Damba KasihMu
Wednesday, 14 November 2007
Semakin jauh ku dariMu..
Semakin kuat pula Kau menghampiri daku..
Oh Tuhan Yang Maha Pengasih, kerdilnya diriku dipadanganMu.
Hatiku diruntun pilu lagi tatkala lagu itu berkumandang menghiasi corong radio kecilku. Sedih dan pilu mengenangkan memori lalu yang nyata teramat sukar untuk dilupakan. Satu kisah hidup seorang hamba untuk mencari redhaMu Ya Allah, dan mungkin juga satu kisah cinta dalam mengejar cintaMu,Ya Rabbi. Sesungguhnya cintailah insan yang mampu menyinari cinta kita pada Ilahi... walaupun dalam diam itu lebih baik daripada terangan yang membawa seribu kemungkinan…
Ada falsafah pernah mengatakan, sekiranya kamu tinggalkan seseorang yang kamu kasihi kerana halangan masa dan waktu, namun dia kembali padamu di hari kemudian, memang itulah jodohmu, tetapi sekiranya tidak demikian, kamu harus redha. Benarkah begitu?, aku sering tertanya-tanya sendirian namun itu jualah yang ku pegang sejak melangkah di bumi UTM ini. Mengapa UTM? satu institusi yang tak pernah menjadi impian citaku suatu ketika dulu. Namun kerana aku ingin berhijrah.. Ya..berhijrah dari diriku yang dulu. Aku mahu jauh daripada sesiapa yang pernah mengenali diriku dulu, dan aku mahu menjadi diriku yang sebenar bukan terpengaruh dengan rakan-rakan dan persekitaran. Untuk itu, aku perlu kuat dan perlu mencari rakan-rakan sepertiku agar harapan dan citaku itu tidak mati sebelum bermula. Dan untuk itu juga, aku perlu banyak berkorban. Tetapi, mengapa aku tidak ke Al-Azhar untuk memenuhi cita-cita kedua orang tuaku, juga impianku sebenarnya? Entah.. aku mengandaikan ramainya sahabatku di maahad dulu telah melangkahkan kaki ke sana dan bakal meneruskan perjuangan ustaz dan ustazah dulu. Namun, siapakah yang bakal meneruskan dakwah Islam di kalangan ahli profesional dalam bidang-bidang yang lain? Dengan keputusan akademikku yang cemerlang dalam SPM dulu aku harap, akulah salah seorang daripadanya. Namun, layakkah aku?
Terkejut dengan keputusanku, abah tetap memberi sokongan tanda kasih seorang ayah. Begitu juga dengan ibu. Ya Allah.. Kau rahmatilah keduanya. Hanya seorang yang tidak kuberitahu tentang keputusanku itu. Muslimin itu.. Akhi Zaqwan. Seseorang yang nyata lebih istimewa berbanding muslimin yang lain. Aku rasa perjalananku masih jauh. Aku tidak bersedia akh dan meminta perhubungan itu diputuskan kerana aku tahu lalainya hatiku, setelah hadirnya seorang insan bernama lelaki menjengah kamar hatiku. Apa kurangnya Zaqwan? Bakal seorang hafiz, dan banyak membimbingku ke arah yang lebih baik. Bukan menolak jodoh tetapi aku masih terikat dengan amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul dan dilaksanakan sebaik mungkin pada ibu dan abah. Sekiranya dia jodohku, moga Kau pegang hatinya untuk menyuntingku di saat aku telah bersedia.
************************************************************************
Suasana dingin yang mencengkam tubuhnya sejak 2 jam tadi serasa bagaikan menggigit hingga ke tulang hitam. Jubah biru tua dan tudung litup yang membalut tubuhnya tidak mampu untuk mengurangkan kedinginan. Hampir 2 jam dia bertapa di dalam bilik belajar 24 jam Perpustakaan Sultanah Zanariah ini. Selesa walaupun kadangkala kekusyukannya sering terjejas lantaran ada pelajar yang tidak “mendiamkan” handphone mereka. Dia selesa mengunjungi PSZ pada waktu-waktu pagi dan juga petang kerana tika ini tidak ramai pelajar yang sanggup untuk menghabiskan masa di PSZ, masa-masa sebegini lebih sesuai untuk beradu di atas katil asrama. Lagipun, waktu-waktu sebegini tiada mesyuarat persatuan mahupun usrah-usrah yang memenuhi jadual rutinnya setiap hari.
