Aku Dan Sesuatu
Tuesday, 1 July 2008
Oleh: Mohd Zahid Bin Abu Bakar
Malam itu aku duduk di depan rumah sewa bertemankan Unicorn, gitar akustik kesayanganku sambil mengibarkan layar lamunan untuk mencari destinasi yang boleh aku singgahi. Unicorn...nama timangan yang aku ilhamkan khas kerana sesuatu yang luar biasa terbias darinya setiap kali aku mendakap dan membelai lembut tali-talinya. Dia memberikan aku inspirasi dan irama ketenangan tatkala aku resah merenangi biografi hidupku yang silam.
Kedua tanganku begitu asyik membelai Unicorn tika itu dengan alunan instrumental song berjudul Another You yang dipetik dari album Forever In Time kumpulan Cromok yang telah menghanyutkan bahtera lamunanku jauh ke tengah gelora silam.
“Dua puluh empat jam! Aku mau hang keluaq dari sekolah ni. Meluat aku tengok samseng macam hang ni. Berambuih! Sebelum penampaq aku mai hinggap kat muka hang”.
Lamunanku tersentak apabila manik-manik suci air mata jernih menitis membasahi jejariku yang sedang asyik menyusur melodi indah Unicorn. Itulah detik dan ketika aku membuat keputusan untuk tidak pulang ke kampung halamanku selama-lamanya dan meninggalkan ibuku yang tercinta tanpa sebarang berita.
“Bu! Ikin rindukan ibu. Ikin sayangkan ibu” manja tangisku merindu ibu.
“Cis! Ini semua angkara kau Sengkuang. Kau memang tak senang dengan kewujudanku di sekolah itu. Kalau tidak kerana kau pasti aku takkan terpisah dengan ibuku” bentak hatiku.
Sengkuang adalah gelaran budak-budak sekolah pada ustaz warden asrama di sekolahku. Mengikut sanad yang aku ambil dari beberapa orang senior mengatakan bahawa dia boleh muncul tanpa disedari setiap kali mereka melakukan perkara larangan di asrama. Sedar-sedar sudah ada di sebelah. Macam sengkuang la. Sedar-sedar berisi.
“Ah! Celaka kau Sengkuang” herdik hatiku.
Lojikkah aku dibuang sekolah kerana membelasah dua orang pelajar senior tingkatan lima yang membuat laporan sebab aku merokok dalam tandas. Bagiku ini tidak adil. Di manakah keadilan dan keluhuran? Mereka berdua belajar di tingkatan lima manakala aku di tingkatan tiga. Mereka senior dan aku junior. Penuh laporan yang mereka buat kononnya kesalahanku di dalam buku rekod Hal Ehwal Murid (HEM). Bagiku semua itu bukannya kesalahan. Aku buat semuanya bersebab. Aku menuntut keadilan. Aku buli pelajar junior supaya mereka hormat kepadaku. Aku ponteng kelas sebab guru yang mengajar membosankan dan tiada karisma. Aku merokok sebab mengantuk dek kerana guru yang tak pandai menterjemahkan ilmu mereka. Aku belasah pelajar senior sebab mereka mengganggu manhaj hidupku. Aku ada autoriti dalam semua ini. Semua pelajar tingkatan tiga PMR dan empat Saidina Ali secara ittifaq menabalkan aku sebagai Master Undergrounds. Mereka semua telah berbai’ah untuk bersama denganku memartabatkan black metal di asrama dan mengunci kemas mulut budak-budak punk tingkatan lima dari menyebarkan ideologi mereka.
Ibu! Maafkan aku kerana meninggalkanmu seorang diri di kampung. Semua ini anakmu lakukan agar hatimu tidak terluka atas hukuman yang tidak sepatutnya dikenakan terhadap anakmu ini. Aku tidak sanggup melihat ibu mendapat malu bila jiran sekampung bercerita tentangku yang dibuang sekolah. Cukuplah ibu bersedih menangisi pemergian ayah lima bulan sebelum kejadian itu. Luluh hatiku jika melihat pipimu basah disirami air mata.
