Cerita Insan Mulia

Thursday, 20 March 2008

Bulan rabiulawal adalah bulan kelahiran Nabi Muhammad. Beliau adalah insan agung, pembawa rahmat kepada seluruh alam. Daripada sudut kemanusiaan, sifat-sifat beliau sama seperti manusia yang lain. Beliau makan, tidur, berkahwin, ketawa, sakit dan sebagainya sama seperti manusia biasa. Bagaimanapun beliau mempunyai keistimewaan tersendiri. Beliau adalah insan yang luar biasa.

Nama Nabi Muhammad sudah masyhur sebelum beliau lahir lagi. Ini terbukti apabila Nabi Adam sudah mengetahui kewujudan insan ini sejak beliau berada di syurga sebelum diturunkan ke dunia. Ini kerana sudah tertulis nama Muhammad di pintu Arasy, juga di segenap lapisan syurga. Kalimah Lailahaillah Muhammadurrusulullah yang bermaksud "tiada Tuhan selainNya, dan Muhammad sebagai pesuruhNya" tercatat di pintu-pintu syurga. Para Rahid Yahudi dan Nasrani sudah mendapat khabar kelahiran beliau dengan segala sifat dan watak beliau dengan terperinci. Mana ada manusia yang disebut-sebut sedemikian sebelum kelahiran mereka?

Ketika dilahirkan, Nabi Muhammad tidak menangis, seperti bayi-bayi lain. Sebaliknya beliau bertasbih, memuji kebesaran Tuhan. Beliau juga sudah siap disunatkan. Malahan, selepas beliau dilahirkan, ke mana sahaja beliau pergi awan akan memayungi beliau, satu penghormatan besar daripada Tuhan kepada beliau.

Oleh kerana keagungan dan kemuliaan beliau inilah, menyebabkan malam kelahiran beliau, dinukilkan oleh ulama sebagai malam yang penuh kegemilangan. Malam tersebut bermandikan cahaya terang benderang. Segala binatang bercakap seperti manusia. Malahan api sembahan penganut Majusi yang beribu tahun menyala di Usyrawan terpadam. Segala-gala yang berlaku bukan luar biasa kerana kelahiran junjungan besari ini adalah petanda kelahiran manusia paling agung di alam ini. Insan yang akan membawa rahmat ke seluruh alam bermula dari zamannya sehingga ke hari kiamat kelak.

Nabi Muhammad adalah penghulu segala nabi. Beliau adalah pemberi syafaat kepada umatnya di akhirat kelak. Beliau adalah insan yang akan memberi segala contoh teladan yang baik kepada umat manusia. Mematuhi setiap ajarannya bermakna kita meraih kasih sayang daripada Tuhan. Begitu juga apabila kita membenci, menjauhi serta mengingkari ajarannya, bermakna kita mengundang kemarahan daripada Tuhan.

Nabi Muhammad sebenarnya adalah insan yang terlalu hebat sebenarnya, Nama beliau sudah mula disebut sebelum beliau lahir sehinggalah beliau meninggal dunia. Ajaran beliau akan terus dipraktikkan sehingga ke hari kiamat. Tidak seperti manusia-manusia biasa lain, sekalipun diiktiraf sebagai hebat, namun ia hanya untuk sementara sahaja. Ada di antara mereka, namanya akan terus dilupakan sebaik sahaja mereka meninggal. Pun begitu, masih ada yang akan terus dikenang, contohnya para alim ulama yang meneruskan usaha Nabi Muhammad, menyebarkan dakwah Islam kepada manusia-manusia lain di atas muka bumi.

Nabi Muhammad, adalah Habibul Allah, yang bermaksud kekasih Tuhan. Ini terbukti sesiapa yang berselawat kepadanya akan mendapat ganjaran daripada Tuhan. Semua makhluk di atas muka bumi ini tidak kira sama ada manusia, malaikat, binatang dan tumbuh-tumbuhan sentiasa menyebut dan memujinya. Mereka menyebut dan memujinya sebagai tanda kasih sayang mereka kepadanya.

Kemuliaan Nabi Muhammad ini bukan sahaja kerana darjat kedudukan yang tinggi yang diletakkan oleh Tuhan, tetapi kerana keupayaan beliau menempuh penderitaan dan ujian. Beliau telah banyak menempuh kesulitan dan penderitaan. Semoga kita akan terus berada dalam kasih sayang Tuhan.

Posted by hAiRiL/spiderman_pink at 23:32  

0 comments:

Post a Comment