Jenazah
Friday, 12 December 2008
Teringat pengalaman memandikan jenazah ibu sendiri kira-kira 15 tahun lalu bersama kakak dan adik perempuan saya. Teringat saya betapa 'bodohnya" kami waktu itu dalam soal pengurusan jenazah.
Segala-galanya dilakukan atas arahan bilal tukang mandi jenazah dan pembantunya. Kami cuma macam 'boneka' yang digerakkan dengan 'tali kata-kata'. Disuruh jirus badan, kami jirus. Disuruh sabun kepala, kami sabun. Disuruh miringkan sedikit jasad emak untuk dibersihkan bahagian belakangnya, kami buat.
Sambil memandikan jasad emak, saya renung tubuh yang pernah mengandung, melahirkan dan membesarkan saya adik beradik. Dengan lembut dan hati-hati saya bersihkan dada yang pernah menyusukan saya hingga kenyang dan perut yang pernah mengandungkan saya selama lebih 9 bulan. Saya gosok perlahan bibir yang pernah tersenyum pada saya, bergurau dengan saya, menasihati saya dan juga pernah berleter memarahi saya. Saya sabun jari jemari yang pernah membelai saya dan juga pernah merotan saya.
Sambil itu, terbayang semua kenangan bersama emak yang dicintai (termasuk sekali sekala 'angin berani mati' saya datang untuk menjawab leterannya).
Tiba-tiba teringat pula hakikat bahawa sebentar lagi kami benar-benar akan terpisah, dipisahkan oleh bumi, dan dipisahkan oleh dunia masing-masing yang sudah berbeza - saya masih di alam fana, manakala emak sudah dijemput ke alam baqa. Lantas air mata merembas keluar hingga ditegur dan disabarkan oleh Makcik bilal dengan lembut, "Sabarlah. Semua orang mesti merasai mati. Lambat laun kita mesti berpisah juga dengan orang yang disayangi.
Makcik pun pernah rasa hilang emak. Sekarang giliran awak semua. Esok-esok ada lagi orang dapat pula 'gilirannya'. Cuma kita kena banyak-banyak sabar. Banyak-banyak doa pada Allah supaya roh ibu awak selamat 'di sana'."
Pengalaman ketika menghadapi kematian ibu sendiri menyebabkan saya terfikir sejauh mana pengetahuan kita dalam menghadapi kaum keluarga atau sahabat handai yang sakit atau sedang nazak dan sejauh mana pula pengetahuan kita dalam menguruskan jenazah.
Sejauh mana pula kita "menyediakan" anak-anak kita supaya tahu apa yang perlu dilakukan jika ditakdirkan terpaksa menghadap ibu/ayah yang nazak atau terpaksa menguruskan jenazah kita nanti. Beruntunglah kita jika anak-anak kita nanti seperti 10 adik-beradik Datuk Prof Haron Din (mengikut apa yang pernah saya baca) yang mengepalai sendiri segala urusan menyelenggarakan jenazah ibu mereka daripada soal memandikan, mengapankan, menyembahyangkan dan pengkebumian. Dan mereka juga yang bergilir-gilir membaca al-Quran hingga khatam untuk disedekahkan kepada roh ibu bapa mereka.
Amat malang jika anak-anak kita hanya menyerahkan semua urusan itu ke tangan orang lain kerana ketiadaan ilmu sedangkan anak-anaklah yang lebih afdal menyelenggarakan jenazah ayah/ibu mereka.
Orang lain sepatutnya hanya membantu sahaja, anak-anak yang harus ke depan. Jika ada anak lelaki, dialah yang sepatutnya mengimamkan solat jenazah ayah/ibu ("sepatutnya" atau "lebih baik lagi", bukan pula maknanya "mesti". Takut nanti ada yang salah tafsir pula!). Kalaupun tidak mengimamkan, sekurang-kurangnya bersama-sama solat jenazah (lelaki dan perempuan boleh solat jenazah) sebagai perkhidmatan terakhir mengiringi ibu/ayah tercinta dalam perjalanan menuju alam yang kekal.
