Rumah Yang MANIS
Saturday, 24 May 2008
"Aku sungguh rindu pada perlabuhan tempat muara segala hidupku. Isteri dan anak-anakku. Mutiara kecil yang telah memberi makna dan rasa segar di atas dahagaku. Merekalah syurga duniaku."
Haaah!!! Kucampakkan tubuhku ke sofa. Pelahan-lahan kutanggalkan stokin, tali leher dan baju. Dengan langkah longlai kutukar bajuku. Suasana rumah benar-benar berbeza hari ini. Sampainya aku di rumah tadi, sunyi sepi, tiada jeritan dan teriakan anak-anak yang menyambut aku pulang. Tiada yang merengek minta didukung atau sibuk bertanya itu dan ini. Kerenah mereka menambah keletihan dan bebanan yang telah sedia ada ku bawa dari pejabat.
Hajatku telah dipenuhi hari ini! Gembirakah aku?! Rumahku sepi, tiada senyuman 'Iffah, isteriku yang menyapa kepulanganku. Tiada suara lembut yang meleraikan anak-anakku yang bergayutan ditubuhku. Sungguh tabah dan sabar 'Iffah memujuk anak-anak agar tidak menggangguku yang keletihan pulang dari pejabat. Terngiang-ngiang di telingaku suara 'Iffah memujuk tentera kecil membebaskankuu dari tawanan mereka: "OK... pejuang-pejuang ummi sayang, Muslim... Ahmad... Abdullah... Abah penat tu, jom kita main di luar."
Namun ternyata seruan, ajakan dan rayuan 'Iffah jarang sekali berkesan dan mujarab. Anak-anakku tidak menghiraukan umminya (mungkin dah seharian bersama) malah terus-menerus merengek meminta aku melayan mereka. Akhirnya, dalam keadaan rela tapi terpaksa aku penuhi juga permintaan mereka: main perang-perang... melukis... bercerita... Uhh! Entah apa-apa permintaan mereka. Ini belum lagi kekemasan rumah... seperti tongkang pecah... mainan berselerakan merata-rata... sungguh menyakitkan hati dan mata yang memandang. Kesimpulannya... huru-hara!
Namun hari ini suara dan suasana itu tiada. Sunyi! Rumah kelihatan tersusun rapi. Permainan anak-anak tersusun kemas baik di rak-rak. Bilik dan katil indah tataan. Cantik sekali. Dapur? Bersih dan kemas. Tiada pinggan mangkuk atau pakaian kotor yang berselerakan. Dalam lain kata semuanya MANIS tampaknya!
Setelah melihat semua sudut rumah, aku kembali ke ruang tamu, ku tarik nafas panjang... lega! Aku membolak balikkan surat khabar hari ini, tiada yang menarik. Makan... hah perutku sudah berkeroncong memainkan lagu lapar. Aku ke ruang makan. Di atas meja yang telah terhidang makanan yang enak; gulai ikan sembilang, rojak buah, ikan kering, sambal tumis, udang dan ulam-ulam! Namun selera makanku tiba-tiba mati walaupun hidangan itu paling ku minati.
Kutolak juga makanan ke mulut untuk memenuhi keperluan perutku. Terbayang wajah 'Iffah di ruang mata yang menegurku apabila aku tidak berselera makan: "Jadilah orang yang sentiasa mensyukuri nikmat Alah, Aba Muslim. Menjaga kesihatan kan wajib, nikmat sihat tu kan mahal. makanlah. Walau sikit agar anak-anak kita mencontohinya" bisik 'Iffah lembut di telingaku sambil bergurau menyuapkanku lalu diikuti dengan deraian gelak manis anak-anakku. Lucu melihat abahnya yang manja seperti anak-anak kecil! Tapi hari ini??? Sepi... aku makan bersendirian, sehingga kurasa nasi yang ku telan seperti pasir-pasir halus yang melalui tenggorok...
Selesai makan segera ku tatap warkah 'Iffah dan anak-anak yang dilekatkan di pintu peti sejuk.
