Mencari Ketenangan di Celah Kesibukan
Saturday, 28 June 2008
Hakikat seorang pejuang Islam, dirinya akan sentiasa disibukkan dengan bebanan amanah dakwah. Di mana – mana, tanggungjawab menegakkan agama Allah tidak akan terlepas dari dirinya. Kita melihat dengan penuh keinsafan bahawa Islam kini di pinggirkan, dusturnya diremeh – remehkan, syiarnya hanya tinggal perlembagaan, sedang izzah sebenar Islam tidak mampu untuk kita tonjolkan. Justeru sebagai mukmin sejati, antara sifat utama yang perlu ada pada diri kita adalah sensitive pada keadaan sekeliling dan juga permasalahan ummah, merasa diri terpukul ketika melihat sahabat seaqidah kita dipermainkan.
Lantaran kita telah berbaiah untuk setia bersama perjuangan, kita perlu melalui denai dan lorong yang gelap lagi susah. Kerja mengembalikan kedaulatan ummah bukan sesenang bicara yang kita sering ungkapkan, tuntutan perjuangan memaksa kita berpenat dan bersusah. Seringkali kita terpaksa merelakan waktu luang kita berlalu kerana orang lain, tiada lagi istilah waktu keemasan untuk bersantai atau berehat dari kamus kehidupan kita.
Sesekali menyuluh ke dalam diri…Kita sebenarnya mempunyai terlalu banyak kepincangan. Jika anda antara mereka yang sibuk menginfaqkan diri, tenaga dan masa fisabilillah, renungkanlah seketika, teliti dan selidiklah hati yang kadangkala kita abaikan. Rasulullah pernah menyuarakan:
Tetaplah seorang hamba itu dalam kebaikan selagi mana hatinya menjadi penasihat untuknya..
Sebenarnya, Rasulullahlah yang menjadi model kehidupan ummat adalah manusia yang paling sibuk. Tugas mendidik ummah terpikul di bahu baginda, mad’u baginda bukan seorang dua, malah amanah dakwah merata kepada semua manusia lain. Ujian untuk baginda bukan macam kita, baginda ditekan dan diuji sehinggakan penduduk bumi seolah – olah tidak menerima baginda lagi. Namun itulah yang dinamakan hukum alam sahabat-sahabat sekalian, betapa setiap saat kehidupan baginda mengandungi banyak hikmah yang patut diteladani oleh kita semua. Rasulullah terhina dan terluka, tapi baginda masih boleh berbuat rahmah dan kembali kepada Allah. Baginda sentiasa tenang di celah kegawatan, bahagia di tengah derita dan ujian.
Hati kita tentu pernah mengimpikan ingin menjadi setabah Rasulullah. Dalam doa kita pada Tuhan, kita pasti memohon dikurniakan tempias kesabaran baginda, kerana kita penyambung yang diwariskan. Tetapi kitakah pemilik ketabahan dan kesabaran ini?
Sabar bukan sekadar dimulut, kadang-kadang bibir mampu menuturkan kalimah sabar tapi hati kita mengkal dan luluh dengan ujian Tuhan, seolah-olah tidak meredhai ketentuan. Kita mungkin mengatakan nawaitu kita dalam beramal hanya mutlak pada Allah, tapi mampukah kita bulatkan tajarrud bila ujian dating menimpa kita? Kita juga sering mengatakan ingin berkorban sepenuhnya untuk perjuangan tetapi bila sesekali maslahah perjuangan bertembung dengan peribadi, mana yang kita aula’kan? Jawapannya, tanyalah diri kita sendiri.
Sahabatku harapan ummah, seandainya kita adalah orang yang paling sibuk, kita sepatutnya merupakan orang yang paling tenang, kerana jiwa kita tertarbiyyah dengan taujihat dan peringatan secara langsung daripada Allah. Ketenangan akan datang apabila kita sentiasa merasa kebersamaan Allah dalam setiap pekerjaan. Ketenangan akan hadir bila kita mampu kembalikan susah dan senang kita padaNya. Peruntukkanlah satu ruang khusus untuk kita bersendirian merintih pada Tuhan, sumber ketenangan adalah Allah dan ia akan di berikan kepada mereka yang tidak putus-putus meminta.
Sekiranya Rasulullah menjadikan solat sebagai qurratul’aini dan peluang untuk berehat dari segala keresahan dunia, kita juga perlu begitu. Hanya wasilah taqarrub dan keintiman kita dengan Allah akan menentukan istiqamahnya kita di jalan ini. Kita mungkin mampu menjadi pemimpin yang hebat di mata manusia, kita mungkin mampu mengatur strategi dan perancangan melebihi orang lain, tetapi kita tidak pasti nilaiannya disisi Allah. Sekiranya kita disisi manusia dipandang tinggi, biarlah nama kita juga harum di kalangan penduduk langit, biarlah nama kita diseru-seru dan biarlah kita ini yang sentiasa diminta pengampunan oleh para malaikat. Biarlah kita menjadi hamba yang sebenar-benar hamba, tunduk dan patuh pada Pencipta.
Dhoifnya manusia, dia terkadang tunduk pada emosi dan naluri melebihi ketundukkannya kepada Allah, kerana itu keresahan dan kegelisahan yang sentiasa menghuni hati. Oleh yang demikian, jadikanlah segala gerak kerja kita sebagai wasilah memperoleh ketenangan. Memang kesibukan bertali arus, memang penat takkan berakhir tapi tetaplah tersenyum, zahirkan ketabahan. Kita sebenarnya diberi hadiah oleh Allah untuk mengumpul pahala dariNya. Tak terasakah beruntungnya kita ini?
Teruskanlah memujuk hati agar terus melawan nafsu yang inginkan kerehatan. Mujahadah yang berterusan akan melahirkan kemanisan dan kemanisan itulah ketenangan yang dicampakkan Allah ke dalam jiwa hamba-hambanya yang terpilih. Mudah-mudahan kita antara mereka.
"Wahai jiwa-jiwa yang tenang (dilimpah nikmat iman dan islam), kembalilah kepada Tuhanmu dengan perasaan redha dan juga diredhai (olehNya)" Al-Fajr, 89: 27-28.