Nak Juga Cakap Arab!

Friday, 7 November 2008



“Aduh, lambat kita ni!” saya menggelabah.

Ucop dan Munawwar pun berjalan sama.

Hari ini hari pertama Ramadan. Jadual kuliah berubah kerana setiap kelas dipendekkan masa. Kami tersilap melihat jadual, dan sekarang sudah setengah jam lewat masuk ke kelas. Bukan kelas sebarangan, tetapi kelas Hadith 1 yang diajar oleh Dr. Ahmad Hasan al-Jawwad. Pensyarah paling garang, menggerunkan!

“Anta la ketuk pintu!” Munawwar menyuruh saya.

“Ishh… anta la. Kecut perut ana ni,” saya mengelak.

“Haa, anta la Ucop. Muka anta baik, mesti sejuk hati doktor,” kami menolak Ucop.

“Err… baiklah. Ana berkorban!” kata Ucop, pasrah.

Pintu kelas diketuk.

Dr. Ahmad Hasan al-Jawwad menoleh. Renungannya bagai menembus jantung kami.

“Kenapa lambat?” beliau menyergah. Keras benar bunyinya.

“Kami tersilap melihat jadual,” saya menjawab antara berani dan takut.

“Sudah, pergi berdiri di belakang kelas!” katanya.

Aduh… malu sungguh terasa. Terkenang kembali zaman sekolah rendah dulu. Lebih baik kami ghaib sepenuhnya daripada kelas pagi ini, berbanding seksa menerima hukuman berdiri. Saya, Munawwar dan Ucop berdiri di belakang. Semua mata memerhati.

Pensyarah meneruskan kuliahnya seperti biasa.

Kami pula kelam kabut menyalin nota sambil berdiri.

Tiba-tiba pintu kelas diketuk.

“Sudah, maut laa mamat sorang ni!” saya berbisik ke Munawwar.

Seorang lagi pelajar senasib dengan kami. Sahabat dari Pattani.

“Grr… seorang lagi. Apa kamu nak????” Dr. Jawwad mengherdik pelajar itu tadi.

“Err doktor, boleh saya Tafaddhal?” beliau bertanya.

Seluruh kelas ketawa berderai mendengar permintaannya. Dr. Jawwad yang bengis itu pun ketawa sampai berair matanya.

Mungkin pelajar itu tadi menyangka bahawa perkataan tafaddhal itu bermaksud ‘masuk’ sebab setiap kali beliau melihat orang Arab menjemput masuk, perkataan yang digunakan adalah tafaddhal! Sedangkan kalimah tafaddhal itu bermaksud ’silakan!’. Subhanallah, tidak pernah dalam kelas Hadith kami ketawa seperti pagi ini.

“Ahaa, boleh, kamu boleh tafadhhal!” kata Dr. al-Jawwad lagi.

Kami tambah ketawa besar.

Oleh kerana kelas telah menjadi kucar kacir, Dr. al-Jawwad telah membatalkan kelas kami yang tinggal 10 minit berbaki itu.

“Aku puasa!” kata beliau semasa meninggalkan kami yang mengesat mata kerana terlebih suka.

TAWAF

“Ya Allah, ampunkan dosa dan kesalahanku,” saya bermonolog sendirian semasa bertawaf mengelilingi Kaabah.

Jika di masjid-masjid lain, penghormatan kita adalah dengan mengerjakan solat sunat dua rakaat sebelum duduk. Tetapi di Masjidil Haram, sunnah penghormatan kepadanya adalah dengan tawaf sunat.

Suasana sungguh hening. Kelihatan burung-burung terbang riang di langit bersih. Malam itu sungguh mendamaikan.

Tiba-tiba telinga saya tertangkap bacaan doa seorang lelaki dan kawan-kawannya di sebelah. Mungkin dari Pakistan. Beliau khusyuk membaca buku yang dipegang di tangan lagak seorang mutawwif, manakala kawan-kawannya mengikut bacaan beliau.

“Allahumma, akhrijna!” katanya.

“Allahumma, akhrijna!” ulang mereka.

“Minad-dhulumaat!” bacanya lagi.

“Minad-dhulumaat!” ulang mereka bersamanya.

“Ilan Naar!” baca mutawwif itu tadi.

“Ilan Naar!” kawan-kawannya mengikut. Setia dan sempurna.

Saya hampir terbelahak mendengarnya. Terasa mahu ketawa, tetapi terkenangkan suasana di sisi Kaabah, segera saya menggigit lidah menahan geli hati.

Moga Allah tidak maqbulkan doa mereka di sisi Kaabah, kerana mereka meminta dikeluarkan daripada kegelapan kepada Neraka! Sepatutnya dibaca ilan Noor, iaitu daripada kegelapan kepada ‘Cahaya’!

Hendak ditegur, mereka sudah pun bergerak jauh ditolak ribuan jemaah haji yang sedang bertawaf. Saya hanya mengurut dada.



SA’IE

Badan terasa agak penat.

Sebelum memulakan sa’ie tujuh perjalanan, saya berehat sebentar di tepi Bukit Sofa. Jika boleh dipanggil bukit.

Hanya tinggal sedikit batu hitam, tinggalan zaman berzaman.

Entah macam mana, pendengaran saya tertangkap bacaan oleh sekumpulan jemaah dari Turki. Mutawwifnya membaca sebuah buku yang saya kira ia di dalam Bahasa Arab.

“Dan kemudian!” katanya.

“Dan kemudian!” ikut ahli kumpulannya.

“Angkatlah tanganmu ke arah kiblat!” bacanya lagi. Penuh semangat.

“Angkatlah tanganmu ke arah kiblat!” ulang jemaahnya.

Subhanallah! Mutawwif itu tidak sedar bahawa apa yang dibacanya bukanlah zikir atau pun doa, tetapi ayat arahan tentang kaifiyat memulakan Sa’ie!

Saya menepuk dahi.

“Ya Allah, apakah yang diminta oleh hamba-hamba-Mu ini?” saya keliru antara mahu ketawa dan berduka menyaksikan ‘bencana’ ini.

DOA DAN MAKNA

Berdoalah di dalam bahasa yang kita faham. Semua bahasa adalah bahasa hamba Allah. Dia memahami apa sahaja ungkapan kita, tanpa perlu berbahasa Arab secara dipaksa-paksa. Doa di dalam Bahasa Melayu, Urdu dan Turki, dengan memaksudkan apa yang dipinta, lebih bermakna daripada doa Bahasa Arab yang panjang sedepa, tetapi kosong dari makna dan penghayatan.

“Ustaz, macam mana nak doa minta mudahkan jodoh?” tanya seorang jemaah di masjid kepada saya.

“Ya Allah, mudahkanlah jodohku! Itu sahaja.

Mulakan dengan Tahmid dan Selawat. Tutup dengan Selawat dan Tahmid!” saya menjawab.

Penyoal terpinga-pinga, bagai tidak percaya.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Posted by hAiRiL/spiderman_pink at 23:32  

0 comments:

Post a Comment