Belajar Menjadi Sabar
Saturday, 26 July 2008
Suatu hari seorang ibu meninggalkan anaknya di dalam buaian sementara dia keluar ke semak-semak belakang rumahnya untuk mencari kayu api. Kebetulan pada ketika itu tiada seorang pun anggota keluarga lain di dalam rumah itu. Lalu tinggal lah sang bayi yang sedang tidur nyenyak itu ditemani oleh seekor kucing jantan. Kucing jantan itu sebenarnya adalah kesayangan dan sekaligus menjadi hiburan bagi seisi keluarga.
Beberapa ketika setelah si ibu keluar, tiba-tiba seekor ular sawa yang cukup besar merayap menaiki rumah. Seekor kucing dengan mudah dapat mengesan pencerobohan seekor atau beberapa ekor ular. Mula-mula dilihatnya sahaja ular itu merayap masuk, tetapi apabila ular itu mula menjenguk ke dalam buaian, si kucing segera membuka kukunya. Dan si ular mula membuka mulut utk melahap bayi, tanpa melengah si kucing segera menerkam.
Terjadilah pergomolan yg luar biasa. Sasaran si kucing hanyalah kepala ular. Percubaan ular untuk membelit si kucing tidak berjaya. Kucing adalah antara makhluk yang pantas. Si ular cedera parah dengan cakaran demi cakaran si kucing dan akhirnya matilah ular sawa itu. Seketika kemudian si ibu pulang dari dari hutan. Si kucing segera menyambutnya di tangga sambil mengiau ngiau. Tetapi alangkah tekejutnya si ibu apabila melihat mulut dan kaki si kucing berlumuran dengan darah.
Maka tanpa usul periksa dengan golok di tangan si ibu terus membunuh si kucing kerana dia percaya si kucing telah membaham bayinya dalam buaian. Matilah si kucing dengan penuh kesedihan dan tangis. Puaslah hati si ibu. baru kemudian dia berlari masuk ke rumah menerkam ke arah buaian. Tetapi bayinya masih kelihatan nyenyak di dalam buaian. Si ibu hairan. Kakinya tersandung sesuatu.
Alangkah terkejutnya si ibu apabila melihat seekor bangkai ular sawa sebesar peha dengan kepalanya sudah pecah bergeletak di lantai. Kini tahulah ibu bahawa ular itu telah dibunuh oleh si kucing. Anaknya telah diselamatkan oleh si kucing.
Sambil menangis si ibu berlari keluar mendapatkan si kucing. Dipangkunya kucing kesayangannya itu tetapi apakan daya, semuanya sudah terlambat. Suatu penyesalan tak akan berguna lagi.
Pengajaran:
Begitulah selingkar kisah yg dilakukan oleh manusia yang amat merugikan kerana malasnya manusia untuk terlebih dahulu berusul periksa.
"Sudah terantuk baru tengadah". "Baik tersalah kain daripada tersalah mulut". "Akibat pulut santan binasa". "Sudah terduduk baru berlunjur". Semuanya merupakan perumpamaan dan kiasan orang tua-tua yang masih diguna hingga sekarang, tetapi berapa ramaikah yang mengambil pengajaran daripadanya?
Akhirnya dengan mudah kita berkata "Ahh kita kan manusia biasa, membuat silap tu biasalah".
Puncanya kita malas berusul periksa, tidak sabar dan tidak menggunakan pemikiran semasa membuat sesuatu keputusan. Oleh itu marilah kita berusaha belajar menjadi penyabar, berusul periksa, meggunakan hati dan akal, menimbangkan sesuatu dengan seadilnya sebelum kita membuat sesuatu keputusan. Semoga impian kita akan terlaksana.