Mencari makna baru di sebalik peristiwa hijrah

Sunday, 28 December 2008

Oleh Mohd Farid Mohd Shahran
rencanabh@bharian.com.my


GENERASI muda Islam perlu dilengkapkan dengan ilmu dunia dan akhirat untuk menjadi insan cemerlang. Ummah mesti jadikan sejarah penghijrahan, perjuangan Rasulullah pencetus kejayaan.

SEBAGAI junjungan besar yang sentiasa diagungkan oleh umat Islam, segala detik peristiwa yang berlaku dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW sentiasa dianggap penting dan bermakna oleh masyarakat Islam.

Nabi Muhammad, bagi mereka bukan manusia biasa yang boleh diletakkan beriringan dengan sosok lain dalam sejarah kemanusiaan. Baginda adalah rasul junjungan dan insan kamil yang diutus Allah SWT bagi menzahirkan kesempurnaan akhlak manusia.

Baginda manusia paling tinggi martabat kerohaniannya dan paling disayangi Allah SWT. Walaupun Baginda seperti manusia lain, hadir dalam latar lingkungan sejarah dan geografi tertentu, peristiwa yang berlaku sepanjang kehidupan Baginda tetap mengungkapkan pengajaran sejagat yang sentiasa abadi dan segar kepada diri setiap Muslim.

Begitu juga peristiwa hijrah yang dilalui Nabi Muhammad SAW. Ia adalah detik perpindahan dakwah Nabi daripada peringkat pertama di Makkah yang penuh mihnah pesona serta cabaran yang amat mencengkam ke tahap mengancam nyawa Baginda sendiri, ke peringkat kedua di Madinah yang lebih meluas ruang dakwahnya serta menjanjikan cahaya kemenangan.

Dari segi pensyariatan agama, hijrah adalah dasawarsa baru dalam pelaksanaan undang-undang agama yang lebih berasaskan muamalah dan kemasyarakatan berbanding peringkat Makkah yang lebih tertumpu kepada pengukuhan akidah serta pandangan alam Islam. Namun, di sebalik dimensi sejarah yang selalu diulang sama ada dalam pengajian sirah atau pada siri ceramah maal hijrah, peristiwa ini sesungguhnya menyampaikan kita kepada beberapa pengajaran lebih mendalam dan amat terkait untuk kehidupan sekarang.

Antara hikmah penting di sebalik peristiwa hijrah yang harus diteladani terutama umat Islam zaman ini yang berdepan pelbagai fitnah dan cabaran ialah gambaran sikap realistik serta kebijaksanaan nabi apabila berdepan cabaran dan ancaman semasa.

Di samping hakikat bahawa Nabi Muhammad SAW ialah insan terpilih dan terbaik di kalangan seluruh makhluk Allah, insan yang mustajab doanya dan dikurnia mukjizat, kehidupan nabi juga seperti manusia lain menurut sunnatullah yang tidak lari daripada cabaran dan pedih getir kehidupan. Dengan kata lain, kehidupan Nabi Muhammad SAW juga terikat dengan batasan manusiawi yang terpaksa melalui pelbagai ranjau perjuangan hidup. Inilah yang terjelma antara lain daripada peristiwa hijrah Baginda apabila sunnatullah mengajar golongan lemah walaupun amat sukar mengalahkan pihak lebih kuat terutama yang mempunyai persediaan.

Sebagai golongan yang baru muncul, kecil jumlahnya dan kurang persiapan, tekanan serta ancaman yang ditujukan kaum Musyrikin di Makkah ternyata terlalu kuat untuk dihadapi Baginda dan umat Muslimin ketika itu. Justeru, perpindahan dari Makkah bagi menyelamatkan golongan Muslimin tidak dapat dielakkan.

Nabi Muhammad SAW perlu mencari ruang dan kekuatan baru di Madinah untuk memperkukuhkan kedudukan agama Islam. Apakah noktah pengajaran yang dapat diambil masyarakat Islam sekarang daripada hakikat hijrah Baginda?

Jika Nabi Muhammad SAW insan terpilih yang dikurniakan Allah SWT pelbagai bentuk mukjizat menyedari hakikat bahawa Baginda harus bertindak berdasarkan waqi’ semasa, berdasarkan kekuatan dan kelemahan manusiawi, umat Islam dewasa ini pasti harus lebih menyedari mengenai waqi’ kehidupan yang melingkungi mereka. Secara umumnya, masyarakat Islam memang berada dalam keadaan lemah. Dilihat dari segi fizikal dan ketenteraan, kekayaan ekonomi, malah kesatuan, mereka agak tertinggal berbanding masyarakat lain terutama Barat.