“Ibu....maafkan Ikin bu” rintih hati kecilku.
“Nas! Gigs malam besok ni berapa lagu kita nak bawak?” satu suara yang lazimku dengari telah menyelamatkan layar lamunanku daripada karam.
Nas adalah nama panggilan yang rakan-rakanku gunakan sejak dari sekolah menengah lagi. Nas adalah singkatan dari nama penuhku iaitu Nor Amar Siddiqien. Aku pun tidak tahu macam mana rakan-rakanku mendapat ilham untuk memanggilku dengan nama itu. Aku sebenarnya lebih senang dengan nama manja yang ibuku gunakan. Ikin. Singkatan dari Siddiqien.
“Maybe lima lagu kot. I think kita bawak lagu-lagu dari genre death metal yang gua baru cipta. Genre black kita just bawak satu lagu je. Kita bawak lagu The Lake Of Pauh Janggi dari band Vociferation Eternity. Amacam? Sempi tak?” jelasku pada rakan serumahku itu.
“Sempi la lu Nas. Gua layan giler band tu. Tak sabar rasanya gua nak hentak double pedal malam besok ni.” ujarnya.
Begitulah rutin hidupku sekarang. Sudah hampir dua belas tahun aku abdikan diriku dalam dunia undergrounders. Tapi aku tidaklah keterlaluan sehingga memijak al-Quran dan buat perkara-perkara syirik. Aku masih percaya kepada Allah. Malah unsur-unsur dalam lirik band-band dari Ipoh Metal Zone kebanyakannya ada nilai-nilai Islam. Contohnya lagu Tuntutan Ukhuwwah, Jihad, Pendita Gila, A Letter, VII Years VII Days dan banyak lagi. Kebanyakan lirik-lirik lagu dari Ipoh Metal Zone aku yang tulis. Aku berasal dari sekolah agama. Ilmu yang aku pernah belajar dulu masih dapat menjaga aqidahku.
Pernah aku terfikir untuk kembali mengamalkan akhlak Islamiah. Tapi, bila aku renung dan bandingkan antara kami golongan yang dipandang hina oleh masyarakat dengan golongan yang dipandang mulia seperti ustaz dan ustazah dapatlah aku buat kesimpulan bahawa kami tidak jauh bezanya. Tengok saja di Padang Polo. Siswi Islam yang menuntut di IPT Islam dan mengambil kos berkaitan dengan Islam lentok kepalanya di bahu kekasih masing-masing dalam keadaan mereka berjubah dan bertudung labuh. Bukankah ini akan menimbulkan implikasi negatif non-muslim terhadap Islam. Memang tidak dinafikan bukan semua yang berkelakuan sedemikian tapi bak kata pepatah sebab nila setitik habis susu sebelanga. Sebrutal-brutal aku, rasanya tidak tergamak aku nak melakukan muqaddimah zina seperti mereka. Aku hanya setakat stim ganja sebalat dua. Itu pun sebab nak head banging masa gig atau jamming. Masih bersebab.
* * * * * * * * * * * *
Pagi itu aku jamming bersama rakan-rakanku. Hampir lima jam kami jamming untuk panaskan lagu-lagu yang akan kami sembahkan semasa gig malam ini. Tidak cukup dengan itu kami juga mainkan beberapa lagu dari band-band metal Malaysia seperti Aradia, Hayagriva, Brain Dead, Silkhannaz, Langsuir, Vociferation Eternity dan tidak ketinggalan lagu-lagu dari band Cromok supaya ada sesuatu yang akan dikecapi darinya.
Habis jamming aku tidak terus pulang ke rumah. Aku pusing-pusing dulu sekitar bandaraya Ipoh untuk mencari sesuatu sebagai sumber inspirasi. Tiba-tiba sesuatu yang tidak pernah aku rasakan sebelum ini menyentuh lubuk hatiku. Kemerduan suara azan yang memenuhi ruang angkasa dari corong-corong pembesar suara Masjid Negeri telah mengetuk kamar hatiku melalui keindahan lafaz dan maksudnya. Alunan merdu itu telah menyapa aku untuk melakukan sesuatu yang telah lama ku tinggalkan. Pelawaan untuk turut sama menyembah Allah Yang Maha Esa.