Buat Abi Muslim yang ummi cinta:
Yang sedang menikmati rumah yang MANIS...
Assalammu'alaikum warahmatullah
Segala pujian bagi Allah, selawat dan salam ke atas junjungan Rasullullah SAW. Semoga aba jundi-jundiku hari ini berada di dalam lindungan Allah sentiasa.
Aba Muslim yang dsayangi,
Sebagaimana yang telah kita persetujui, hujung minggu ini anak-anak ummi bawa berehat ke tempat lain agar rumah ini memiliki suasana yang berbeza. Rumah yang indah rapi seperti awal pernkahan kita. Supaya aba jundiku menikmati kedamaian dan ketenangan yang sentiasa diidam-idamkan selama ini. Bukan begitu sayang...? Ummi bawa anak-anak ke kampung menemani ibu. Maaf, kerana kami bertolak awal dan tidak menunggu Abahnya pulang. Namun makanan untuk hari ini ummi telah sediakan. Puding jagung yang ummi letak di peti sejuk jangan lupa makan. Makanan untuk esok umm dah siapkan dlam bekas, hanya perlu dipanas kan di mikrowave.
Sampai di dini dulu, teksi telah menunggu kami. Buat Aba Muslim, abah jundi-jundiku sayang... ummi sudahi dengan ucapan: "Selamat berehat, bersantai dan selamat menikmati Rumahku yang MANIS dan selamat membujang lagi...!"
Wassalam
'Iffah... Ummi Muslim, Ahmad dan Abdullah.
Segera ku renyukkan surat isteriku. Allahu Akhbar! Apa yang telah aku lakukan? Perbincangan malam kelmarin kembali menerpa ke dalam ingatan ku.
"Iffah, abang rasa, abang rindulah dengan suasana kita dulu. Rumah teratur, kemas dan bersih, nyaman dan tenang serta damai. Sekarang ni, tiap hari selalu sangat macam kapal karam, riuhnya, berseleraknya..." rungutku sambil meletakkan kepalaku manja di pangkuan isteriku. 'Iffah memang memiliki sifat keibuan sehingga aku terbawa-bawa dengan sifat manjaku ( maklumlah anak bongsu kesayanagan). Apatah lagi bila anak-anak telah lena dibuai mimpi, aku rasa dia milikku seorang, kadang-kdang timbul juga rasa iri hati pada anak-anakku... macam saingan pulak!!
"Namanya pun budak, bang. Mana faham apa itu kemas, tenang, dan senyap. Bagi mereka yang menyeronokkan itu adalah segala-galanya. Walau dah ditegur beberapa kali atau dikemas berpuluh-puluh kali kalau mereka hendak main.... hah. Ummi penatlah asik kemas tak berhenti, banyak kerja-kerja lain yang perlu diselesaikan. Budak-budak tu pulak kalau asyik dilarang kan nanti kurang kreatif," bela isteriku.
"Alah!! Bukan tu saje, masa makan tu bukannya pandai duduk diam, berebutlah, bergaduhlah... Tidur kita pun dah tak setenang dulu. Kejap nak air, kejap nak buang air... ummi asyik layan anak... saya ni?" rungutku masih belum selesai seperti anak yang cemburu.
'Iffah tersenyum lebar... "Abang... abang... namanya kan dah jadi Abah, jadi ayah. Mestilah sanggup diganggu anak-anak. Mereka kan masih kecil lagi..." isteriku masih tersenyum, lucu agaknya...
"Beginilah bang, ummi ada satu cadangan. Biarlah ummi bawak anak-anak ke rumah ibu di kampung biar abang rasa bagaimana membujang balik". Cadangan isteriku bersahaja. Aku bersetuju dan mula menggambarkan hari Sabtu dan Ahad tanpa gangguan anak-anak dan rumah yang MANIS.