Pernah seorang ustaz (saya tidak mahu sebut namanya) menceritakan bagaimana ketika dia diminta menguruskan satu jenazah, anak-anak lelaki si mati seramai enam orang tidak langsung mahu membantu memandikan jenazah bapa mereka. Dan ketika solat jenazah, walaupun sebelum itu sudah diterangkan secara ringkas cara mengerjakan solat itu, tidak seorang pun anak lelaki itu (yang semuanya berkelulusan tinggi dari dalam dan luar negara dan menjawat jawatan tinggi/penting belaka) yang turut sama bersolat. Alangkah sedihnya!
Semoga perkara yang sama tidak berlaku kepada kita. Amin! Untuk itu, mari kita kongsi bersama beberapa point ringkas sebagai asas kepada persediaan menghadapi kematian sama ada untuk pengetahuan diri sendiri atau untuk diajarkan kepada anak-anak kita.
Adab menziarahi orang sakit.
Menziarahi orang sakit hukumnya sunat muakkad menurut jumhur ulama sedangkan menurut Imam Bukhari, hukumnya wajib. Rasulullah s. a. w amat menyukai amalan ini dan ini dapat dilihat melalui banyak Hadis. Harus juga menziarahi pesakit tanpa mengira kaum dan agama. Disunatkan meletakkan tangan di tempat yang sakit sambil membaca 'Bismillah...' dan mendoakan si sakit supaya cepat sembuh dan umurnya panjang. Jangan menyebut penyakit orang lain yang sama seperti penyakitnya hingga menyebabkan kematian orang itu kerana ini akan menyakitkan hati pesakit. Bawalah buah tangah untuk menghiburkan hati pesakit Sesuaikan waktu berziarah. Jangan berziarah setiap hari (kecuali pesakit menghendaki demikian) tetapi seelok-eloknya berselang hari Zahirkan rasa simpati terhadap pesakit dan cuba hiburkan hatinya Tidak perlu duduk terlalu lama ketika berziarah kerana ini mungkin menyusahkan pesakit yang ingin berehat. Nasihatkan dia supaya bersabar.
Adab menziarahi orang sakit tenat (Islam).
Sunat membaca surah Yasin di samping orang yang sedang tenat untuk meringankannya sesuai dengan hadis riwayat Ma'qal bin Yasar, katanya: "Rasulullah s. a. w. bersabda: "Yasin adalah jantung al-Quran. Seseorang yang membacanya kerana mengharap rahmat Allah dan ngeri akhirat, maka diampuni dosanya. Oleh itu bacakanlah ia kepada mayat kamu." (Yang dimaksudkan dengan 'mayat kamu' di sini ialah orang yang hampir mati kerana hukumnya sudah sama dengan orang yang sudah mati). Elakkan daripada berbuat bising Waris hendaklah sentiasa berada di sisi pesakit Sunat ditalqinkan dengan kalimah "La ila ha illallah" ke telinganya dengan lembut. Jangan terlalu sering diulang-ulang (maksudnya, jangan disebut bertubi-tubi supaya dia tidak menolaknya kerana bosan) selama dia tidak menyebut perkataan lain (jika dia mengucapkan perkataan lain selepas mengucap kalimah syahadah, ajarkan lagi supaya kalimah itu yang terakhir diucapkannya sebelum meninggal dunia, supaya dia lepas daripada neraka. Ini disebut dalam hadis yang diriwayatkan daripada Kasir bin Marrah, daripada Muaz bin Jabal, katanya: Nabi s. a. w. bersabda: "sesiapa yang akhir perkataanya kalimat La ila ha illallah, akan masuk syurga." Tak perlulah memaksa orang yang sedang nazak itu mengucapkan kalimah tersebut secara penuh. Jika dia hanya sekadar menyebut "Allah" pun sudah memadai.
*Disunatkan agar pesakit yang sedang nazak itu dibaringkan dengan memiringkan ke kanan dan menghadapkan mukanya ke arah kiblat. tetapi jika sukar untuk melakukannya, hadapkan sahaja mukanya ke kiblat dengan meninggikan kepalanya dengan bantal. Disunatkan agar mengingatkan kepadanya supaya berbaik sangka dengan Allah dan mengharapkan pengampunanNya serta berdoa agar dimatikan dalam keadaan beriman kepada Allah swt.
