Akhlak Ad'Daa'iah
Friday, 6 June 2008
Ibarat laut yang tak bertepi. Mungkin ini adalah perumpamaan yang tepat bagi menggambarkan rintangan dan tribulasi sepanjang sejarah perjuangan dakwah dan harakah. Seorang da'i akan berhadapan dengan seribu satu bentuk ujian dan cubaan sama ada dari dalaman atau luaran. Dari dalaman dia akan bertarung melawan keinginan jiwanya, fikiran, syahwat dan ketamakannya, manakala dari segi luaran pula dia akan berperang melawan sosok manusia penentang yang sentiasa merancang tanpa henti dengan pelbagai strategi untuk menyingkirkannya. Namun sesungguhnya ujian dan cubaan yang melanda diri para pendakwah merupakan suatu bukti dan tanda cinta Allah kepada mereka. Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya jika Allah mencintai suatu kaum maka Dia akan mengujinya."
Malah Allah SWT tidak meninggalkan para du'at begitu sahaja ketika mereka mengatasi gelora jiwa dan menanggung kebuasan musuh-musuhnya. Allah SWT menyediakan bekalan besama mereka yang mampu mengubati jiwa-jiwa ini secara halus dan mendalam iaitu al-Qur'an. Rawatan dan terapi Rabbani ini telah digunakan secara menyeluruh oleh mereka yang berpegang teguh pada Din ini sehingga mereka berjaya menyandang izzahnya (kemulian). Oleh itu para du'at mesti memiliki dan memenuhi beberapa bentuk tuntutan akhlak dalam meniti landasan dakwah dan harakah agar mereka juga dapat menggapai izzah yang telah dikecapi oleh mereka yang terdahulu. Di antara akhlak tersebut adalah sebagaimana yang termaktub di dalam firman Allah yang bermaksud:
"Wahai orang-orang beriman, apabila kamu memerangi pasukan (musuh), maka teguhkanlah hatimu dan berzikirlah kepada Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beruntung. Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantah yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar." (Al-Anfaal: 45-46)
1. Tsabat
Salah satu sikap yang harus dimiliki oleh seorang muharrik (bergerak) adalah tsabat (teguh). Iaitu dia harus selalu berusaha untuk tetap konsisten dalam kebenaran, tabah dan tegar menyonsong kesempitandan kesulitan dalam perjuangan. Tetap tegak berdiri di hadapan tribulasi (tentangan) dalam setiap keadaan walaupun berada dalam keadaan yang menggugat. Sebagaimana yang dirakamkan oleh Allah dalam firman Nya di atas, sikap tsabat akan menjadi kunci penentu kejayaan dan keberhasilan dakwah. Tanpa sikap tsabat akan menjadi sebab kegagalan menimpa. Sebagaimana suatu peristiwa yang menjadi bukti dalam hal ini iaitu apabila hancurnya dinding tsabat beberapa pasukan Islam ketika melihat ghanimah pada peperangan Uhud. Hilangnya sikap ini nyaris membuat mereka kalah.
Sayyid Qutb rahimahullah menyatakan dalam tulisannya "Sikap tsabat adalah awal perjalanan menuju kemenangan. Sikap tsabat yang akan menentukan siapakah pemenang antara dua kelompok. Orang-orang mukmin barangkali tidak mengetahui bahawa musuh-musuh mereka menderita dengan penderitaan yang lebih berat dan musuh-musuh itu juga mengalami kesakitan yang sama seperti yang dirasakan oleh kaum mukmin. Namun perbezaannya adalah musuh-musuh itu tidak dapat memohon kepada Allah seperti permohonan kaum mukminin. Musuh-musuh juga tidak akan memperolehi bantuan apa-apa daripada Allah yang akan memantapkan langkah dan hati mereka".
Sesungguhnya jika mereka (orang beriman) mahu tsabat, nescaya musuh mereka akan segera hancur dan dikalahkan. Siapakah yang dapat menggugat pendirian orang beriman sedangkan mereka tsiqah (yakin) dengan salah satu husnayain (dua kebaikan)? Syahadah (mati syahid) atau kemenangan. Sementara musuh mereka tidak mengingini selain dunia dan setelah dunia tidak ada lagi kehidupan bagi mereka (Fi Dzilal al-Qur'an).