Aku hayunkan langkah kakiku mara terus untuk melaksanakan kewajipan sebagai seorang hamba. Aku solat zohor berjamaah dengan penuh ketenangan. Sudah lama rasanya aku tidak solat. Terasa bagaikan ada sesuatu yang sedang membelai manja jiwaku. Selesai solat semua jemaah bersalaman. Aku telah bersedia dengan jawapanku andai kata diajukan persoalan tentang pemakaianku. Jawapan yang simple tetapi jelas.
“Walaupun kami masih begini, namun tak lupa pada janji Ilahi” senikata yang ku petik dari album Hakikat kumpulan May.
Kemudian aku lepak seketika di meja rehat sekitar masjid. Aku labuhkan punggungku di atas kerusi. Mataku terlihat sesuatu di atas meja. Bungkusan plastik putih yang mengandungi senaskah buku berwarna hijau. Aku capai buku tersebut. Tajuk yang cukup unik. Apa Erti Saya Menganut Agama Islam karangan Fathi Yakan terbitan Dewan Pustaka Fajar. Aku membelek lembaran buku tersebut dengan penuh pengamatan. Hampir separuh aku teliti dan baca. Kemudian aku letakkannya kembali seperti asal dan pulang ke rumah untuk persedian gig malam ini.
* * * * * * * * * * * *
Malam itu banyak band yang akan buat persembahan. Satu Malaysia turun untuk tunjuk skill dan aksi masing-masing. Peminat setia black metal telah memenuhi segenap ruangan yang ada dalam dewan tertutup dengan kerenah masing-masing. Ada yang mabuk dan bergaduh sesama sendiri. Tidak kurang juga yang melepaskan nafsu serakah berzina di tengah lautan manusia tanpa sedikit pun dihalang perasaan malu. Aku tetap dengan caraku. Sesuatu yang aku perjuangkan dalam black metal ini tidak sama dengan mereka. Aku pencinta muzik berat. Bukan memperjuangkan ideologi.
Kini tiba giliran band aku beraksi di pentas. Tepukan gemuruh dan sorakan yang kami terima. Seperti biasa sebelum beraksi kami layan ganja tujuh dapur seorang untuk dapatkan support power semasa head banging ala alpha charlie di atas pentas nanti. Macam aku katakan sebelum ini. Masih bersebab.
Peminat-peminat yang menyaksikan persembahan kami begitu teruja dengan aksi kami di atas pentas. Selepas kami giliran band dari Kedah pula membuat persembahan. Lagu pertama mereka mendapat tepukan gemuruh kerana tajuknya 60’s Days In The Hell.
Neraka!!!
Tiba-tiba sesuatu telah membawa aku mengimbas kembali karangan Fathi Yakan yang telah ku baca di masjid siang tadi. Aku fokuskan pengamatanku sepenuhnya pada lirik lagu tersebut. Apa yang ingin disampaikan melaluinya. Serta-merta darah pahlawanku membuak-buak sebaik saja vokalisnya memulakan nyanyian.
“I hate my mom, I hate my dad.................. spirit to rebel............ ” alunnya.
Tanpa aku sedari gitar elektrik jenama Gibson Lespaul merah yang berada ditanganku telah ku hayunkan ke kepalanya. Sesuatu telah menyebabkan aku bertindak sedemikian. Semua tergamam. Aku hampiri mikrofon dan melaungkan kata-kata sakti kalam Ilahi yang telah ku hafal sejak dari kelas peralihan lagi.
“Allah s.w.t said in Quran : “And We have enjoined on man (to be good) to his parents : in travail upon travail did his mother bear him and in years twain was his weaning. (hear the command) Show gratitude to Me and to thy parents : to Me is (thy final) Goal” (Luqman : 14). Are you want be hated by Allah” tegasku dengan penuh keyakinan.