Namun, ada sekelompok masyarakat Islam yang gagal menyedari hakikat ini lantas bertindak seolah-seolah mereka berada di dalam keadaan yang kuat. Mereka mengambil tindakan di luar batasan waqi’ semasa yang ada pada masyarakat Islam. Ini merujuk tindakan sekelompok umat Islam yang mengebom, menculik serta membunuh membabitkan manusia tidak berdosa yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Kita tidak menafikan sebahagian peristiwa itu adalah tindak balas terhadap tindakan politik yang dilakukan kuasa besar terhadap beberapa negara Islam atau perencanaan pihak tertentu.

Namun, cara bertindak yang dilakukan ternyata tidak menguntungkan masyarakat Islam keseluruhan terutama apabila dilihat dari sudut kekuatan ummah dan kesediaan mereka menghadapi tindakan balas jika berlaku.

Kita lihat sebahagian besar tindakan seperti ini sekadar mengundang tindakan balas lebih buruk kepada masyarakat Islam seperti di Afghanistan dan Iraq. Paling penting tindakan ini turut menggambarkan kerangka pemikiran ekstrem hasil kekeliruan mengenai ajaran Islam.

Di sinilah pentingnya pengajaran peristiwa hijrah yang merakamkan Nabi Muhammad SAW bertindak berdasarkan kekuatan dan kemampuan Baginda apabila mengambil keputusan untuk melakukan hijrah. Dengan kata lain, peristiwa hijrah memberi iktibar bahawa kita harus mengumpul kekuatan dan tidak bertindak menzahirkan kekuatan sebelum masanya, apatah lagi bertindak di luar kebijaksanaan. Sesungguhnya ini antara makna hijrah baru yang harus kita manfaatkan dalam realiti kehidupan sekarang.

Dengan menyedari bahawa umat Islam berada dalam keadaan lemah bukan bermakna kita pasrah dengan keadaan yang ada. Di samping ingatan bahawa umat Islam harus terus memperbaiki kelemahan mereka dan mempersiapkan kekuatan fizikal seperti disaran al-Qur’an, seperkara yang juga penting ialah hakikat kekuatan Islam sebenarnya masih boleh dijelmakan dalam pelbagai dimensi lain.

Misalnya umat Islam masih kuat dan kukuh dari segi kepercayaan agama dan akhlak, terutama dalam menolak fahaman yang bertentangan dengan agama. Berbanding Islam, sebahagian agama lain misalnya, sudah berkompromi dan mengorbankan doktrin agama mereka dengan membuka pintu kepada kemasukan aliran asing seperti sekularisme dan sinkretisme.

Disebabkan kelemahan sistem kepercayaan mereka, agama terbabit mengubah dasar dan kepercayaan bersesuaian dengan ideologi berkenaan. Namun, Islam berkat kekuatan pendidikan agama dan pertahanan ilmiah yang dilakukan ilmuwannya sepanjang zaman masih kukuh bertahan daripada ancaman aliran pemikiran asing.

Kekuatan Islam ini harus dipertahan dan diperkukuhkan melalui pendidikan yang betul tanpa semestinya membabitkan penzahiran dari segi kekuatan fizikal dan ketenteraan. Dari segi strategi, umat Islam memang lemah kekuatan fizikal, seharusnya mereka menumpukan perhatian dalam memperkukuhkan aspek keilmuan dan pendidikan.

Tindakan ini juga adalah jihad besar dan harus dilakukan dengan gigih dan serius, malah ia juga ‘peperangan’ yang membabitkan persediaan kekuatan dari segi intelektual dan keilmuan. Jika kita prihatin terhadap pembunuhan dan serangan ke atas negara Islam oleh kuasa Barat, kita juga harus lebih prihatin terhadap serangan pemikiran asing yang ‘mengorbankan’ dan mengelirukan jutaan masyarakat Islam.

Peperangan inilah yang nampaknya banyak dilupakan sebahagian masyarakat Islam apabila kerangka berfikir mereka amat tertumpu kepada penyelesaian daripada aspek siasah dan ketenteraan. Jika ditinjau dari segi sejarah, aspek inilah yang menjadi asas kepada pembinaan tamadun. Zat kepada kekuatan Islam, dengan kata lain ialah kekuatan kepercayaan dan keilmuan. Mungkin ini antara makna dan rahsia hijrah yang harus diingatkan kepada masyarakat Islam. Hijrah bukan sekadar berpindah kepada suasana baru, malah juga mengembalikan diri kita kepada suasana yang kita sudah pun berada sebelumnya.

Jika sebelum ini tamadun Islam terletak kepada kekuatan iman dan ilmu, marilah kita berusaha berhijrah dengan mengembalikan kekuatan itu kepada umat Islam.

Penulis ialah Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Posted by hAiRiL/spiderman_pink at 23:32  

0 comments:

Post a Comment