2. Memperbanyakkan Zikrullah
Zikrullah dalam semua bentuk merupakan satu-satunya wasilah atau sarana bagi orang beriman untuk memperolehi pertolongan Allah.Anjuran agar berzikrullah dalam arena dakwah adalah taujih abadi bagi seluruh orang beriman. Al-Qu'an sendiri banyak merakamkan kisah para umat terdahulu yang menegaskan pentingnya zikrullah ketika menghadapi para penentang. Contohnya seperti kisah para ahli sihir pada zaman Fir'aun yang akhirnya beriman kepada Musa AS. Ahli sihir- ahli sihir ini telah mendapat ancaman dan kecaman yang serius daripada Fir'aun, namun dengarkanlah keteguhan hati dan doa yang mereka ucapkan sehingga dirakamkan Allah dalam Kitab Nya:
"Dan kalian tidak menyalahkan kami melainkan kami telah beriman kepada ayat-ayat Tuhan kami ketika ayat-ayat itu datang kepada kami. (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami limpahkanlah kesabaran kepada kami dan wafatkanlah kami dalam keadaan berserah diri (Kepada Mu)." (Al- A'raaf: 126)
Contoh peristiwa lain adalah tentang golongan minoriti dari Bani Israel ketika menghadapi Jalut dan bala tenteranya juga turut dirakamkan oleh Allah dalam firman Nya yang bermaksud:
"Tatkala mereka dilihat oleh Jalut dan tenteranya, (Talut dan tenteranya) berdoa: "Ya Tuhan kami, tuangkanlah kesabaran atas diri kami dan kukuhkanlah pendirian kami dan tolonglah kami atas orang-orang kafir." (Al-Baqarah: 250)
Dalam sebuah hadis marfu', dikatakan bahawa Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya Aku sangat mencintai hamba Ku yang tetap berzikir kepadaku ketika pedangnya terhunus dalam perang." Ibnu Kathir menjelaskan maksud hadis tersebut adalah orang itu tidak dilalaikan dari aktiviti zikir kepada Ku, berdoa dan memohon pertolongan Ku walau pun dalam keadaan genting. Ka'ab al-Ahbar mengatakan: "Tidak ada sesuatu yang paling disukai Allah daripada qira'atul Qur'an dan zikir. Kalau tidak demikian nescaya Allah tidak memerintahkan solat ketika qital (peperangan). Tidakkah kalian tahu bahawa Allah memerintahkan manusia untuk berzikir ketika perang"
Dalam sejarah dakwah para sahabat radhiallahu'anhum juga banyakmeraih kemenangan dengan salah satu sebab kemenangan tersebut adalah sikap mereka yang memperbanyakkan zikrullah. Contohnya dalam sebuah pertempuran, Sa'ad bin Abi Waqqas radhiallahu'anhu pernah memerintahkan pasukannya untuk membaca dan mentadabbur ayat-ayat jihad. Kesannya ialah para pejuang kelihatan dan tampak tergugah hati mereka, menangis dan mereka diselubungi sakinah (ketenangan) melalui tadabbur ayat-ayat suci tadi. Setelah selesai mereka merenungi dan membaca ayat-ayat tersebut, Sa'ad bertakbir dan diikuti oleh pasukannya. Semua pejuang kemudiannya bangkit dan bergerak menyerang musuh dan akhirnya mereka memperolehi kemenangan.
