Umat, Palestin perlu bersama setiap masa

Sunday, 11 January 2009

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
[salidasuhaila99@yahoo.com]


Tabung kemanusiaan tanda prihatin, walau tidak mampu jejak kaki ke bumi bergolak

ISLAM mengajar umatnya mengukuhkan hubungan bersaudara. Pelbagai aliran fikrah, bertikam lidah dan berlainan pandangan adalah perkara biasa, tetapi agama tetap dijunjung dan kekal perkasa kerana itulah yang utama, walau apapun ranjau melanda.

Adalah berdosa, jika kita terus bertelagah, apatah lagi sengaja mencari salah, sedangkan agama terus diperlekeh oleh orang yang sentiasa mencari jalan untuk menghancurkan Islam di bumi Allah ini. Apatah lagi membiarkan saudara kita di Palestin terus menderita, tanpa melakukan apa-apa.

Usaha dilakukan semua golongan daripada pelbagai peringkat menunjukkan betapa kita menyedari bahawa kita bukan saja ingin menyelamatkan nyawa saudara seagama di Palestin, tetapi mempertahankan kesucian kiblat pertama umat Islam, iaitu Baitulmaqdis.

Tindakan segera rakyat Malaysia yang prihatin dengan menubuhkan tabung kemanusiaan untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada rakyat Palestin adalah salah satu cara menghulurkan sikap kebersamaan, walau tidak mampu menjejak kaki ke sana untuk membantu seberapa terdaya.

Cadangan memulaukan semua produk dan perkhidmatan yang mempunyai kepentingan dengan Israel dan Amerika Syarikat (AS), serta tidak menggunakan mata wang dolar dalam sebarang urusan perdagangan disambut baik.

Ia sepatutnya bukan seperti pepatah ’sekali air bah, sekali pantai berubah’, sedangkan Israel, AS dan sekutunya tidak pernah puas menyeksa kaum Muslimin dengan pelbagai bentuk atau cara. Sejak dulu lagi bangsa Yahudi tidak pernah mengenal mangsa sama ada bayi, kanak-kanak, remaja, lelaki, wanita, Nabi dan Rasul atau orang biasa. Mereka akan membunuh tanpa rasa belas kasihan dan simpati.

Allah merakamkan kalam-Nya yang bermaksud:

“Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka dan mereka kufur akan ayat keterangan Allah dan mereka membunuh Nabi dengan tiada suatu alasan yang benar dan mereka berkata: hati kami tertutup. Bahkan Allah telah memeterai hati mereka disebabkan kekufuran mereka. Oleh itu mereka tidak beriman kecuali sedikit saja di antaranya.” (Surah an-Nisa’, ayat 157)

Wilayah Palestin yang hari ini semakin terhimpit di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat bagaikan menanti masa untuk dihapuskan sepenuhnya daripada peta dunia. Negara Israel yang kuat memusuhi Islam dan Arab itu bukan sekadar ingin menguasai Palestin yang juga tempat lahir dan tempat tinggal sebahagian besar Rasul dan Nabi.

Bukan saja tempat terletaknya Masjid al-Aqsa, di mana berlakunya Israk dan Mikraj yang sehingga kini terus dikenang umat Islam tetapi juga ingin berkuasa di negara Arab lainnya termasuklah Jordan, Syria, Lebanon, Iraq, Semenanjung Sinai dan Madinah al-Munawwarah.

Sifat keji Bani Israel dinyatakan Allah dalam sabda yang bermaksud:

“Orang kafir Yahudi dari Bani Israel telah dilaknat (di dalam Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan menceroboh.” (Surah al-Maidah, ayat 78)

Memang sukar untuk mengalahkan Israel dan sekutunya kerana mereka memiliki peralatan ketenteraan dan senjata nuklear yang hebat kecuali dengan kuasa Allah. Justeru, kesepakatan dan persaudaraan umat Islam adalah senjata paling kuat untuk melawan mereka dengan tidak terus menyanjung dan bergantung kepada kuasa manusiawinya sedangkan kita mempunyai Dia Yang Maha Berkuasa.

Oleh kerana itulah Allah memberikan kita peringatan bahawa golongan kuffar tidak sekali-kali akan melindungi Islam dan umatnya. Firman Allah yang bermaksud:

“Orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (mengenai kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 120)

Tidaklah menghairankan apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mempelopori hak asasi manusia dihasilkan daripada pemikiran Barat dan dipersetujui dalam Persetujuan Antarabangsa Tentang Hak Sivil dan Politik yang dikuatkuasakan pada 23 Mac 1976, kononnya tiada sempadan agama dan negara dalam mempertahankan kebebasan manusia untuk hidup tidak pula memperjuangkan hak rakyat Palestin untuk hidup dengan aman sehingga 22 hari Wilayah Palestin dicabul dan rakyatnya dibunuh kejam.

Itulah sikap negara kuasa besar lainnya yang sentiasa berdiam diri apabila membabitkan kepentingan umat Islam dan begitu proaktif mengenai isu menyentuh kepentingan masyarakat bukan Islam.

Tentulah kita sedar bahawa daripada apa yang berlaku, maruah umat Islam tidak sekali-kali akan terbela jika kita terus mengharapkan bantuan orang bukan Islam sama ada melalui undang-undang dunia atau simpati mereka.

Umat Islam mestilah membuang sikap tidak peduli terhadap kekuatan akidah, syariat, ibadah dan akhlak iaitu syarat utama kekuatan dan keperkasaan ummah seperti mana digerakkan Rasulullah SAW kepada sahabat Baginda sewaktu menghadapi musuh Islam tidak lama dulu.

Umat Islam juga perlu sensitif terhadap pemerkosaan hak, sama ada nyawa mahupun harta benda kerana ia adalah hak milik setiap insan di dunia. Janganlah sekali-kali umat Islam pasrah dengan golongan kuffar, sehingga menjadikan mereka sekutu untuk melawan saudara seagama, sedangkan umat Islam adalah bersaudara, sampai bila pun kita mesti terus bersama.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Malaysia (Usim)

Posted by hAiRiL/spiderman_pink at 23:32  

0 comments:

Post a Comment