Semaian Kasih
Wednesday, 5 November 2008
Ustaz Nazri mengakui beliau dan isterinya, Mozirisah Mohd. Zain tidak melalui proses cinta sama seperti orang lain.
"Selepas 3 tahun berada di Mesir, usia saya pun sudah mencecah 25 tahun. Ketika itulah saya memberitahu rakan sekelas hasrat hati untuk mendirikan rumah tangga. Saya minta tolong dia carikan calon lalu dia memberitahu isterinya. Selang beberapa hari, teman saya menunjukkan sekeping gambar seorang gadis."
KELUARGA BAGI SYARAT
"Sebaik menatapnya saya terus bersetuju. Lalu saya solat istikharah selama seminggu dan berdoa. Selama itulah hati saya tenang dan tenteram. Saya kira itulah petanda jodoh saya.
Yang lucunya, sewaktu berdoa saya lupa nama isteri. Maklumlah namanya memang sukar untuk disebut apalagi diingati. Kemudian, saya beritahu sahabat saya untuk melihatnya. Pertemuan diatur di rumah sahabat dan isteri saya ke rumahnya. Saya pula ambil peluang melihat isteri dengan menyembunyikan diri di rumah mereka. Lalu saya beritahu keluarga di Malaysia untuk pergi meminang dan menikahinya. Tetapi hasrat saya ditolak oleh keluarga sebelah isteri yang bimbangkan pelajaranya terganggu. Tetapi saya tidak putus asa dan menghantar rombongan meminang dengan menyatakan bertunang dahulu. Kali ini keluarga sebelah isteri memberi syarat hanya boleh menikah selepas isteri habis belajar iaitu selepas 2 tahun. Saya pula minta agar pertunangan dipendekkan menjadi setahun dan mereka bersetuju.
Namun hal itu tidak berlaku kerana saya tidak mahu bertunang terlalu lama lalu kami bernikah selepas sebulan bertunang. Segala urusan pernikahan dilakukan oleh saya sendiri dengan bantuan rakan - rakan di Mesir. Walaupun tanpa kehadiran kedua belah pihak, majlis tetap berlangsung dengan meriah dan sederhana." ujarnya bercerita mengenai kisah perkenalan ringkas yang berakhir di jinjing pelamin itu.
SUAMI RAJIN MEMBANTU
Sementara isterinya yang berasal dari Perak memberitahu ketika berada di tahun kedua Syariah Universiti Al-Azhar, seorang sahabat memberitahu ada orang ingin berkenalan dan sudah tentu beliau agak terkejut.
"Sahabat ini tadi menunjukkan gambar suami dan setelah melihat gambarnya tanpa teragak-agak terus bersetuju. Saya tidak membuat solat istiqarah sebaliknya saya selidik latarbelakangnya melalui kawan-kawan."
Suami saya tabah, bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu, sentiasa memajukan diri, ringan tulang, dan pandai mengambil hati dengan gurauannya.
Ketika dalam pantang bersalin anak pertama (pasangan kembar), tanpa disuruh dia akan membantu saya membasuh, menyidai pakaian, memasak, mengemas rumah dan mejaga anak kembar kami. Setiap pagi sebelum ke kelas, dia akan menjemur pakaian terlebih dahulu. Pulang dari belajar dia akan memasak dan mengemas rumah. Sememangnya dia seorang suami yang penyayang dan bertanggungjawab.
Sudah tentu dengan segala kurniaan Allah ini melengkapkan kehidupan saya sebagai seorang isteri dan juga ibu kepada 4 orang cahaya mata" ujarnya anak sulung daripada 6 adik beradik ini.
Majalah MW