Nikahun Mubarakun Akh Asmat & Ukht Liana!

Saturday, 1 November 2008






Ya Allah
Kami menzahirkan diri kami pada hari ini
Untuk sama-sama meraikan pembentukan sebuah lagi masjid umatMu

Berkatilah, Ya Allah, kehadiran kami ini
Semoga berkatMu ini akan menjadi penyubur
Pada pembinaan perkahwinan yang penuh dengan mawaddah dan rahmah

Ya Allah Ya Rabbana
Kami hanya mampu untuk menadah tangan kami kepadaMu
Dan memohon kepadaMu dengan penuh munajat
Agar apa yang kami pinta ini dimakbulkan

Sekiranya pada diri kami ini masih ada kelemahan dan dosa
Janganlah, Ya Allah, perkara ini menjadi penghalang pada termakbulnya doa kami
Yang terbit dari hati yang ikhlas
Dan dari jiwa yang sentiasa mengharapkan kebesaran serta keampunanMu

Allahumma
Kami berdoa agar kedua mempelai ini
Akan terus melengkapkan iman mereka
Melalui perkahwinan mereka

Bekalkan mereka dengan kasih sayang sejati
Perasaan belas kasihan yang hakiki
Tekad usaha yang tidak mengenal penat
Tawakkal kepadaMu yang tidak mengenal pasrah
Kesetiaan antara satu sama lain yang tidak mengenal sangsi
Ketaatan pada orang-orang tua mereka yang tidak mengenal derhaka
Dan yang terpenting
Keimanan padaMu yang tidak mengenal ingkar

Ya Rahman, Ya Rahim
Insafikan mereka berdua ini
Bahawa kejayaan perkahwinan mereka
Bukan bermula dengan kekayaan
Bukan bertapakkan kedudukan
Dan bukan bersemarak dengan pujian

Insafikan mereka, Ya Allah
Sebagaimana juga kami yang lain telah diinsafi
Bahawa kebahagiaan perkahwinan mereka
Bermula dengan tidak lupa padaMu
Dengan sentiasa merindukan kehadiranMu
Dan dengan berkekalan mensyukuri nikmat iman anugerahMu

Kurniakan kepada mereka berdua
Sifat saling kukuh-mengukuh
Sebagaimana berlakunya antara Rasulullah SAW dengan Khadijah
Kerana sesungguhnya mereka berdua akan melalui perjalanan yang tidak lekang dari diuji

Kurnia kepada si isteri kesetiaan kepada suaminya
Sebagaimana kesetiaan Zainab binti Muhammad SAW
Pengabdian kepada Allah SWT
Sebagaimana pengabdian Rabiah Al-Adawiyah
Dan iltizam untuk menjadi isteri serta ibu yang solehah
Sebagaimana yang ada pada Sumayyah binti Hubbath

Kurniakan jua kepada si suami
Kebijaksanaan membimbing isterinya ke ambang syurga
Dan semoga dia sabar dengan apa pun yang menduganya
Sebagaimana Nabi Allah, Ayyub, bersabar dengan ujian terhadap imannya, kesihatannya dan keluarganya

Ya Allah
Sesungguhnya tidak ada doa yang susah bagiMu untuk makbulkan
Bagi kami yang sama-sama menghadiri majlis pada hari ini
Insafi juga diri kami supaya kami mampu menjadi contoh yang hidup bagi kedua mempelai ini

Bagi ahli keluarga kedua mempelai yang telah kembali ke rahmatMu
Izinkan arwah mereka untuk menyaksi saat-saat kebahagian mereka berdua
Semoga anak, cucu dan keturunan mereka
Akan merupakan insan-insan yang bakal menjadi tonggak agamaMu
Dan tanah air yang kami cintai ini


Nowseeheart - 10 Hajat - Doa Majlis Kahwin


Posted by hAiRiL/spiderman_pink at 23:32  

0 comments:

Post a Comment