Menjejak sahaja di bumi UTM ini, dicarinya kekuatan untuk dirinya dalam perjalanan menuju redha Illahi, dan ditemui sahabat-sahabat yang tak pernuh jemu menasihati, tak pernah lokek menghulurkan bantuan tanpa dipinta disitu. Bersama PMIUTM inilah dia membina kekuatan untuk membina hari-hari mendatangkan dan membimbingnya ke medan dakwah itu. Dia cukup tenang dan bahagia di situ bersama ketenangan yang dicari selama ini. Rakan-rakan yang tak jemu-jemu menambah ilmu agama walaupun sibuk dengan kursus-kursus Sains dan Kejuruteraan yang sememangnya memerlukan perhatian yang khusus nyata menyuntik semangatnya.
**************************************************************
Menerima SMS tanpa diundang yang sengaja memenuhkan inbox pesanan handset lewat 2 hari yang lalu, sedikit sebanyak membuatkan aku terganggu.
“ Ukhti, sudikanlah menghadiri walimah ana hujung minggu ini, doakanlah ana dan zaujah berbahagia hingga ke akhir hayat. Dan ana yakin, masa untuk enti akan tiba jua..”-Amir Zaqwan
Aku tersenyum membaca SMS kiriman muslimin itu. Begitu cepat hatimu berubah. Dan aku bersyukur kepadaMu Illahi kerana tidak meneruskan perhubungan dengannya dulu kerana ternyata dia bukan jodohku. Mungkinkah aku tidak layak untuknya?. Harapannya untuk melihat aku bergelar seorang ustazah dan mengikut jejak langkahnya ke bumi anbiya’ hancur dengan keputusanku. Kau tak faham akh..
Sedikit pun aku tidak kecewa, malahan aku lebih tenang kini. Perjalananku di medan dakwah ini tidak seharusnya dicampuri dengan perkara-perkara maksiat. Sering manusia terlalai kerana cinta manusia, dan aku pernah menjadi mangsanya di alam persekolahan dulu. Cinta yang kononnya suci sebenarnya mengundang kemaksiatan tanpa disedari. Walaupun tidak ber ‘dating’ seperti kebanyakan pasangan-pasangan lain, namun bisikan syaitan sebenarnya cukup hebat. SMS dan panggilan telefon yang menjadi penghubung menjadi fitnah besar antara kami. Maksiat hati yang dicernakan antara kami sebenarnya lebih hebat.
Aku yakin..cinta yang suci kerana Allah akan muncul jua dalam hidupku. Bila aku benar-benar sudah bersedia, hanya ikatan pernikahanlah sahajalah yang menjadi wasilah kepada cintaMu Ya Allah.
Ya Allah, jika aku jatuh cinta, cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya padaMu agar bertambah kekuatanku untuk mencintaiMu. Ya Muhaimin, jika aku jatuh hati, izinkanlah aku menyentuh hati seorang yang hatinya terpaut padaMu agar tidak terjatuh aku dalam jurang cinta nafsu. Ya Rabbana, jika aku telah jatuh hati jagalah hatiku padanya agar tidak berpaling daripada hatiMu. Ya Allah, jika Kau halalkan aku merindui KekasihMu jangan biarkan aku melampaui batas sehingga melupakan aku pada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepadaMu. Ya Ilahi, kupohon petunjuk dan inayahMu…kurniakan daku mukhlis pilihanMu yang mampu memimpinsinar kasihku dalam mendamba anugerah rahmatMu, amin.”
Doa itu menutup solatku lewat malam itu.
(Cerpen khas sempena penerbitan sulung Majalah FITRAH PMIUTM 2005)