Ummah perlu berjuang martabatkan Islam

Monday, 19 January 2009

Tajdid Iman:
Oleh Dr Juanda Jaya


Semangat hijrah seru Muslim bangun, bela, lindung negeri daripada sebarang anasir jahat

ALLAH menjadikan hijrah Rasulullah SAW sebagai mercu sejarah yang amat bermakna untuk dijadikan panduan bagi umat Islam hingga akhir zaman. Hijrah bukan hanya bermakna menghindar daripada seksaan, fitnah, caci maki dan ancaman bunuh semata-mata, malah ia satu strategi mendirikan masyarakat baru dalam negeri yang aman.

Oleh itu, menerusi semangat hijrah, setiap Muslim wajib berperanan membangun negerinya, melindungi dan membela daripada sebarang anasir jahat. Umat Islam kini sewajarnya mempelajari strategi pembangunan umat di Madinah pasca hijrah dengan meneladani perjuangan Rasulullah SAW.

Mula-mula Baginda SAW melakukan penjenamaan semula terhadap nama negeri yang menjadi asas pembentukan negara Islam pertama iaitu Yathrib diganti dengan al-Madinah al-Munawwarah. Hal itu menunjukkan kebijaksanaan politik yang terserlah daripada keperibadian Rasulullah SAW.

Nama negara Islam yang baru seolah-olah mahu menunjukkan satu kedaulatan baru sudah terbentuk di Madinah, sebuah negara baru yang mahu diiktiraf oleh seluruh kabilah di sekitarnya.

Rasulullah SAW sudah memerdekakan umat Islam dengan terbentuknya negara Madinah yang menjadi milik semua kaum tanpa memilih apakah bangsa dan agama mereka, adakah dia pendatang atau orang asli suatu negeri.

Bukankah puak Aus dan Khazraj, kaum Nasrani dan Yahudi juga diiktiraf sebagai warga negara yang dilindungi undang-undang di bawah kedaulatan negara Islam Madinah? Bahkan Rasulullah SAW melarang sesiapapun menyakiti kafir zimmi.

Selepas berdirinya kedaulatan baru, maka kekuatan politik Madinah diperkuat dengan terbentuknya persefahaman antara semua pemimpin kaum di Madinah dengan menyetujui butir-butir perjanjian yang dinamakan ‘Piagam Madinah’.

Kematangan politik sahabat yang dipimpin Rasulullah SAW semakin terserlah apabila mereka menjaga kepentingan semua kaum, salah satu terma perjanjian dalam Piagam Madinah itu bahkan menyebut bahawa: “Semua warga negara memiliki persamaan hak dan kewajipan, hubungan mereka didasari dengan semangat persaudaraan dan keadilan.”

Kemudian piagam ini juga menyetujui mengenai hak kaum Yahudi secara terperinci, ia berbunyi: “Orang Yahudi yang menyatakan kesetiaan kepada umat Islam harus dilindungi, mereka tidak boleh dianiaya dan diperangi.”

Piagam Madinah pada tahun pertama hijrah (bersamaan 622 masihi) adalah dokumen politik Islam pertama yang dipersetujui oleh pemimpin kaum sejak 14 abad silam. Mereka boleh bersatu dan jujur dalam perhubungan antara kaum itu.

Persaudaraan adalah konsep asasi dalam tamadun Islam kerana semangat persaudaraan yang diperkenalkan Islam tidak pernah membeza-bezakan bangsa dan kepercayaan semua kaum. Mereka boleh bersatu dalam satu perjanjian yang jujur dengan menjunjung nilai akhlak tinggi.

Islam sudah memulakan persamaan dan keadilan dalam menyatukan manusia jauh lebih awal sebelum terjadinya Revolusi Perancis yang pernah menyuarakan ungkapan ‘Liberte, Eligate, Fraternite’ (kebebasan, persamaan dan persaudaraan).

Tetapi, sejarah merakamkan perbuatan khianat orang munafik dan puak Yahudi yang melanggar perjanjian itu. Mereka melakukan tipu daya jahat hendak menghancurkan Islam dengan pelbagai cara. Konflik yang terjadi akibat pengkhianatan mereka semakin membesar sehingga mencetuskan tiga peperangan yang terkenal iaitu perang Badar (tahun kedua Hijrah/623 Masihi), perang Uhud (tahun ketiga Hijrah/625 Masihi) dan perang Khandak (tahun kelima Hijrah/627 Masihi).

Pada peperangan Badar, 70 tawanan berhasil ditangkap dan mereka boleh membebaskan diri dengan syarat setiap orang mengajar 10 orang Islam, akhirnya 700 orang Islam dapat dibebaskan daripada buta huruf.

Hal ini menunjukkan bahawa negara Islam Madinah juga menumpukan urusan pendidikan di samping kekuatan ekonomi juga diberi perhatian. Orang Ansar terkenal dengan sistem pertanian yang menonjol dan kaum Muhajirin pula adalah peniaga yang berjaya hingga melakukan transaksi jual beli hingga ke luar negara.

Sumber pendapatan negara pula bergantung dengan pengutipan dan pembahagian harta rampasan perang, jizyah, pajak sewa tanah ke atas orang Yahudi yang kalah dalam peperangan dan sedekah, pendapatan daripada hasil pembayaran tawanan perang dan kutipan zakat. Pada tahun kedua Hijrah diwajibkan pengambilan zakat oleh negara untuk dibahagikan kepada yang berhak menerimanya.

Sekali lagi, kekuatan politik baru negara Islam Madinah semakin menakutkan musuhnya ketika Rasulullah SAW melakukan satu lagi kebijaksanaan politik yang memaksa kaum Quraisy mengakui kedaulatan Islam di Madinah.

