Ohh.. TIANGGA LAMPUSTA!
Thursday, 24 January 2008
Ini satu kisah seorang mahasiswa UPM, yang mengambil jurusan agrikultur. Sewaktu menuntut dahulu, sekumpulan pelajar dibawa bersiar-siar di sekitar kawasan UPM untuk mengenali lebih dekat akan tumbuh-tumbuhan ornamental (tumbuhan perhiasan). Daripada acacia mengium hinggalah livistonia chinensis. Mereka ini dibimbing oleh seorang pegawai pertanian di situ dan diterangkan nama-nama saintifik untuk setiap tumbuh-tumbuhan.
Oleh kerana mereka harus mengingat kesemua nama jenis tumbuhan itu, masing-masing khusyuk menyalin setiap apa yang disebut pegawai tersebut. Sehinggakan kebanyakan mereka hanya main ‘taram’ sahaja mengeja nama-nama tumbuhan tersebut. Yang penting ada bunyinya.
“Ini namanya casuarinas equisetifolia atau pokok Rhu. Yang di sebelah sana pula TIANGGA LAMPUSTA.” Kata pegawai berkenaan.
Kelihatan semua pelajar dari tadi asyik menunduk mencatat nama-nama tumbuhan yang disebutkan sehingga tidak sempat menoleh melihat fizikal tumbuh-tumbuhan tersebut. Mengangguk-angguk pula tanda buat-buat faham. Maklumlah takut terlepas pula menulisnya.
“Tiangga lampusta? Pokok apa tu?” Tanya seorang rakan mereka.
“TIANGGA LAMPUSTA tu adalah tiang lampu. Bukannya pokok. Itulah, kamu pun main tulis sahaja”. Dengan selamba pegawai itu menjawab.
Sekumpulan mereka terus sahaja ketawa tak henti-henti apabila mendengar jawapan pegawai berkenaan.
PENGAJARAN
1) Jangan main tulis sahaja nota, perlu lihat dan faham apa yang ingin anda tulis.
2) Jangan mudah percaya pada orang! Perlu bertanya apabila anda rasakan maklumat yang anda terima itu adalah pelik. Apatahlagi terma-terma yang anda tidak biasa dengar.