Meniti harapan masa depan

Sunday, 29 July 2007

Hidup tidak memerlukan kita tetapi kita memerlukan hidup walaupun hidup itu penuh cabaran. Gunakan akal kerana akal seperti payung terjun tidak akan berfungsi jika tidak dibuka. Untuk tunjukkan pada orang kita kuat, dalaman mesti kuat. Pokok tak akan sihat, kalau akarnya tak kuat.

Kesusahan dalam hidup laksana musim dingin, basah dan lembab tidak disukai manusia dan haiwan. Tetapi sesudah musim sejuk tumbuh pula bunga-bunga yang harum dan buah yang subur. Begitulah! pada setiap musim luruh, diri ini setia mengutip kekuatan dan semangat untuk tabah menghadapi sejuknya musim dingin. Dan bila musim panas tiba, diri ini dapat gagah berdiri merentang angin. Begitulah perumpamaan hidup ini.

Ombak datang kita terima. Ombak pergi, kita relakan juga walaupun dengan hati yang pasrah. Pantai tahu ombak tak pergi sendiri-sendiri, pergi bersama pasir kelautan. Pasir itulah kenangan.

Ibarat memandang bulan, terlupa cahaya pelita di kamar. Seperti mahu berumah tanpa dinding, beratap dengan langit. Seperti mahu menghirup embun dan melupakan air di perigi. Kalaulah sudah takdir hilang mentari di hujung langit, terbayarkah harga sekeping hati yang tidak mahu redha...? Sedangkan ia tetap pergi jua.

Kalau kita terpaksa menderita untuk menahan diri daripada melakukan apa yang Dia tak suka, biarlah kita menderita kerana pengorbanan itu biarpun pahit, tapi janji Allah tetap pasti bahawa akan ada manisnya dalam pengorbanan itu. Kita hanya kan sedar kemanisan itu setelah berjaya melalui detik-detik yang sukar. Kenyataan tidak akan jadi semudah apa yang diinginkan. Disitulah letaknya nilai kehidupan.

Fajar tiba membawa sinar baru buat insan yang menunggu kehadirannya dengan harapan pada sepanjang malam. Titisan embun yang menempel didedaun sesekali kelihatan seperti sebutir permata tanpa kilauan. Apapun yang pastinya apabila jendela dibuka, angin pagi senyaman udara subuh akan menyapa dan membawa khabar rindu seperti selalu.

Kalaulah diri ini seperti embun, agaknya diri ini akan lebur sebelum fajar terbit. Ya Allah kiranya yang aku tanggung penuh luka ini adalah sesuatu yang sia-sia disisiMu, lenyapkanlah, padamkanlah. Namun kiranya rasa kasihku ini adalah dalam redhaMu, mekarkanlah selalu meskipun diri ini harus bertarung antara bahagia dan derita. Mungkin diri ini lebih lemah daripada setitis embun. Tiada kekuatan menghadapi malam yang gelap sepi dan dingin, tiada kekuatan untuk menanti meskipun ada kesetiaan di hati.

Dan perasaan itu sama ada bahagia atau cinta, derita atau kecewa, kalaulah boleh diambil dan dicampak sekehendak hati manusia. Maka pastinya tiadalah yang bernama derita. Tiadalah istilah sengsara. Cinta derita, bahagia dan kecewa itu sesungguhnya ialah anugerah yang mencorakkkan kehidupan insan menjadi seperti pelangi.

Ya Rabb, demi kelembutan cintaMu, aku mohon untuk sujud hanya di bawah limpahan Rahmat dan ampun kasihMu. Tidak aku melihat akan sia-sia Engkau ciptakan jasadku ini. Pun bukan hanya untuk bergembira. Ya Allah, meskipun kerap kali aku rasakan akan betapa tak layaknya diri ini untuk memijak walau sebutir pasir di bumiMu, apalagi untuk meneguk dinginnya air pada kala diri ini kehausan, namun berilah aku kekuatan dan keampunanMu untuk ku kembali berdiri menyuci diri dan hati. Untuk kembali mentaati dan melaksanakan amanahMu yang terpikul di bahuku. Maafkanlah kealpaan dan kelalaian diri ini. Terimalah diri ini untuk kembali kepadaMu.

Hari ini bukanlah semalam, walaupun hari ini bermula dengan terbitnya fajar seperti semalam. Semuanya sebagai suatu ketetapan yang ditakdirkan Tuhan semenjak terciptanya bumi ini sama ada datangnya dengan awan yang cerah atau awan yang berarak mendung. Fajar tetap fajar dan tetap datang. senja semalam juga sama datang dan perginya menghilang di sebalik tabir langit yang memisahkan pandangan manusia dengan segala rahsiaNya.

Seperti kelmarin dan hari-hari yang sudah. Sunnatullah terhadap bumi ini begitulah setiap harinya. Peredaran waktu bermula dari fajar menjadi siang. Siang beransur ke senja. Senja berlabuh hingga malam tiba dan malam pula berlalu sehingga bertemu semula dengan fajar. Tidak kan terhenti putaran itu sehinggalah tiba saat Allah menetapkan bumi ini akan hancur.

Sesuatu yang kita dapat daripada sebuah persahabatan yang berlandaskan sekeping hati yang suci ialah, cuba memurnikan hati dengan menerima kesilapan orang lain sebagai pengajaran untuk kita. Bukan sebagai hukuman.

Serahkan diri untuk agama, kita akan sentiasa mulia di sisi Allah. Berbaik sangkalah kepada Allah meskipun sewaktu kita benar-benar di timpa kesulitan yang menyakitkan, yang membuatkan kita tidak berdaya untuk hidup. Bahawa Dia akan memberikan yang terbaik untuk kita.

Kadang diri ini keletihan di perjalanan ini. Namun kadang-kadang diri ini begitu bersemangat meniti harapan masa depan.

Karya oleh Siti Masliana

Posted by hAiRiL/spiderman_pink at 00:00  

5 comments:

erm..miss ur own inspiration...instead of copy n paste.. *kakakpunnod* rindu sangat nak baca ;)

ctlina said...
29 July 2007 at 8:48 am  

eh? since when did i have my own inspiration? tak ingat plak

29 July 2007 at 9:47 am  

oh selama lama lama99.. ni copy n paste arrr....argghhh boring nya ...tapi ok lah sharing. sharing is caring pee :)

ctlina said...
29 July 2007 at 9:59 am  

kalau ada pun, sikitttttt je. tak sampai boleh buat orang rindu pun :D

29 July 2007 at 10:13 am  

exaggerates je ;)

ctlina said...
30 July 2007 at 8:09 am  

Post a Comment