Anak perlu ada model bentuk akhlak mulia
Thursday, 25 December 2008
Oleh Lokman Ismail
SEMAKIN banyak diperkatakan mengenai disiplin pelajar dan remaja, semakin banyak kes baru membabitkan salah laku timbul. Apa yang jelas, permasalahan ini semakin serius yang memerlukan tindakan segera secara berkesan untuk mengelak berlakunya masalah lebih besar kepada masyarakat dan negara.
Kurang didikan akhlak dikenalpasti punca masalah yang melanda golongan remaja dan pelajar. Justeru, langkah penyelesaiannya ialah dengan menekankan lebih banyak didikan akhlak diberikan kepada golongan yang mempunyai peranan besar pada masa hadapan itu.
Dalam kes ini, ibu bapa bertanggungjawab mendidik akhlak anak sejak kecil. Jika, ibu bapa berjaya mendidik anak dengan akhlak yang baik, sudah tentu masalah yang dihadapi remaja dan pelajar sekarang dapat diatasi.
Masalah sosial di kalangan remaja dan pelajar adalah berpunca kegagalan ibu bapa dalam mendidik akhlak anak. Ibu bapa bersikap lepas tangan dalam soal pendidikan akhlak anak berpunca diri ibu bapa sendiri kurang didikan akhlaknya.
Proses mendidik anak bermula sejak alam kanak-kanak lagi. Tanam dan suburkan sikap menghormati ibu bapa, orang dewasa, rakan, berbudi bahasa, jangan berbohong, sabar dan jujur dalam diri kanak-kanak.
Ibu bapa tidak boleh berkompromi dengan sikap anak yang nakal melakukan perbuatan tidak baik. Jangan anggap itu perkara biasa dilakukan oleh kanak-kanak yang akan bertukar baik apabila meningkat dewasa. Sebenarnya, kebiasaan itu akan kekal dalam diri jika tidak diubah ketika kecil.
Sesungguhnya pembentukan akhlak memerlukan masa berterusan. Ibu bapa dan keluarga mengamalkan budaya hidup positif adalah sebahagian proses mendidik anak. Penghayatan dan amalan yang dilakukan hasil dari asuhan ibu bapa, keluarga dan masyarakat akan membentuk jatidiri seseorang.
Budaya atau cara hidup masyarakat mempengaruhi nilai diri seseorang. Sebab itu amat penting seseorang bergaul dalam kelompok yang mengamalkan budaya hidup sihat. Selain ibu bapa dan keluarga, pengaruh rakan sebaya dan persekitaran paling kuat mempengaruhi pembentuk akhlak dan sahsiah remaja.
Justeru, ibu bapa perlu mengawal anak mereka agar tidak berkawan dengan rakan sebaya yang bermasalah dari segi akhlak dan pekertinya. Ibu bapa perlu ambil tahu dengan siapa anak berkawan dan apa yang dilakukan untuk mengelak anak terpengaruh dengan unsur negatif.
Bahkan, masyarakat sepatutnya menegur jika melihat ada golongan remaja melakukan perbuatan tidak baik. Sikap masyarakat tidak ambil peduli perbuatan tidak bermoral remaja sebenarnya boleh mengundang masalah kepada masyarakat sendiri.
Cara mendidik bukan dengan secara memberitahu atau menyatakan teorinya saja. Mesti ada contoh untuk diikuti. Remaja lebih mudah mengikuti apa yang dilakukan orang dewasa, berbanding mendengar saja itu baik dan ini buruk.
Sesungguhnya, apa dilakukan ibu bapa lebih banyak mempengaruhi pembentukan akhlak anak berbanding apa yang dicakapkan. Oleh itu, ibu bapa perlu sentiasa menunjukkan teladan yang baik agar mudah diikuti.
Kegagalan ibu bapa mempamerkan cara hidup yang baik sama seperti 'mendidik’ anak melakukan akhlak buruk. Anak mudah meniru apa yang dilakukan oleh ibu bapa dan menganggapnya sebagai semuanya betul.
Tingkah laku ibu bapa yang sering memperlihatkan sikap kasar, mencarut, tidak menghormati orang lebih tua, malas, tidak bertimbang rasa dan biadab menyebabkan anak turut terpengaruh mengikuti sikap berkenaan.
Kasih sayang adalah pengikat hubungan antara semua ahli keluarga. Rasa disayangi, dimiliki dan dihormati dapat menghalang diri daripada melakukan perbuatan yang tidak disukai keluarga. Anak yang terdidik akhlaknya tidak akan mengecewakan keluarga yang sentiasa mengasihinya.
Remaja daripada keluarga yang subur dengan kasih sayang akan berasakan bahawa setiap apa yang dilakukan memberi kesan kepada seluruh ahli keluarga. Setiap apa yang dilakukan akan difikirkan apakah kesan terhadap diri dan keluarganya. Sesuatu yang buruk sudah tentu akan dijauhi dari dilakukan atau terlibat sama.
Didikan akhlak adalah harta pusaka paling berharga daripada ibu bapa kepada anak. Mereka yang terdidik akhlaknya dapat menggunakan harta paling berharga itu sepanjang hidupnya tanpa berkurang sedikit.
Sebaliknya, anak yang mendapat harta yang banyak daripada ibu bapa, tetapi miskin akhlaknya, melalui hidup yang sukar. Anak menggunakan harta kekayaan milik ibu bapa dengan melakukan perbuatan yang akan merosakkan diri sendiri.
Sebab itu, ibu bapa yang baik lebih mementingkan memberi kasih sayang, mendidik pekerti mulia dan memberi perhatian kepada anak sebagai bekalan meneruskan kehidupan yang penuh pancaroba ini.
Individu yang mengetahui hukum halal haram dan tuntutan syariat tidak akan terbabit dengan perkara mendatangkan keburukan dan merugikan.
Pemahaman agama yang betul pasti akan membentuk sahsiah yang menuju ke arah kebaikan. Malah, perlakuan hasil penghayatan terhadap ajaran agama menjadi perhiasan diri yang mampu menarik orang lain turut melakukan kebaikan yang sama.
Apa yang berlaku dalam masyarakat membabitkan semua pihak. Perkara yang baik dikongsi bersama, manakala yang buruk cuba diatasi dengan bijaksana. Masyarakat hendaklah menghentikan sikap tuduh menuduh. Tindakan yang sepatutnya ialah mencari jalan penyelesaian bagaimana memperbaikinya. Pastikan anak tidak lagi terbabit melakukan perbuatan buruk.
Kita yakin, jika ibu bapa mampu mendisiplinkan anak di rumah, pasti anak itu akan berdisiplin ketika berada di luar rumah.
Sikap meletakkan kesalahan pada pihak lain tidak akan menyelesaikan masalah. Sudah pasti pihak yang dipersalahkan itu ada keinginan untuk mempersalahkan pihak lain pula.
Sumber: Berita Harian