3. Taat Kepada Allah SWT dan Rasul Nya
Penegasan untuk taat kepada Allah dan Rasul dianjurkan agar seorang mukmin sejak awal melangkah dalam arena dakwah mesti memiliki sikap tunduk, taat dan berserah secara total pada kehendak dan tuntutan serta keputusan Allah dan Rasul Nya. Taat dan patuh kepada Allah dan Rasul Nya bermakna mengikis sehabis-habisnya seluruh keinginan peribadi, angan-angan dan cita-cita dunia serta yang seumpamanya yang dapat merosakkan nilai ketaatan. Ketaatan mutlak ini sangat penting dalam mencapai suatu kemenangan yang diredhai Allah. Dalam salah-satu karangannya Sayyi Qutb rahimahullah mengatakan:
"Hal itu (kemenangan) baru terjadi ketika jiwa bersih dari ketamakan syahwat, kedengkian dan jaringan-jaringannya, ketika jiwa lari menuju Allah dalam keadaan bebas dari bebanan-bebanan seumpama ini, ketika jiwa itu lepas dari kekuatan yang memperalatkannya, agar dapat menyerahkan segala urusannya kepada Allah, jika tidak demikian keadaannya maka kemenangan itu adalah kemenangan jahiliah ke atas jahiliah yang tidak mempunyai nilai sama sekali di sisi Allah." (Fiqh Dakwah)
Di sini jelas kelihatan pada kita betapa pentingnya marhalah takwin syakhsiah muslimah (fasa pembentukan peribadi muslim) dalam setiap gerakan dakwah. Langkah pertama yang mesti dilaksanakan adalah menyemai dan menanamkan aqidah Islamiah secara benar dan kukuhsehingga menjadi darah daging dan berakar umbi di dalam jiwa kemudian ia akan terjelma dalam tingkah laku, akhlak Islamiah dan amal-amal lain. Sikap taat kepada Allah dan Rasul Nya adalah akhlak yang mesti ada pada semua manusia yang memikul konsepsi Ilahi ini. Namun terdapat seruan dan penyebaran dakwah yang kurang mengambil perhatian dari sudut ini sehingga segala usaha mereka menjadi sia- sia sahaja bahkan menjadi batu penghalang bagi kemenangan Islam itu sendiri.
Marilah kita sama-sama merenung salah satu goresan pena yang ditulis oleh Khalifah Umar bin Khattab RA kepada pasukan tentera Islam di bawah pimpinan Sa'ad bin Abi Waqqas:
"Sesungguhnya aku perintahkan engkau dan pasukan kamu untuk selalu taqwa kepada Allah dalam semua situasi dan keadaan. Taqwa kepada Allah adalah bekalan paling utama dalam menentang musuh dan tipu daya yang paling ampuh dalam peperangan. Aku perintahkan kamu dan pasukan kamu untuk lebih berwaspada dari perbuatan maksiat daripada waspada terhadap musuh. Dosa-dosa pasukan kita lebih aku khuatirkan daripada kekuatan musuh. Sesungguhnya kaum muslimin mendapat pertolongan Allah hanyalah kerana kemaksiatan yang dilakukan musuh-musuhnya. Kalau bukan kerana ketaatan kita maka kita tidak akan memiliki kekuatan sama sekali untuk mengalahkan mereka." (Washaayaa Khalidah, Abdul Badi' Shaqr)
4. Menghindari Perpecahan dan Persengketaan
Perpecahan akan menimbulkan dhu'f (kelemahan), al-fasyl (gentar) dan dzihaabur riih (lenyapnya kekuatan). Berpecahnya barisan dakwah dan timbulnya sengketa dalaman sebenarnya mempunyai kaitan rapat dengan kadar sikap taat kepada Allah dan Rasul Nya yang telah dijelaskan di atas. Terdapat satu ungkapan indah yang telah diungkapkan oleh Sayyid Qutb: "Manusia tidak akan berbantah-bantahan kecuali apabila terdapatnya pelbagai arahan dan arahan qiyadah (pimpinan) serta turut samanya hawa nafsu dalam menentukan pandangan dan pemikiran seseorang. Apabila manusia tunduk dan patuh kepada Allah dan Rasul-Nya maka lenyaplah sebab utama yang menyebabkan perselisihan antara mereka, walau pun mereka berbeza pandangan dalam mengatasi kes-kes yang ada. Yang menimbulkan suasana bantah-membantah bukanlah ikhtilaf (perbezaan) pandangan tetapi adalah hawa nafsu yang menjadikan pemiliknya suatu pandangan itu tetap dan memaksa untuk memenuhi kehendaknya (Fi Dzilal al-Qur'an).
