting, Aliya adalah haknya. Dia juga milik sah Aliya.
“ Abang cintakan Liya “ bisiknya
“ Liya sayangkan abang untuk selamanya. Liya nak bersama abang sampai ke syurga “ Bisikan itu masih terngiang di telinganya walau Aliya sudah dijemput pergi selepas setahun usia perkahwinan dan tidak akan kembali.
“ Tuhan lebih sayangkan liya. Abang maafkan dan halalkan semua silap dan makan minum Liya. Liya juga maafkan abang ya “
DUA
“ Saya terima nikahnya Aliya binti Osman dengan mas kahwinnya RM 2,000 tunai “
Dengan penuh kelam lafaz kahwin dilafazkan berwalikan mertuanya, juga bapa saudaranya.
Taufiq terpaksa gara-gara memenuhi permintaan umi dan ayahnya.
Dua bulan sebelumnya dia dikhabarkan tentang hasrat kedua orang tuanya supaya mengahwini sepupu sendiri.
Dia masih ingat malam itu. Gelagat umi dan ayah pelik sekali. Semacam ada sesuatu yang diinginkan darinya.
Dia tidak mengesyaki apa-apa yang luar biasa. Dia hanya mahu habiskan cuti seminggu sebelum menyambung kembali kerjanya.
Dia mahu lupakan semua masalah pejabat dan fail-fail kes perceraian yang bertimbun di atas mejanya. Terlampau banyak kes tuntutan cerai yang saban hari menyerbu bilik pejabatnya. Hidup dia diganggu dengan kes-kes tragis perceraian.
Semua kes tragis yang diurus menjadikan dia bertambah trauma dengan sebuah ikatan perkahwinan. Apa lagi perkahwinan yang bakal ditempuh adalah perkahwinan atas desakan keluarga.
******
Najihah!
Nama itu mengingatkan kembali pada arca sejarah yang pernah mewarnai tangkai hatinya. Barangkali sirah itu jugalah yang merobek nubari lelakinya. Dia masih ingat zaman kampus dan perkenalannya dengan Najihah.
Kalau mahu dikira memang dia tidak pernah bercinta. Apa lagi dia amat-amat mengerti akan hukum yang telah tersurat.
Prinsip agama yang amat dimengertikannya bahawa cinta hanya selepas akad. Dia amat-amat nekad dan patuh pada ajaran agama. Lagi pula dia adalah pimpinan pelajar.
Najihah gadis lemah lembut tapi tegas bila berbicara. Najihah pemimpin siswi. Dia memang ada menaruh hati pada wanita tudung litup itu. Dalam ramai-ramai siswi yang sering dijumpainya sama ada atas urusan rasmi persatuan atau pengajian, hanya dia yang berjaya mencuri hatinya.
Tapi dia hanya membisu kelu lantaran sedar siapalah dirinya jika mahu dibandingkan dengan Najihah.
Dia hanya gagak di rimba, Najihah pula fikirnya merak kayangan. Dia hanya pipit di hutan tapi Najihah pula enggang lindungan.
Biarlah dia simpan sendiri perasannya. Dia pasrah.
“Ya Rabb, kalau benar dia milik ku, Kau segarakanlah”
TIGA
“ Umi tak boleh buat Fiq macam ni. Ni soal hati dan perasaan. Fiq tak boleh terima Liya sebagai isteri. Fiq tak boleh umi“
Puas dia merayu pada umi dan ayah untuk melupakan hasrat menjodohkan dia dan Aliya, sepupu sepermainan sejak di bangku sekolah menengah lagi hinggalah ke mereka berdua menyambung pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir.
Bermacam-macam alasan diberikan tapi umi dan ayah tetap berkeras dengan keputusan. Katanya dia dan Aliya telah ditunangkan sejak kecil oleh arwah datuknya. Ini hasrat dan wasiat arwah datuknya supaya dia dan Aliya disatukan.
Jenuh dia jelaskan soal wasiat yang melibatkan masalah perkahwinan hanyalah harus, tidak wajib dituruti. Ia soal hati dan perasan. Tapi hujah hukumnya ditolak mentah. Dia harus redha dan menerima Aliya seadanya.
Ibunya memberi kata dua. Samada menerima Aliya sebagai suri hidupnya atau dia akan selamanya dilaknat sebagai anak derhaka.
Dia pasrah dan korbankan perasaannya demi kebahagiaan kedua ibu bapanya. Itu lebih baik fikirnya.
Dia tahu yang uminya benar-benar serius. Dia juga faham benar sikap uminya yang pantang dibangkang keputusannya. Jauh sekali beza dengan sikap ayahnya.