Pada tahun keenam Hijrah, selepas kekuatan Islam terbina dengan kukuh, Rasulullah SAW mengumpulkan sebanyak-banyaknya kaum Muslimin bukan hanya penduduk Madinah bahkan seluruh kaum dan puak lain di sekitarnya yang memeluk Islam melakukan umrah ke Makkah.

Rasulullah SAW datang bukan untuk berperang, Baginda hanya mahu menunjukkan kekuatan Islam. Hal itu menakutkan orang Quraisy dan mereka akhirnya mahu melakukan perundingan damai, maka terjadilah perundingan Hudaibiyah yang terkenal itu.

Kejayaan diplomasi itu memperkukuh politik negara Islam Madinah, walaupun pada permulaannya sahabat ramai yang tidak bersetuju dengan isi perjanjian itu. Akhirnya mereka melihat bahawa ketajaman dan kehalusan perancangan Rasulullah SAW tidak dapat difahami oleh akal fikiran mereka.

Hal itu menunjukkan bahawa kebijaksanaan Rasulullah SAW dikawal oleh wahyu, arahan dari langit. Keuntungan diperoleh daripada perjanjian Hudaibiyah ini dapat disenaraikan sebagai berikut:

* Kedua belah pihak mengadakan gencatan senjata selama 10 tahun. Sahabat yang berkekuatan melebihi kekuatan orang kafir waktu itu tentu berasa dirugikan. Tetapi akhirnya mereka boleh membuka mata dengan perjanjian pertama itu kerana Rasulullah SAW tidak mahu pertumpahan darah berlaku serta merugikan kedua-dua pihak.

Di samping itu, dengan perdamaian berkenaan Rasulullah SAW boleh menumpukan perhatian kepada pembangunan Madinah dan dakwah ke luar negara, di mana diadakan hubungan dua hala antara Madinah dengan sejumlah kuasa besar ketika itu seperti penguasa Najasyi, penguasa Rom, Kaisar Hercules dan Mauqaqis yang pernah menghadiahkan Mariah Qibtiyah kepada Rasulullah SAW.

Ketiga-tiganya menyambut baik hubungan dua hala dengan Madinah. Umat Islam juga tidak berasa khuatir dengan gangguan kaum Quraisy lagi kerana mereka terikat oleh perjanjian gencatan senjata berkenaan.

* Sesiapa dari golongan Quraisy yang lari kepada Muhammad SAW harus dikembalikan dan sesiapa pengikut Muhammad SAW yang lari tidak boleh dikembalikan.

Melihat isi perjanjian yang kedua itu seakan-akan berat sebelah, tetapi Rasulullah SAW sudah pun memikirkannya dengan begitu cermat. Tidak akan ada orang Islam Madinah yang murtad dan lari kerana iman mereka sudah teruji, bahkan jika ada yang murtad, maka mereka itu adalah pengkhianat kepada Islam dan Islam tidak memerlukan mereka.

Orang yang murtad pun jika dikekalkan hidup dalam masyarakat Muslim akan membahayakan orang Islam kerana boleh jadi mereka akan jadi musuh dalam selimut. Jadi, adalah lebih baik jika mereka dibiarkan lari daripada kuasa Islam.

Bagi orang yang mahu bergabung dengan Islam tetapi dikembalikan kepada kaum Quraisy memang menimbulkan kesedihan di hati keluarga mereka yang lebih dulu berhijrah. Mereka tidak boleh menolong ahli keluarga yang mahu berhijrah selepas itu.

Tetapi, orang Islam yang terikat di Makkah tanpa dapat melarikan diri ini akhirnya berkumpul dalam satu kumpulan di suatu tempat dan melakukan gangguan kepada kafilah dagang kaum Quraisy yang Muhammad SAW bebas mengadakan hubungan dua hala dengan kuasa besar di mana saja dan begitu juga Quraisy boleh melakukan hubungan sebegitu. Hal ini jelas menguntungkan Islam kerana Rasulullah SAW bebas melakukan dakwah kepada siapapun tanpa gangguan Quraisy.

Pada waktu itu ada beberapa kerajaan yang melakukan hubungan diplomatik dengan Madinah. Rasulullah SAW pula mengirim utusannya ke Rom, Persia, Ghassan, Yaman, Mesir dan Habsyah. Ada yang menerima baik hubungan itu dan masuk Islam tetapi ada juga yang menolak dan melancarkan permusuhan hingga memerangi umat Islam.

Akhirnya, sebelum genap 10 tahun lagi orang kafir Quraisy berasakan kerugian daripada persetujuan mereka dalam perjanjian itu. Banyak keuntungan yang diperoleh kaum Muslimin dengan perancangan politik begitu teliti dan bijak itu.

Ini semua bermula daripada hijrah yang membawa sinar cerah bagi masa depan Islam. Hijrah bukan bermakna mahu menumpang hidup dan menyusahkan orang lain, tetapi Rasulullah SAW dan sahabat menjadi orang yang memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat baru, membina kematangan politik dan berperanan dalam menyampaikan dakwah Islam ke merata dunia.

Adakah perjuangan kita hari ini adalah satu mata rantai yang sama dengan mereka? Itu bergantung sikap dan sifat perjuangan yang kita jalani, adakah mengikut sunnah Rasulullah SAW demi mendaulatkan agama Allah di mata dunia? Atau ramai yang sudah silau dengan godaan dunia?

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Beribadah pada saat-saat huru-hara (dunia kacau-bilau) adalah seperti berhijrah kepadaku.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Beribadahlah dengan cara berjuang memartabatkan Islam di mata dunia, inilah hijrah sebenar umat Islam hari ini.

- Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui Juanda@msu.edu.my

Posted by hAiRiL/spiderman_pink at 23:32  

0 comments:

Post a Comment