Demikian juga ungkapan Ustaz Fathy Yakan ketika menganalisa sebab-sebab hancurnya sebuah 'bangunan' dakwah dan harakah Islamiah (gerakan Islam), di antara faktornya adalah ta'addudiah (pelbagai danberagam jemaah, firqah atau wadah perjuangan). Menurut penilaian beliau bahawa fenomena ta'addudiah ini tidak menjadi masalah jika ia bersih dari ta'asub (bangga terhadap kelompoknya dan memandang rendah kelompok lain). Namun di sinilah letak permasalahannya, hawa nafsu telah berperanan menghembuskan hasad dengki sesama mereka dan akhirnya menyebabkan pertengkaran, saling mengintip dan mengintai kesalahan antara satu sama lain serta mendedahkan 'aurat' saudaranya. Beliau juga menyatakan bahawa fenomena ini telah hidup begitu subur dan tidak terkawal lagi sehingga menyebabkan berlakunya campur tangan musuh-musuh Islam yang akhirnya mereka bermaharajalela di negara-negara Islam. (Aids Haraki, Fathi Yakan) Seterusnya mari kitarenungkan firman Allah SWT:
"Janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah." (Shaad: 26)
5. Sabar
Kalimah sabar disebut dalam Al-Qur'an berulang-ulang kali bagi menunjukkan betapa pentingnya sifat ini menghiasi diri orang-orang yang beriman. Apatah lagi bagi para du'at dimana semua pergelutan dan akibat-akibat yang terdapat dalam usaha menegakkan dakwah Islamiah amat memerlukan kesabaran yang amat tinggi. Sabar dalammelaksanakan ketaatan, sabar dalam menghindari kemaksiatan, sabar dalam menghadapi segala bentuk tipu daya, sabar dalam menanti pertolongan daripada Allah, sabar dalam menanti kesenangan, sabar dalam mengalami penderitaan, sabar dalam menyaksikan bilanganpendukungnya yang sedikit, sabar dalam memperolehi pertolongan yang sedikit, sabar dalam melalui jalan yang penuh ranjau dan berduri, sabar dalam menghadapi tekanan jiwa, kekesatan hati dankesimpulannya sabar dalam semua keadaan , setiap detik dan masa.
"Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah: 153)
Sesiapa yang ingin menghadapi "jahiliah" tidak selayaknya mempunyai sifat putus asa dan berprasangka terhadap Allah yang membiarkan 'jahiliah' itu. Sesungguhnya Allah mempunyai hak untuk menentukan kemunculan kebangkitan Islam di setiap tempat dan pada setiap zaman. Oleh itu sebuah kebangkitan mesti direalisasikan ketika 'jahiliah' baru mula 'mengusik-usik' dan cuba mengalahkan al-Haq!
5 comments:
takde orang kata senang pe nak jadi baik. makin nak jadi baik, makin tu lah kita diuji.
ala kulli hal, Allahumma ameen!
ameen!
shukran akhy for posting this. anta buat apa skarang? blog betul cepat! haha. belum sempat habis baca yang semalam, hari ini dah blog lagi. ;)
la ba'sa bihi.
oh ana baru je habis taip. by the time anti baca ni, ana dah tekan enter pun.
blogger ada scheduled posts macam wordpress jugak ar. daily posts of all sorts of variety, insha Allah. moga dapat istiqamah!
Waduh-waduh...istiqamah ye..moga tsabat:)
Copy balik ayat kat atas ni:
"Taat dan patuh kepada Allah dan Rasul Nya bermakna mengikis sehabis-habisnya seluruh keinginan peribadi, angan-angan dan cita-cita dunia serta yang seumpamanya yang dapat merosakkan nilai ketaatan. Ketaatan mutlak ini sangat penting dalam mencapai suatu kemenangan yang diredhai Allah"
Benda-benda ni laaaa susahnya nak buat...huhuu. Semuga kita diberi kekuatan dan pertolongan dariNya...