Sebaik sahaja sempurna maksud ayat suci Ilahi terpancar dari bibirku, maka tercetuslah perbalahan dan pergaduhan apabila ada puak yang menyokong dan menentang kenyataanku yang penuh kontroversi dalam dunia undergrounders.
Aku tinggalkan dewan bersejarah itu dengan motor Yamaha RXZ bernombor pendaftaran ADY 1752 yang telah diubah suai standard modified dengan blok Y100 disarung dengan ekszos BM Power menuju ke satu destinasi.
“Ibu! Ikin rindukan ibu. Ikin sayangkan ibu. Ikin teringin nak tengok ibu baling kayu api kat tepi tempat tidur Ikin macam kecik-kecik dulu bila Ikin malas bangun untuk solat subuh” hati dan fikiranku merintih.
Lebuhraya Ipoh – Lumut terasa begitu jauh malam itu untuk aku tiba ke destinasi cintaku. Fikiranku melayang. Segala yang telah ku tatap dan ku baca dalam buku Apa Erti Saya Menganut Agama Islam mula ditafsirkan satu persatu. Sungguh hebat pengarangnya menyusun bahasa. Ternyata ada sesuatu keajaiban yang tersurat dan tersirat dalam penulisan Fathi Yakan ini.
“Siapakah geranganmu wahai Fathi Yakan? Ingin sangat rasanya aku berjumpa dan mengenalimu. Penamu telah menyedarkan aku betapa keruhnya mentaliti jahiliyyah yang bersarang di mindaku. Karyamu telah mengubah paradigmaku tentang konsep Islam yang syumul. Gelombang revolusi pembaharuan dibenakku mula bergelora setelah menelusuri arus pena tulisanmu. Ambillah aku jadi muridmu. Aku ingin mengambil sesuatu darimu. Aku ingin.........” POOOON!!! HIIIIT!!! GEDEGAAAANG!!!!
* * * * * * * * * * * *
“Encik! Sekarang encik berada di Hospital Besar Ipoh. Boleh kami tahu identiti encik? Kami nak hubungi keluarga encik. Dah seminggu encik koma. Kami tak jumpa apa-apa maklumat pada encik masa kemalangan tu. Mungkin dah dicuri orang agaknya” lembut tutur kata seorang wanita menyapaku.
Aku cuba membuka mata untuk menatap wajah yang empunya suara yang lembut dan halus itu. Mungkinkah dia seorang jururawat. Namun, makinku mencuba semakin sukar. Sakitnya hanya Allah yang tahu.
“Sabar encik. Mata encik telah buta akibat terkena serpihan kaca semasa kemalangan tempoh hari” jelas suara itu lagi.
“Arghh..........!!! Tidaaaak!!!! Aku nak tatap wajah ibuku. Buuu!!! Ikin buta bu. Ikin dah tak dapat lagi nak tengok muka ibu” aku menangis.
Air mata sesalan mengalir jernih dari mata yang tidak bisa lagi untuk melihat. Dunia yang terang sebelum ini telah menjadi gelap.
“Sabar encik. Ingat pada Tuhan. Em, pihak kami mintak maaf sebab terpaksa tempatkan encik di wad wanita. Untuk sementara je. Wad lelaki penuh” jelasnya lagi.
“Nak! Sabarlah. Allah uji kita dengan musibah ni tanda dia sayangkan kita. Dia beri peluang pada kita untuk bertaubat” satu suara datang menyapa dari sebelah kanan katilku.
“Makcik pun buta macam anak. Makcik buta sebab kerap menangis. Merintih di hadapan Allah menghisab apakah kesalahan dan kesilapan makcik semasa mendidik anak makcik dulu. Hati makcik remuk dengan apa yang anak makcik telah buat pada makcik. Tapi, makcik dah ampunkan semua dosanya dari dunia sampai akhirat. Bukan salah dia. Salah makcik yang silap dalam mentarbiah. Nak! Dah lewat malam ni. Tidurlah. Besok kita boleh sambung perbualan kita” sambungnya.