Ayahnya seorang yang pendiam. Jarang sekali dia melihat ayahnya meninggikan suara samada pada uminya atau anak-anak. Ayah seorang yang tegas tapi selalunya boleh berkompromi dalam segenap hal. Sikap itu yang diwarisinya. Sikap mengalah ayah amat kuat diikutinya.
Fikirnya dia harus mengalah demi kebahagiaan umi. Juga mengharapkan agar ketaatan dia pada kedua ibu bapanya akan diberkati Allah. Dia tidak mahu memutuskan hubungan baik terutama dengan umi hanya kerana masalah kecil yang hanya melibatkan hati dan peraaannya.
Dia sedar kalau bukan kerana kasih sayang dan didikan sejak kecil uminya, dia tidak mungkin mampu menjadi sebaik itu. “ Besar sungguh jasa dan pengorbanan mereka, apa salahnya aku korbankan perasaan sendiri ” Hati kecilnya sering berbisik begitu.
Lagi pula ayahnya juga mahukan dia mengahwini Aliya. Dengan nada kebapaan ayahnya menyuarakan pandangan ketika mereka keluar memancing bersama. Hanya dia dan ayahnya.
“Fiq! Tak semua benda yang kita mahukan dalam hidup ini akan kita perolehi. Memang Allah jadikan begitu. Ia sunnatullah kepada hamba yang Dia sayang. Dia mahu kita sedar yang kita hanya hamba yang lemah. Ayah rasa fiq faham benar tentang itu semua ”Tenang sekali suara ayahnya.
Dia hanya memandang ayahnya tanpa kata. Pandangannya beralih ke lopak air. Mahu sahaja air matanya menitis.Cepat-cepat dia menakungnya. Dikerlip-kerlip dan didongak tinggi. Dia amat-amat terharu dengan kata-kata ayahnya. Dia pasrah.
EMPAT
“Abang tak cintakan Liya. Abang tak boleh terima Liya, abang dipaksa. Tolong bagi abang masa untuk tenangkan fikiran. Abang harap Liya faham”.
Aliya tunduk membatu. Air jernih menakung di kelopak matanya. Taufiq sedar dia tidak seharusnya luahkan apa yang terbuku di hatinya pada gadis yang baru dikahwininya.
Aliya tidak bersalah. Dia langsung tidak tahu apa-apa. Dia gadis baik, lemah lembut dan Taufiq kenal benar sepupunya itu.
Dari kecil Aliya tidak pernah membangkang apa jua katanya. Aliya memang seorang gadis yang baik dan mudah mendengar kata.
Dia tahu semua itu tapi masalahnya dia tidak bersedia menerima Aliya sebagai suri hatinya. Dia sudah ada calon lain. Aliya dipandangnya semacam adiknya.
******
Najihah!
Hanya itu sahaja nama yang berlegar di mindanya. Walaupun dia hanya gila bayang untuk memiliki Najihah tapi dia tetap mahu menunggu dan menanti agar suatu hari Najihah akan membuka hati untuknya. Hati Najihah cukup sukar untuk ditawan.
Najihah semacam acuh tidak acuh sahaja dengan permohonan Bait Muslim yang dihantarnya melalui Imran, ketua bait muslim persatuan pelajar yang juga sahabat baiknya sejak tahun pertama dibumi Anbiya’.
Najihah benar-benar mendera jiwanya apabila jawapan yang diberikan diterimanya daripada Imran mendukacitakan. Najihah menolaknya mentah-mentah.
Sungguh, dia tidak puas hati dengan tolakan tersebut tanpa diperincikan apa sebabnya. Fahamnya, Najihah tidak menolak cintanya. Najihah semacam tersepit. Tapi dia tidak tahu apa puncanya.
“Kita mungkin tiada jodoh, Ana harap ustaz terima takdir ini seadanya,” itu jawapan yang diterimanya.
Dia sungguh-sungguh merana dengan sikap Najihah tapi cintanya makin subur. Najihah mencabar ego lelakinya. Dia nekad memiliki cinta Najihah. Dia perlukan masa untuk itu.
Suasana tempat pengajian dan pegangan ketat dengan hukum yang sejak dulu lagi dipelajarinya menyebabkan dia tidak boleh terus meluahkan hatinya pada Najhah.
Lagi pula status dia sebagai mahasiswa tahun akhir Kuliah Syariah Islamiah Universiti Al-Azhar menjadikan dia amat berpegang dengan hukum yang dipelajarinya.
