Peritnya Mencari Sesuap Nasi

Wednesday, 17 December 2008

Mop di tangan kanan. Timba merah terisi air sabun di tangan kiri. Bau Fabuloso menyucuk hidung. Peluh terpercik pada wajah perempuan tua berbaju kurung saga. Sudah dua hari aku lihat dia tekun mencuci dan mengemop lantai. Sejak Ketua Jabatan baru menghuni kerusi panas di bangunan yang aku tumpang ini, sudah dua tiga muka baru yang aku lihat. Pekerja Am baru agaknya. Bisik aku pada diri. Sedikit pun tidak terluah pada bibir.

Pagi ini, aku jeling dari pintu pejabat yang terbuka sedikit. Aku lihat dia tekun membongkok mengemop lantai. Seperti kekok dan perlu ditunjuk ajar. Mungkin sebelum ini dia tidak pernah bekerja seperti ini. Sekejap-sekejap dia berhenti. Memegang pinggang. Mengetuk-ngetuk pinggangnya sambil mengaduh kecil.

2.15 petang. Ketika aku mahu ke surau membayar tunai suruhan Tuhan, aku terperasan kelibatnya dari jauh. Masih tekun dengan kerjanya mengemop lantai. Ketika itu, seorang lelaki lalu tanpa sedikit pun permisi. Lantai yang dimopnya kembali kotor dengan tanah merah. Dia tetap diam meneruskan kerja. Entah bagaimana kehendak Tuhan, lelaki itu tersandung timba terisi Fabuloso di tepi lorong. Basah kasut kilatnya. Marahnya tak bertepi. Maki hamun sesuka hati. Sedikitpun tidak ada hormat kepadanya. Perempuan tua itu tetap tunduk sambil mulutnya tidak kering ucap maaf tanda akur itu mungkin kesalahannnya. Masakan perempuan itu bersalah, mata ini menjadi saksi. Timba itu elok terletak di tepi. Bukan mengganggu jalannya.

Di tengah lorong aku berselisih dengan lelaki itu. Assalamualaikum aku hulurkan. Biar amarahnya sejuk. Oh! Mukanya tetap bernyala api marah. Sedikitpun dia tak menjawab salam. Aku ke hujung lorong. Melihat perempuan tua itu terkocoh-kocoh mengelap lantai. Yang basah seboleh-bolehnya dikeringkan. Aku sapa ramah. Soalan mudah, sudah makan ke belum. Berbahasa basi, sambil mataku menyulam matanya. Ada air jernih tergenang.

"Minta maaf, saya tumpang lalu, mak cik"
Sambil senyumku meleret tanda simpati. Aku harap hatinya berbunga-bunga.

"Lalulah nak, mak cik izinkan"
Bibirnya mula menguntum senyum. Hilang mendung wajah tuanya.

Aku juga manusia. Tahu peritnya mencari sesuap nasi. Sedikitpun aku tidak pandang rendah kerjanya. Kerja itu halal. Tapi aku terkilan. Bilamana hormat sesama manusia (lebih-lebih lagi kepada warga tua daripada yang muda) seperti sudah hilang.

Posted by hAiRiL/spiderman_pink at 23:32  

0 comments:

Post a Comment