Sungguh lembut suaranya. Aku berasa begitu tenang sekali. Terasa seolah-olah ibuku sedang membelaiku.
* * * * * * * * * * * *
“Hasuna Binti Masdar, umur 64 tahun, mati jam 6.05 pagi 16 November 2005” suara seorang lelaki melaporkan sesuatu. Dan ketika itu juga suara azan mendayu-dayu sayup menusuk masuk melalui celahan jendela wad.
Aku bingkas bangun bertanya kepada petugas untuk mendapatkan penjelasan tentang siapakah yang telah meninggal.
“Makcik yang duduk sebelah katil encik ni. Dia sesak nafas. Kami dah cuba yang terbaik untuk selamatkan dia tapi, Allah lebih sayangkannya” jelas seorang jururawat.
“Siapa nama makcik tu nurse? Tadi saya dengar tapi tak jelas” mintaku.
“Makcik Hasuna Binti Masdar dari Lambor Kanan” jawabnya.
Aku tergamam.
“Hasuna Binti Masdar, umur 64 tahun, no. ic 411116-08-5372, tinggi 3 kaki 4 inci, darah jenis A. Betul tak nurse?” tanyaku mengharapkan jawapan.
“Betul. Sikit pun tak silap. Dengar citer dia ada sorang anak. Tapi dah sepuluh tahun tak balik. Macam mana encik tau?” tanya jururawat kehairanan.
“IBUUU.................!!!!”
* * * * * * * * * * * *
Hidup mesti diteruskan. Aku pasrah dengan ketentuan Pentadbir Alam. Pertemuan dengan ibuku yang cukup singkat dalam kesamaran ku telan dengan penuh keredhaan sebagai hamba yang bersyukur. Tawa dalam tangisan telah menumbuhkan tunas perjuangan dalam diriku.
Kini aku mengerti apa erti aku menganut agama Islam. Islam wajib aku daulatkan. Tirai black metal dan underground yang selama ini menghalang cahaya keindahan Islam telahku labuhkan. Selendang merdeka aku kibarkan sebagai panji perjuangan untuk menelusuri arus kehidupan ke arah generasi al-Quran yang unik. Di sana telah menanti ombak ganas untuk menggagalkan pelayaranku menuju mahligai idaman. Justeru, kombinasi ilmu, iman dan amal aku sisipkan sebagai senjata utama kekuatan agar berjaya ku harungi segala mehnah dan tribulasi yang sedia menanti.
Jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Dengan kudratNya aku bertemu jodoh dengan seorang wanita yang sanggup menerimaku dalam keadaan diriku buta. Dia menerima cintaku kerana cita-citaku yang tinggi ingin memartabatkan Daulah Islamiah di bumi Malaysia.
Permaisuri hatiku merupakan seorang aktivis gerakan Islam yang komited dan gigih untuk merealisasikan matlamat jemaah. Aku juga telah mewakafkan diriku untuk perjuangan Islam. Kami berganding bahu untuk memberi penerangan kepada masyarakat tentang kewajipan bersama dengan jemaah Islam serta tuntutan mendaulatkan Daulah Islamiah. Sejarah hitamku bersama dengan black metal membolehkan aku mendekati golongan remaja untuk menjelaskan keburukan budaya hedonisme yang kini meracuni kotak fikiran muda-mudi Islam. Dengan izin Allah aku berjaya mengkaderkan sahabat-sahabatku yang bersama-samaku dalam undergrounds satu ketika dulu.Mereka juga telah mewakafkan sepenuh jiwa raga untuk mendaulatkan Islam.
Kini, tidak lagi Unicorn yang ku dakap dan ku belai untuk mencari inspirasi dan irama ketenangan. Al-Quran dan zikrullah sebanar-benarnya sebagai penawar bagi hati yang gundah dan gusar mengenang dosa-dosa silam. Aku berdoa dan mengharap padaMu Allah agar tidak membalikkan aku ke lembah kehinaan setelah mengecapi kemanisan hidup bersama perjuangan Islam. Jadilah aku pengingat yang setia setelah aku tahu aku hanya serangga di taman belantara.