Titiskan air ke tekaknya sedikit demi sedikit (jangan sampai tersedak) atau basahkan bibirnya dengan air (kalau dia sudah tidak boleh menelan air lagi). Ini kerana ada riwayat mengatakan bahawa orang yang sedang menghadapi sakaratul maut itu mengalami kehausan yang amat sangat, seolah-olah air satu lautan pun tidak dapat melegakan dahaganya. Dan pada ketika inilah dikatakan iblis datang menggoda si sakit dengan membawa air tetapi mensyaratkan si sakit mengaku sebagai pengikutnya jika berkehendakkan air tersebut. Saidina Omar al-Khattab pernah berkata: "Hadirlah di tempat orang yang hampir mati, dan ingatkanlah mereka akan kalimah La ila ha illallah kerana mereka nampak apa yang kamu tidak nampak." Tanda-tanda mati Riwayat daripada Saidina Uthman bin Affan (r. a.), katanya: Nabi s. a. w bersabda: "Perhatikanlah orang itu menjelang wafatnya. Apabila kedua belah matanya terbeliak, dahinya berpeluh dan membesar dua lubang hidungnya, bererti rahmat Allah telah turun. Tetapi apabila dia mendengkur seperti orang tercekik, tubuhnya pucat, mulutnya bertambah lebar, bererti seksa Allah telah turun kepadanya."
Layu kedua-dua belah telinga dan hidung (sebelum nazak) kedua-dua tumit menjadi lembut, hidung menjadi bengkok, alis mata semakin hilang, kulit muka menjadi tegang tulang pinggang rapat ke lantai keluar peluh dan air mata, menandakan orang Mukmin itu mendapat kabar gembira tetapi berasa malu kerana dia sedar dosa yang dilakukannya. Itu juga satu petanda dia mendapat rahmat Allah. Seluruh badan kejang kerana roh sedang bergerak keluar daripada jasad mata yang terbuka kerana mengikut roh yang keluar daripada jasad.
Selepas kematian.
Kematian perlu disahkan oleh doktor perubatan - jika terdapat keraguan mengenai sebab kematian, jenazah akan diarahkan dihantar ke hospital untuk bedah siasat Perlu dilaporkan kepada polis untuk mendapat permit pengkebumian. jangan memandikan jenazah sebelum mendapat permit. Ini adalah untuk mengesahkan kematiannya waris/ahli keluarga perlu berbincang untuk persiapan memandi dan mengapankan jenazah dapatkan tukang mandi jenazah tentukan tanah perkuburan dapatkan kenderaan jenazah.
Yang perlu dilakukan segera terhadap orang yang baru meninggal dunia.
Tutupkan perlahan-lahan mata dan mulutnya, jika terbuka sapu minyak, usap dan urut seluruh anggota dan sendi-sendi mayat khususnya pergelangan tangan, siku, paha, lutut dan kaki sebelum urat-urat itu menjadi keras. Ini bagi memastikan keseluruhan sendinya lembut dan mudah dimandikan. Bersihkan mayat daripada najis dan kekotoran terutama jika dia sudah sakit terlantar begitu lama salin semua pakaiannya termasuk pakaian dalam dengan kain yang dapat menutup seluruh anggotanya. jaga auratnya kerana dia juga malu. Ikat dagu dan pergelangan kakinya. Kemudian tutup mayat dengan kain Hadapkan mukanya ke arah kiblat (tinggikan kepalanya dengan menggunakan bantal) sunat diletakkan sesuatu yang keras di atas perut mayat (tetapi jangan letak al-Quran) supaya perut tidak masuk angin dan membesar (takut menjadi fitnah)
4 perkara wajib dilaksanakan untuk jenazah orang Islam Dimandikan Dikapankan Disembahyangkan Dikebumikan
Keempat-empat perkara di atas adalah fardu kifayah iaitu apabila telah dilaksanakan oleh sebahagian orang (waris, jiran, rakan dll), maka orang lain terlepas daripada dosa.