Dia amat yakin dengan saluran Bait Muslim yang disediakan persatuan Pelajar Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir (KPKM) .
Lagi pula dialah Rais yang mengepalai KPKM. Dia mesti jujur dan amanah dalam menjalankan tugas kepimpinan. Ijtihad kepimpinan mesti diikuti. Dia tidak boleh secara sendirian menemui Najihah. Dia mesti menunjukkan contoh teladan yang baik.
Najihah juga bukan sembarangan pimpinan. Dia Raisah HEWI (KPKM), sama macam dirinya. Mereka berdua punya tanggungjawab dan amanah yang seharusnya menjadi contoh. Hatinya perlu dikorbankan demi keselesaan orang lain.
Dia sedar itu semua. Memang dia dilatih demikian oleh naqibnya.
LIMA
“Fiq, sudahlah tu, jom makan” Laungan umi sekali lagi mengejutkannya.
Taufiq dengan langkah berat meninggalkan bilik Aisyah, bayi 7 hari yang baru sahaja kehilangan ibunya.
Aliya, isterinya yang meninggal semasa melahirkan bayi comelnya, Aisyah. Taufiq masih belum boleh melupakan bagaimana tragisnya Aisyah dilahirkan.
Ekoran kecuaian dan sikap acuh tidak acuhnya menyebabkan dia rasa bersalah menghantui dirinya atas kehilangan Aliya.
Sungguh Taufiq tidak menjangka kecuaiannya meninggalkan Aliya untuk berkursus di Pulau Langkawi membawa padah pada dirinya.
Aliya bersalin seorang diri di rumah dan akibat kehilangan banyak darah, Aliya tidak dapat diselamatkan.
Dia bergegas pulang dari Langkawi bila uminya menelefon mengatakan yang Aliya sedang tenat di ICU. Aliya bersalin tidak cukup bulan. Seingatnya kandungan itu baru mencecah 7 bulan. Aliya dikatakan terjatuh.
Mujur mak dan abah datang berkunjung tepat pada masanya. Kalau tidak Aisyah juga mungkin tidak dapat diselamatkan.
Baru sahaja hatinya dibuka untuk cinta Aliya dua bulan selepas diijab kabul tapi sayang dia pergi meninggalkannya tanpa sebarang pesan. Mujur Aisyah ada sebagai pengubat luka.
“Liya, abang janji akan bahagiakan dan berikan kasih sayang sepenuhnya pada Aisyah. Maafkan abang!”
Kakinya melangkah longlai ke ruang makan. Ada tetamu rupanya yang sedang bersembang rancak dengan ibunya. Semua tetamu itu bertiga. Dua perempuan seorang lelaki.
Hatinya tidak tenteram untuk menerima kehadiran tetamu. Dia masih rindukan Aliya dan rasa bersalahnya pada isteri yang baru dicintainya masih kelat memberatkan senyum di bibirnya. Dia perlukan masa untuk menerima berita duka tersebut.
“Fiq, ni pakcik Jalal dan keluarga nak ziarah Fiq.” Ayahnya bersuara memperkenalkan gerangan yang bertandang.
Matanya melirik pada tetamu yang hadir. Salam diberi, senyum diukir penuh.
“Ustaz Taufiq apa khabar, takziah atas apa yang berlaku, harap ustaz sabar.” Seorang lelaki sebaya ayahnya menegur senyum.
Matanya terlirik gadis bertudung labuh di sebelah kiri.
“Ya Allah, Najihah!”
Memori lama bertandang lagi, apakah ini takdir Ilahi atau Taufiq tetap akan setia dengan Aliya.
Taufiq tekad kali ini, Aisyah akan diberi pembelaan dan haknya.
Najihah, gadis yang pernah mencuri hatinya. “Aliya! Maafkan abang”
Najihah, Raisah yang dulu pernah diidamkannya. Dia pula Rais, juga suami degil yang hanya pentingkan diri sendiri. Dia malu pada semua orang.
“Ya Allah! Ampunkan aku, arwah isteriku, dan rahmati bayiku Aisyah dan tunjukkan aku jalan yang benar untuk menempuh hari mendatang” Amin...
Milik siapa pula hati ini. Cinta pasti berbunga. Dia yakin janji Allah.
“ Kalau dia milikku, kau segerakanlah “
- TAMAT – 16 Mac 2008, 10.35 malam
Muhammad Najid Bin Abdullah
Kuliah Syariah Islamiah, (4)
Universiti Al-Azhar, Kaherah
Kelantan Student’s Hostel
No 22, Elbaramica Street, Block 46, 7th District,
Nasr City, Arab Republic of Egypt.