Ya... Sebuah keinginan yang lucu. Namun ku fikir ini wajar. Kadang-kadang kita juga dilanda rasa jemu dan jenuh dengan hari-hari kehidupan kita. Kadangan timbul rasa ingin suasana dulu, bebas... damai dan tiada bebanan ketika pulang ke rumah daripada pejabat. Ditambah pula aku memang anak yang manja yang sangat dimanjakan.
Aku bersyukur kerana isteriku amat memahami malah aku masih boleh meneruskan kemanjaanku mungkin kerana usia isteriku yang jauh lebih tua... Sesungguhnya Allah telah mengurniakan aku segala-galanya. Mutiara-mutiara yang menghiasi kehidupanku, isteri tersayang, anak-anak yang sihat, cerdas dan lincah. Ah! Mata bening Muslim, gelagat lucu Ahmad dan renggekan manja Abdullah. Apatah lagi MUslim telah ke TASKA, ada saja cerita yang dibawa pulang untuk dikongsi bersama.
Tiba-tiba rasa rindu menyelubungi diriku. Aku begitu kehilangan mereka. Kehilangan mutiaraku yang sangat indah, harta yang tidak ternilai... Tiba-tiba rumah yang tadi kuanggap indah dan damai tersa seperti tanah perkuburan tanpa kehadiran mereka. Sekarang baru kusedar, bahawa detik-detik alam bujang dan bulan madu dulu ternyata bukan dunia ku lagi. Duniaku kini adalah dunia seorang ayah dengan seorang isteri dan tiga orang anak yang sedang membesar.
Aku berkata dalam diriku:
Aneh. Kadang-kadang lelaki itu suka pada yang ANEH. Ingin dilayan dan dibelai seperti anak kecil, ingin manja seperti bayi, ingin dituruti semua kemahuannya, namun adakalanya ingin bebas seperti burung bangau, ingin terbang seperti layang-layang, menebarkan kesenangan sendirian, namun akhirnya ia akan kembali ke sarangnya. Tempat ia melepas penat, tempat dia memeperolehi kehangatan cinta dan kasih sayang. Tempat di mana muaranya berlabuh. Itulah rumah, isteri dan anak-anaknya. Itu lelaki. Dan AKULAH salah seorang dari lelaki itu.
Aku sungguh rindu pada perlabuhan tempat muara segala hidupku. Isteri dan anak-anakku. Mutiara kecil yang telah memberi makna dan rasa segar di atas dahagaku. Merekalah syurga duniaku.
Akhirnya, malam ini aku tertidur juga dengan mimpi-mimpi bersama mutiara-mutiaraku. Dalam mimpi itu kudakap erat serat-eratnya mereka, aku amat takut kehilangan mereka. Beberapa kali aku terbangun dari tidurku tak tahu apa sebabnya. Ternyata tanpa mutiara-mutiara disampngku, tidak nyenyak tidurku, tidak kenyang makananku... Akhirnya ku ambil wudhu' dan bertahajjud. Beristighfar atas sikap keanak-anakanku.
Selepas solat subuh di masjid, aku segera mencapai telefon. Kerinduanku sudah tidak tertahan, mengapa begitu lambat telefon diangkat??? Akhirnya dari sana terdengar suara lembut memberi salam. Ku sambut salamnya penuh kegembiraan. "O... Abang... Apa Khabar, sihat? Mimpi apa semalam? Macam mana seronok tak membujang, tiada gangguan dan rumah yang cukup MANIS?" usik 'Iffah.
"Sindir abang ke? Tak baik tau... Abang rindu pada semua ni. Abang rasa abang pun akan balik ke kampung sebentar lagi. Doakan abang selamat dalam perjalanan ya"
Sepanjang dalam perjalanan, aku memandu dengan membayangkan bertemu dengan mutiara-mutiaraku, memcium dan memeluk mereka... inilah penghias rumah yang MANIS milik kami. Muslim, Ahmad dan Abdullah maafkan abah ya. Mari kita balik dan hiasi rumah kita kembali.
Ya Allah....! Ya Rabbi.... dewasakanlah aku dengan peristiwa yang indah ini.
Karya - Dian Hilmy
Majalah Mihwar
2000
0 comments:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)