Rona Bosphorus

Thursday, 3 January 2008



Pengarang: Zaid Akhtar

"PERLAHANNYA berjalan?"

"Cepatlah sikit! Kita dah lewat ni."

Afham tersentak. Memandang ke depan. Zakuan dan Hanafi sudah berdiri tercegat kira-kira lima meter darinya. Dia tersenyum, menyedari kesilapan sendiri, lantas mempercepatkan langkah.

"Macam tak semangat aja kau ni?" tegur Zakuan.

Afham tidak menyahut. Ingatannya banyak berlegar-legar seputar masalah madrasah. Mindanya terasa sesak. Tetapi belum ada kesempatan untuk diluahkan kepada teman-temannya itu. Nantilah, kalian akan tahu juga.

"Janganlah buat muka moyok. Cerialah sikit! Sedih dia bila tertengok kau kejap lagi."

"Sabar ajalah, Af. Takkan lari hafizah dikejar. Habis jalan ni, sampailah kita," Zakuan menokok kata-kata Hanafi.

Mereka berdua tertawa. Afham juga mahu tergelak tetapi ditahan. Sekadar menggeleng. Tidak mahu menyahut atau menambah apa-apa. Sudah faham tuju hala usikan dua sahabatnya setiap kali mereka bertiga. Usikan yang makin menjadi-jadi akhir-akhir ini!

"Tak dapat jumpa orangnya, jumpa rumahnya pun jadilah. Kan Zek?"

"Ha-ah!"

Afham terusan diam. Siapa lagi yang dimaksudkan oleh mereka berdua kalau bukan dia?

Amal Hayati!
Amal Hayati!
Amal Hayati!

Hati Afham menyeru nama itu berulang kali.

"Bertuahnya kalau siapa dapat dia." Hanafi terus-terusan berminat menggiatnya. "Kau cuba-cubalah Af. Mana tahu untung sabut kau … timbul."

Tawa teman-temannya terus berdekah-dekah. Afham menggerutu dalam hati.Bertuah? Dia tidak pasti mengapa mereka berdua ghairah sangat mengenakannya dengan Amal Hayati. Apakah mereka tahu apa yang ada dalam sukmanya? Mustahil. Ya, Amal Hayati mula dikenalinya lebih setahun yang lalu. Fahim yang memperkenalkan adik bongsunya itu kepadanya. Kebetulan mereka ditawarkan oleh Erfan menjadi tenaga pengajar bahasa Arab di Madrasah Badriyyah. Berwajah lembut dan menawan. Tidak banyak cakap dan mahal senyuman. Segalanya memang memenuhi citarasa. Cuma usia Amal Hayati dua tahun lebih tua daripadanya.

"Jangan fikirkan sangat soal umur." Afham terkejut. Zakuan seperti tahu apa yang difikirkannya. "Nabi dulu beza 15 tahun dengan Siti Khadijah."

"Kalaulah aku ni belum berpunya, memang dia kurebut dulu."

"Kau ni malu sangat, fasal apa? Cakap saja pada Fahim. Semuanya pasti beres."

Bukan soal malu, tetapi dengan keadaan diri yang seperti ini, rasanya belum layak mengimpikan gadis sehebat itu, Afham menjawab sendiri dalam hati. Hidup di Istanbul ini pun terpaksa bekerja sambilan demi meneruskan pengajian dan mengisi perut, ada keinginan mahu segera beristeri?

"Atau kau ada niat nak bermastautin di Istanbul ni? Nak jadi menantu Datuk Bandar?"

Afham menarik nafas. Wajah damai Amal Hayati berganti wajah manis Emine. Kemudian wajah Reccep Mecit Polatkan ketua tujuh juta penduduk bandar raya ini dan isterinya, Beyza. Sudah lama juga dia tidak mengunjungi keluraga angkatnya.

"Ha-ah Af. Adik 'angkat' Turki kau tu pun 'mengancam' juga."

Mereka melepasi sebuah simpang. Afham teringat, dua malam lepas dia telah ke sini. Tetapi ke rumah Necmi, rakan setugasnya yang berada di Blok C. Rumah Fahim yang mereka tuju di Blok A menghadap ke laut.

Akhirnya, mereka tiba di rumah pangsa yang berada di tingkat empat itu, Fahim sudah menunggu di pintu. Mereka masuk ke ruang tamu dan duduk di sofa yang di tengahnya terdapat sebuah meja bulat.

"Tak ganggu tuan rumah ke kami ni?" Zakuan berbasa-basi setelah bertukar salam dan bertanya khabar.

"Ganggu apanya, Zek? Kan giliran rumah ana minggu ni. Macam tak biasa pula."

"Ana sebenarnya hampir terlupa janji muzakarah kita malam ni. Mujur Afham ingatkan," ujar Hanafi. "Beria dia ajak kami berdua ke mari tadi. Suka sangat dia ke sini."

Afham terkedu. Semua pandangan tertujah ke arahnya. Fahim menahan senyum. Bertuah lelaki ini, mahu mengenakan aku!

"Err, Nik Hafizz mana?" Afham segera mengubah tajuk. "Dia kata kelmarin nak datang."

Masing-masing menggoyangkan bahu.

"Nak tunggu dia?" soal Fahim.

"Tunggulah sekejap."

Posted by hAiRiL/spiderman_pink at 23:32  

0 comments:

Post a Comment